home Soal Jawab Agama Soal Jawab Agama: Kisah wanita dan anjing

Soal Jawab Agama: Kisah wanita dan anjing

11979_1210514315629329_7658562741256529183_n

 

SOALAN : Mohon ustaz beri pencerahan kisah wanita beri minum anjing dapat rahmat Allah. Sahih ke?
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

📚 Ada DUA KISAH yang hampir sama : Seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya melihat anjing yang kehausan lalu memberinya minum. Allah berterima kasih kepada keduanya dan mengampuni dosa-dosanya. Begitulah berbuat baik kepada binatang boleh menjadi sebab pengampunan dosa dan mendekatkan seorang hamba kepada Allah.

✅ DERAJAT HADIS : SAHIH

📕NAS HADIS

[1] Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda :
“Ketika seorang laki-laki sedang berjalan, dia merasakan kehausan yang sangat, lalu dia turun ke telaga dan minum. Ketika dia keluar (naik dari telaga), ternyata ada seekor anjing sedang menjelirkan lidahnya menjilat tanah basah kerana kehausan. Dia berkata, ‘Anjing ini kehausan seperti diriku.’ Maka dia mengisi kasutnya dan memegang dengan mulutnya, kemudian dia naik dan memberi minum anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kita boleh meraih pahala dari binatang?” Beliau menjawab, “Pada setiap hati yang basah terdapat pahala.”
[HR Bukhari no 2363 dan Muslim no 2244]

[2] Dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw bersabda :
“Seorang wanita pelacur melihat seekor anjing yang mengelilingi perigi pada hari yang panas terik. Anjing itu menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Lalu wanita itu menimba air dari perigi dengan kasutnya, maka dia diampuni.”
[HR Muslim no 2245]

[3] Dalam riwayat Bukhari dari Abu Hurairah ra :
“Seorang wanita pelacur diampuni. Dia melintasi seekor anjing di bibir perigi yang sedang menjelirkan lidahnya. Nabi saw bersabda, ‘Ia hampir mati kerana haus. Lalu wanita itu menanggalkan kasutnya dan mengikat dengan kerudungnya dan menimba air dengannya untuk anjing itu. Dia diampuni kerananya.”

✏️ TAKHRIJ HADIS

Hadis tentang orang yang memberi minum anjing diriwayatkan oleh Bukhari dalam Kitabul Musaqah, bab keutamaan memberi minum, 5/40, no. 2363.
Diriwayatkan dalam Kitabul Madzalim, bab perigi-perigi di tepi jalan jika tidak mengganggu orang-orang, 5/113, no. 2466.

Hadis tentang wanita pelacur yang diampuni kerana memberi minum anjing diriwayatkan dalam Kitab Bad’il Khalqi, bab jika lalat jatuh ke bejana salah seorang dari kalian, 6/359, no. 3321
Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya dalam Kitabus Salam, bab keutamaan memberi minum haiwan, 4/1761, no. 2244-2445.

🔎 PENJELASAN HADIS

Ini adalah dua kisah tentang seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya memberi minum anjing yang kehausan, maka keduanya diampuni kerana simpati dan belas kasihan mereka berdua kepada anjing yang mereka beri minum.

🚶Seorang lelaki sedang berjalan di luar desanya, jauh dari kediaman. Lalu dia mengalami kehausan yang teramat. Dia melintasi sebuah telaga tanpa timba. Maka dia turun ke dalam telaga. Dia minum sampai hilang hausnya, lalu naik. Di situ dia melihat seekor anjing yang sangat kehausan. Betapa hausnya, anjing ini menjelirkan lidahnya menjilat tanah basah di sekitar telaga untuk menghilangkan kehausannya.

Allah telah memberikan manusia ciri-ciri tersendiri yang tidak dipunyai oleh haiwan. Di antaranya adalah bahawa manusia mampu mengambil air dari telaga menggunakan timba jika tersedia atau turun ke telaga seperti yang dilakukan oleh laki-laki ini. Adapun anjing ini, ia tidak mampu melakukan hal itu. Ia akan mati kehausan bila tidak ada yang membantu memberinya air.

Lelaki tersebut melihat anjing yang kehausan ini, lantas teringat keadaan dirinya sebelum dia minum. Hausnya anjing ini sama dengan kehausannya sebelum dia minum. Akan tetapi, mungkinkah dia memberi minum anjing ini sementara timba untuk mengambil air tidak ada. Lalu turunlah lelaki itu ke dalam telaga. Tidak ada jalan lain untuk mengambil air kecuali menanggalkan kasut dan turun ke telaga lalu membawanya kepada anjing ini. Bagaimanapun dia tetap tidak akan boleh memegang kasut itu dengan kedua tangannya kerana dia sendiri memerlukan kedua tangannya untuk membolehkan turun dan naik telaga.

Umumnya tiada siapa yang mahu memegang kasut dengan mulut. Kerana kasut adalah pakaian kaki dan dengannya seseorang memijak tanah. Boleh jadi ia tercemar dan aromanya juga tidak enak. Akan tetapi simpati dan belas ihsan yang kuat mendorongnya melakukan perkara itu. Hanya dengan cara ini dia dapat memberi air kepada anjing yang kehausan itu. Maka Allah berterima kasih kepadanya, mengampuni dosanya, dan memasukkannya ke dalam rahmat-Nya.

💃Adapun wanita yang memberi minum anjing, lalu dosanya diampuni, dia adalah salah seorang pelacur Bani Israil yang melacur sebagai kerjaya dan sumber pendapatan. Wanita ini diampuni dosanya oleh Allah kerana sikap belas kasihannya itu. Namun terdapat perbezaan yang nyata di antara kedua kisah ini.

Wanita itu lebih besar dosanya daripada laki-laki itu, kerana dia adalah seorang pelacur. Sementara laki-laki itu tidak dinyatakan demikian. Dari segi ini dosa wanita itu lebih besar dan berat. Wanita itu, sebelum memberi minum anjing, dia tidak merasai kehausan seperti yang dirasakan oleh laki-laki itu.
Perbezaan antara keduanya ini menjadi pendorong secara peribadi pada diri wanita itu untuk memberi minum. Kerana lelaki itu pada saat dia melihat anjing kehausan, dia dapat merasakan apa yang sedang dialami oleh anjing. Lain halnya dengan wanita tersebut.

Jadi, pendorong pada diri wanita itu adalah keperitan dan belas kasihan yang bersangatan kerana melihat anjing yang kehausan. Sedangkan dia belum mengalami sendiri keadaan seperti laki-laki dan anjing itu.

Namun tahap kesulitan lelaki itu lebih tinggi daripada kesulitan si wanita. Wanita itu datang ke perigi yang airnya tidak begitu dalam. Manakala dia tidak menemukan timba untuk mengambil air, dia menanggalkan kasutnya dan mengikatnya dengan kerudungnya. Kasutnya itulah yang dijadikan timba untuk menceduk air dari perigi. Dengan cara inilah dia memberi minum anjing.

Adapun laki-laki itu, sepertinya keadaan air telaga saat itu dalam. Dia tidak mempunyai pakaian yang cukup untuk mengikat kasutnya, lalu dia mengambil air dengan cara seperti disebut dalam hadis. Laki-laki tersebut melakukan usaha yang berlipat ganda, dia mengambil air dengan cara yang berisiko dan tidak ramai orang sanggup melakukannya.

Walaupun terdapat perbezaan antara keadaan laki-laki dengan wanita itu, hanya saja Allah tetap mengampuni keduanya. Keduanya telah melakukan khidmat yang sama. Keduanya mempunyai simpati yang tinggi kepada anjing yang kehausan dan memberinya minum. Kerananya, Allah mengampuni dan merahmati keduanya.

📡 MESEJ TERSIRAT DAN TERSURAT

1. Jangan Meremehkan Kebaikan.
Besarnya pahala orang yang berbuat ihsan kepada haiwan. Kedua orang yang disebutkan di dalam hadis diampuni dosanya lantaran memberi minum anjing yang kehausan. Jika keampunan ini diperoleh lantaran memberi minum seekor anjing, lalu bagaimana dengan orang yang memberi minum kepada manusia yang haus, memberi makan manusia yang lapar, memberi pakaian, memberikan tempat tinggal dan menyediakan sesuatu yang menjadi sumber keperluan asas manusia untuk sepanjang masa, sudah tentu pahalanya juga sangat besar.

2. Besarnya Kurnia Allah dan Keluasan Rahmat-Nya.
Allah swt membalas dengan balasan yang besar atas perbuatan yang sedikit. Allah berhak mengampuni dosa seseorang hanya dengan sedikit perbuatan, iaitu dengan memberi minum anjing.

3. Keikhlasan dan Keinsafan.
Di kalangan Bani Israil pada kurun tertentu telah membudaya tradisi melakukan dosa besar. Di antaranya adalah zina. Wanita yang disebut dalam hadis adalah seorang pelacur. Walaupun wanita itu ada dosa besar tetapi disebabkan ada keikhlasan dalam dirinya yang dilihat oleh Allah swt iaitu memberi minum kepada anjing itu, maka itu menunjukkan adanya taubat, keikhlasan dan keinsafan maka Allah mengampunkannya dan memasukkannya ke dalam syurga.

4. Kepentingan Tauhid dan Tidak Kufur.
Seorang Muslim pelaku dosa besar tidak boleh dihukum kafir selagi tidak melakukan perbuatan kufur, walaupun dengan dosanya itu ia berdepan risiko azab seksa dari Allah. Boleh jadi Allah mengampuni dosa besar seseorang tanpa taubat kerana dia melakukan kebaikan yang dengannya Allah mengampuninya. Wanita itu diberi pengampunan bukan kerana niat taubatnya, akan tetapi kerana memberi minum anjing, seperti terlihat jelas dalam hadis dan tidak melakukan dosa kufur.

5. Kes ISTISNA’ Tidak Boleh Jadi Sumber Hukum
Kes wanita pelacur ini berlaku di zaman dahulu, syariat di zaman itu berbeza dengan syariat di zaman Nabi Muhammad saw. Ia adalah kes terpencil dan istisna’ berkecuali yang tidak kedengaran berlaku lagi selepas itu. Kisah ini tidak boleh dijadikan sumber hukum dalam kes zina, bahawa dosa zina boleh ditebus hanya dengan memberi minum kepada haiwan atau manusia. Zina mesti dikenakan hudud.

6. Lemah Lembut Terhadap Haiwan.
Berbuat baik terhadap binatang kecuali yang membahayakan diri dan harus untuk dibunuh.
Sabda Rasulullah saw :
“Lima binatang merbahaya yang dibolehkan membunuhnya dalam keadaan tiada berihram atau berihram iaitu ular, burung gagak, tikus, anjing gila, burung rajawali.” [HR Muslim]

7. Sembelih Bukan Kezaliman.
Penyembelihan terhadap haiwan yang memang sudah diciptakan oleh Allah untuk digunakan manusia sebagai makanan tidak termasuk dalam kategori penyeksaan. Dituntut ihsan dalam sembelihan.

8. Dilarang Seksa Binatang.
Abdullah bin Umar ra juga meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda :
“Seorang wanita diseksa kerana mengurung seekor kucing sampai mati. Kemudian wanita itu masuk neraka kerananya, iaitu kerana ketika mengurungnya dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum sebagaimana dia tidak juga melepasnya mencari makan dari serangga-serangga tanah.”
[HR Muslim]
Menurut Ulamak, wanita tersebut diseksa dineraka terlebih dahulu sebelum masuk syurga kerana perbuatannya itu.

9. Husnul Khatimah Bergantung Amalan Terakhir

“…ada seorang di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta sahaja. Kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli neraka dan ia masuk neraka. Ada di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta sahaja. Kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli syurga dan ia masuk syurga.”
[HR Bukhari dan Muslim]

Seseorang melakukan amalan ahli neraka ketika hayatnya, tetapi tiba-tiba sebelum mati dia melakukan amalan ahli syurga, lalu mati dan masuk syurga dengan kehendak Allah.

Kisah-kisah di dalam Al-Quran dan hadis-hadis sahih, cerita para sahabat ra, tabi’in, para ulamak setelahnya dengan sanad yang betul maka sudah mencukupi untuk dijadikan bahan renungan, dakwah, nasihat yang bermanfaat bagi umat manusia khususnya umat islam. Wallahua’lam.

Rujukan :
Kisah-Kisah Sahih Dalam Al-Quran dan Sunnah | Syeikh Umar Sulaiman al-Asyqor | Maktabah Abu Salma

Ustaz Abdul Rahman Iskandar (Alrais)

One thought on “Soal Jawab Agama: Kisah wanita dan anjing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *