home Dunia Islam, Infografik Konflik Kashmir hampir dilupakan

Konflik Kashmir hampir dilupakan

12573787_1209790335701727_2180902139727678404_n

 

Konflik Kashmir hampir dilupakan walaupun sudah berlanjutan selama 69 tahun, le­bih lama daripada krisis Israel-Palestin yang mula tercetus sejak pencerobohan rejim Zionis pada 1948.

Konflik Kashmir telah membawa banyak kesengsaraan kepada penduduk Islam di wilayah tersebut yang terletak di Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panja di bahagian utara benua kecil India, bersempadan dengan Pakistan di sebelah barat, China di se­belah timur dan India di selatan.

Wilayah Kashmir terpisah kepada tiga negara, Pakistan menguasai bahagian barat laut, India di bahagian tengah dan selatan (Jammu dan Kashmir), dan China menguasai bahagian timur laut yang dikenali sebagai Aksai Chin.

Kemelut di Kashmir bermula ketika proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan pada 1947, yang meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

Tragedi Black Day atau Hari Hitam pada 27 Oktober 1947, menjadi titik tolak kepada konflik Kashmir sehingga hari ini, apabila tentera India yang lebih lengkap dan terlatih, menduduki wilayah berkenaan yang pada ketika itu masih belum memutuskan untuk menjadi sebahagian daripada India atau Pakistan.

Tindakan India menempatkan tentera di wilayah itu diambil selepas Delhi mendakwa, pemerintah Kashmir, Maharaja Hari Singh telah menandatangani ‘Surat Ikatan Penyertaan’ pada Oktober 1947 untuk menyerahkan Jammu dan Kashmir kepada India.

Penduduk Kashmir yang majo­ritinya beragama Islam sebenarnya lebih berminat untuk bergabung dengan Pakistan berbanding India kerana latar belakang yang sama daripada segi penduduk serta agama di negara berkenaan.

Sejak itu, India dan Pakistan saling berkonfrontasi untuk me­rebut kawasan di wilayah Kashmir sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam tiga peperangan iaitu pada 1947, 1965, dan 1971.
Peperangan pertama berlaku pada 1947 sehingga 1948, diikuti perang kedua dari Ogos hingga September 1965, dan ketiga pada 1971 berkaitan Kemerdekaan Bangladesh.

Ketiga-tiga peperangan meragut beribu-ribu nyawa penduduk awam, dan peperangan berakhir selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan penguatkuasaan gencatan senjata.

India dan Pakistan juga hampir berperang buat kali keempat pada 2002 apabila kerajaan kedua-dua negara bertindak mengerahkan sejuta tentera lengkap bersenjata ke perbatasan kedua-dua kuasa nuklear itu, berhampiran wilayah Kashmir, namun berjaya dihalang pihak antarabangsa diketuai Amerika Syarikat (AS).

Sekiranya peperangan tersebut tercetus, sudah pasti bencana besar berlaku kerana pada ketika itu kedua-dua buah negara berseteru itu sudah memiliki senjata nuklear.

Konflik Kashmir juga merupakan penyebab kedua-dua negara terbabit muncul menjadi negara kuasa nuklear. India menjadi negara kuasa nuklear pada 10 Mei 1998, manakala Pakistan pada 28 Mei 1998 sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara tersebut.

India juga pernah berperang dengan China pada 1962 (Perang Sino-Indian) berkaitan isu Kashmir. Peperangan berakhir selepas kedua-dua pihak bersetuju meletak senjata, dengan sekutu India dalam peperangan tersebut AS menyalahkan China kerana bertindak agresif dalam menyelesaikan isu sempadan Kashmir antara India-China.

Pada asasnya, konflik perebutan kawasan di wilayah berkenaan masih belum selesai sehingga ke hari ini. Keadaan itu dikaitkan dengan kedegilan India dan Pakistan yang enggan melepaskan wilayah Kashmir yang mereka duduki dan membenarkan penduduk Kashmir menentukan sendiri masa depan mereka.

Kedua-dua negara enggan beralah dengan kehendak majoriti penduduk Kashmir yang mahukan kemerdekaan dan membentuk kerajaan sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

Ekoran kedegilan kedua-dua negara tersebut, maka wujud kumpulan pemberontak Islam dan ge­rila Mujahidin Kashmir yang mahu menuntut kemerdekaan.

Secara keseluruhannya konflik Kashmir yang telah meragut ratusan ribu nyawa penduduk awam seharusnya dilihat sebagai simbol kegagalan masyarakat antarabangsa terutamanya PBB menangani krisis kemanusiaan.

Walaupun, PBB telah mengeluarkan tiga resolusi pada 1948, 1949, serta 1957 berhubung isu Kashmir, namun semuanya terhad di atas kertas semata-mata tanpa ada sebarang usaha pelaksanaan berkesan.

Perkara tersebut menjadi satu sebab mengapa konflik berkenaan dipandang sepi oleh masyarakat antarabangsa, yang sewajarnya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu dengan mengadakan dialog antara kedua-dua buah negara bagi mencari resolusi terbaik kepada konflik Kashmir.

Sumber: UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *