home Kolumnis, Semasa Israk Mikraj: Di sebalik kemerdekaan Palestin yang hampir tiba

Israk Mikraj: Di sebalik kemerdekaan Palestin yang hampir tiba

people-pray-outside-al-aqsa

 

UMAT Islam di Palestin amat yakin bahawa dalam lebih kurang satu dekad lagi, mereka akan membebaskan Masjid Al-Aqsa sekaligus menguasai Negara Palestin keseluruhannya.

Memahami perkara ini, kita akan sedari bahawa dunia ini semakin berada di ambang pengakhirannya di saat kemerdekaan Palestin tidak lama lagi. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menceritakan kronologi akhir zaman, seperti berikut;

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ ضَرَبَ عَلَى فَخِذِهِ أَوْ عَلَى مَنْكِبِهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ هَذَا لَحَقٌّ كَمَا أَنَّكَ قَاعِدٌ

Maksudnya: Daripada Mu’adz bin Jabal, ia berkata; Rasulullah s.a.w bersabda;

 “Makmurnya Baitul Maqdis adalah (menyebabkan/selepasnya) kemusnahan Yatsrib (iaitu Madinah Munawwarah),[1] kemusnahan Yatsrib selepasnya adalah peperangan besar, munculnya peperangan besar selepasnya adalah pembukaan Kostantinopel (Istanbul), pembukaan Kostantinopel selepasnya adalah keluarnya Dajjal.”

Kemudian Baginda memukul lutut atau bahu Mu’adz, lalu bersabda; “Sesungguhnya ini adalah sangat benar seperti halnya engkau duduk.” (HR Abu Daud)[2]

Hadis di atas secara jelas mengkhabarkan beberapa peristiwa penting di akhir zaman ini iaitu;

1) Baitul Maqdis akan merdeka di akhir zaman. Gerakan Islam di Palestin seperti HAMAS, para Ulama serta umat Islam di sana amat yakin bahawa mereka Palestin akan merdeka tidak lama lagi.

Ini dikuatkan dengan Firman Allah SWT dan hadis Nabi yang mengisyaratkan bahawa pemerintahan Islam akan tertegak di akhir zaman;

Allah SWT berfirman:

فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا

Maksudnya: “Maka apabila sampai masa janji yang terakhir (kali kedua), (Kami datangkan musuh-musuh kamu dari kalangan umat Islam) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (Baitul Maqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.”[3]

Sabda Rasulullah SAW:

تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ

“Adalah Kenabian (nubuwwah) itu ada di tengah-tengah kamu sekalian, yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang berdiri di atas manhaj kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang menggigit (Mulkan ‘Aadhdhon), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Kekuasaan yang memaksa (diktator) (Mulkan Jabariyah), yang ada atas kehendak Allah. Kemudian Allah mengangkatnya, apabila Dia berkehendak mengangkatnya.Kemudian akan ada Khilafah yang berdiri atas manhaj Kenabian (Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam. (HR Ahmad)[4]

2) Selepas pembebasan Baitul Maqdis, akan berlaku pula pembukaan kostantinopel (Istanbul). Sebahagian ulama masa kini berpendapat apa yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah pembukaan kedua (selepas pembukaan pertama oleh Sultan Muhammad Al-Fateh) oleh Al-Mahdi.[5]

3) Akhirnya selepas pembukaan itu akan turunnya Dajjal yang mana merupakan salah satu tanda besar hari Kiamat.

Langkah Pertama Mencari solusi: Memahami realiti

Gerakan Islam di Palestin khususnya HAMAS tidak hanya menanti keajaiban berlaku. Bagi mereka, kemenangan yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya perlu direalisasikan dengan praktikal, penuh kesungguhan dan berstrategi. Mereka tahu kemenangan tidak dapat digapai tanpa penuhi syarat-syarat dan asbab kemenangan.

Langkah pertama Gerakan Islam di Palestin adalah memahami realiti dan memahamkan umat Islam bahawa mereka sedang lemah, tiada kekuatan untuk membebaskan Palestin dalam masa yang singkat.

Awal kurun ke-20 umat Islam mengalami kejatuhan yang paling dahsyat sepanjang sejarah dunia Islam. Tahun 1948 merupakan kemuncak kelemahan umat Islam Palestin tatkala Negara haram Israel dirasmikan lalu menjadi sebahagian daripada peta dunia, tidak lama selepas kejatuhan Ibu kota Kerajaan Agung Islam di Istanbul pada tahun 1924.

Palestin dahulunya hanya dihuni oleh 8 orang Yahudi pada tahun 1170 selepas pemerintahan tenteta Salib, [6] malah masih tidak lebih 10,000 orang yahudi pada pertengahan kurun ke-16[7] dan sekitar 30,000 – 42,000 iaitu bersamaan 5% – 7% sahaja daripada penduduk Palestin pada pertengahan kurun ke-19.[8]

Namun siapa sangka, disebabkan perancangan jahat musuh Islam di samping kelemahan umat Islam sendiri, dunia dikejutkan dengan penghijrahan Yahudi Eropah dan Rusia secara pukal ke bumi Palestin hasil Deklarasi Balfour 1917 di mana kerajaan Britain membenarkan penghijrahan Yahudi Eropah ke Palestin.[9] Hal ini lantas mengakibatkan Nakbah (kehancuran Palestin) pada tahun 1948 yang mana saat itu bilangan penduduk yahudi telah meningkat secara mendadak hingga 716,700 orang mewakili 82.1% daripada penduduk Palestin.[10]

Lihatlah jadual di bawah, bagaimana liciknya Yahudi sehingga berjaya menubuhkan negara haram Israel pada tahun 1948. Lihatlah juga betapa ramai umat Islam Palestin yang dihalau keluar selepas Nakbah;

Tahun Yahudi Muslim / Selain Yahudi Total Penduduk % Yahudi
1517 5,000 295,000 ~300,000 1.7%
1882 24,000 276,000 300,000 8.0%
1918 60,000 600,000 660,000 8.1%
1931 174,610 861,211 1,035,821 16.9%
1936 384,078 982,614 1,366,692 28.1%
1946 543,000 1,267,037 1,810,037 30.0%
1948 716,700 156,000 872,700 82.1%
1950 1,203,000 167,100 1,370,100 87.8%
1955 1,590,500 198,600 1,789,100 88.9%
1960 1,911,300 239,100 2,150,400 88.9%


Sumber: Itamar Rabinovich and Jehuda Reinharz, Israel in the Middle East:
 

Documents and Readings on Society, Politics, and Foreign Relations, Pre-1948 to the Present.

 

Umat Islam yang sedang parah bertambah tenat tatkala berlakunya peristiwa Naksah 1967 apabila Negara Israel berjaya mengalahkan lima negara Arab yang bersatu menentangnya hanya dalam tempoh enam hari (5 hingga 11 Jun 1967). Bukan sekadar itu sahaja, malah baki negara Palestin yang sepatutnya menjadi milik rakyat Palestin berdasarkan resolusi 181 Liga Bangsa-Bangsa (League of Nations) juga telah dijajah. Baki tersebut meliputi Jalur Gaza yang diletakkan di bawah kekuasaan Mesir dan juga Tebing Barat yang diletakkan di bawah kekuasaan Jordan. Semenanjung Sinai milik Mesir dan juga Bukit Golan milik Syria juga telah berjaya ditawan oleh Israel.[11]

Natijahnya sangat melukakan hati umat Islam sedunia terutama di penduduk Palestin, sebahagian besar daripada keseluruhan bumi Palestin seluas 27 000 km persegi dikuasai Yahudi dan mereka menjadi bangsa majoriti di Palestin.

a

Peta Palestin dari 1946 hingga kini yang sangat mendukacitakan. Sumber: http://www.afopa.com.au

 

Strategi awal Gerakan Islam Palestin membina kekuatan

Menyedari hakikat dan realiti umat Islam khususnya di Palestin pasca Nakbah 1948 & Naksah 1967, Seorang pemimpin gerakan Islam Palestin (HAMAS), Syeikh Ahmad Yassin, telah membawa idea yang asing dalam situasi umat Islam yang sedang terdesak saat itu.

Ia agak asing kerana ramai umat Islam ketika itu sampai terpengaruh dengan idea Revolusi Iran pada tahun 1978. Bagi mereka idea revolusi Iran lah solusi kepada permasalahan umat Islam yang sedang dijajah. Bahkan tidak kurang juga rakyat Palestin yang turut berkeinginan untuk meniru idea revolusi Iran tersebut di Palestin.[12]

Tetapi Syeikh Ahmad Yassin bijak & berpandangan jauh. Baginya tidak dapat tidak wajib bermula semula dari bawah. Solusi sebenar dalam menghadapi cabaran ketika itu bukan pada Revolusi, tetapi perlu terlebih dahulu membina dasar yang kukuh (bunyah tahtiyyah). Umat Islam tidak akan mampu melawan Yahudi Zionis apatah lagi menguasai semula bumi Palestin dalam keadaan masih lemah tidak upaya. Syarat dan asbab kemenangan perlu dipenuhi terlebih dahulu demi merealisasikan kemenangan ini.[13]

Maka Apakah yang dilakukan HAMAS dan Umat Islam Palestin?

Tidak lain tidak bukan mereka contohi methodologi yang pernah dilaksanakan oleh Qudwah tertinggi kita, Rasulullah SAW iaitu pengukuhan Aqidah dalam peribadi-peribadi Umat Islam di Palestin terlebih dahulu. Inilah yang dilakukan Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah ketika peringkat pertama dakwahnya. Baginda dan para Sahabat r.a sanggup diseksa dan diboikot hanya kerana berterus terang mempertahankan Aqidah Islam.

Boleh saja Rasulullah dan para Sahabat terus menyembunyikan iman mereka selepas beberapa tahun di Makkah. Namun mereka sanggup menghadapi penyeksaan, demi memastikan manusia keseluruhannya mengiktiraf Allah SWT sebagai Tuhan yang satu-satunya layak disembah.

Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi ketika mentahqiq kitab Ma’alim fi At-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) dalam tajuk “Tabiat Manhaj Qurani” karya Imam As-Syahid Sayyid Qutb rhm ada menyatakan beberapa persoalan berkaitan manhaj Nabi saw dalam membawa perubahan;[14]

1) Mengapa Rasulullah tidak bermula dengan laungan islah sistem politik?

Fasa awal dakwah Nabi, utara tanah arab (kawasan Bumi Syam) dikuasai Rom dan selatannya, Yaman dikuasai Parsi. Maka hanya tinggal tanah gersang padang pasir yang dikuasai arab.

Mengapa Rasulullah tidak memanfaatkan ‘modal’ kedudukan yang tinggi dan pengaruh yang kuat dalam qabilah Arab yang dimilikinya (kisah perletakan hajar aswad sebagai contoh), bagi melaungkan kesatuan seluruh qabilah Arab dan seruan berjuang mengembalikan hak-hak mereka dari Rom dan Parsi?  Malah Baginda s.a.w menolak segala tawaran hebat untuk menduduki takhta pemerintah.

Tetapi yang dipilih adalah sanggup bersusah payah, diseksa, dipulau semata-mata kerana laungan isu Aqidah, yang mencabar kedudukan pembesar-pembesar Arab.

2) Mengapa Rasulullah tidak bermula dengan islah sistem sosial?

Sistem sosial dunia arab ketika itu sangat teruk. Pembahagian harta kekayaan dalam masyarakat Arab berlaku dengan penuh kezaliman.  Harta kekayaan dimiliki oleh minoriti yang punya kedudukan dan kemuliaan. Manakala majoriti rakyat hidup miskin lagi terhina.

Maka mengapakah Rasulullah yang terkenal dengan sifat Al-Amin tidak saja mengangkat bendera ‘kebajikan’, ‘keadilan sosial’ bagi mendapat pengaruh rakyat yang membolehkannya mendapat kuasa politik? Sedangkan baginda mampu sahaja untuk mengambil kesempatan dengan kelebihan yang dimiliki untuk melaungkan sedemikian?

3) Mengapa Rasulullah tidak bermula dengan laungan islah Akhlak?

Tahap akhlak Arab jahiliyyah teramat runcing. Zina, arak, bunuh, sudah menjadi lumrah kehidupan arab jahiliyyah.

Rasulullah yang terkenal dengan akhlak yang mulia boleh saja melaungkan slogan pemulihan akhlak bagi mendapatkan sokongan dan pengaruh untuk menjalankan projek-projek selepas itu, tetapi mengapa isu Aqidah yang penuh halangan juga dilaungkan? Malah para Sahabat r.a sanggup diseksa dipulau demi mempertahankan Aqidah.

Jawapan bagi ketiga-tiga persoalah di atas adalah: kerana Rasulullah SAW sangat memahami rahsia-rahsia disebalik permulaan misi dakwah dan membangun umat dengan laungan Aqidah Islam sebelum semua laungan yang lain. Penulis simpulkan beberapa rahsia atau hikmahnya yang dijelaskan oleh Sayyid Qub rhm seperti berikut:

  • Allah tidak mahu membersihkan bumi ini daripada taghut Rom dan Parsi dan menggantikannya kepada taghut Arab. Tetapi apa yang Allah mahu adalah menghapuskan segala kuasa taghut di bumi ini.[15]
  • Bumi ini adalah hak milik Allah. Maka semua urusan dan kekuasaan wajib tunduk pada Allah. Jalannya tidak lain tidak bukan adalah dengan mengangkat bendera “La Ilah illa Allah”. Kerana Allah mahu seluruh manusia mengiktiraf bahawa Al-Hakimiyyah Lillah (الحاكمية لله), bermaksud kuasa tertinggi adalah milik Allah. Inilah yang ditanam dalam hati umat Islam di Makkah selama 13 tahun !
  • Syeikh Dr. Solah Al-Khalidi menyatakan bahawa hanya permulaan dengan Aqidah dapat merealisasikan matlamat (البدء بالعقيدة يحقق كل هدف).[16] Ya, inilah hakikatnya, sebab Rasulullah dan para Sahabat jelas bahawa matlamat akhirnya adalah membawa manusia kesuluruhannya tunduk kepada sistem Islam, maka jalannya wajib jelas dan berterus terang sejak dari langkah pertamademi menjamin tercapainya matlamat.
  • Rasulullah amat memahami bahawa semua sistem kehidupan (kebajikan, keadilan sosial, ekonomi dan lain-lain) tidak dapat tertegak melainkan berdiri atas dasar Aqidah. Aqidah lah yang menetapkan pertimbangan dan nilai tersebut. Tanpa akidah, segala idea hebat yang dilaungkan tadi hanya kosong tidak bernilai bagaikan habuk yang beterbangan.
  • Allah dan Rasul-Nya mahu semua ‘bendera’ dan laungan berdiri atas dasar Aqidah. Atas kesedaran manusia akan keesaan Allah dan hak Allah mentadbir bumi ini secara mutlak. Sehingga apabila umat Islam memiliki aqidah yang kuat dan rasa ‘muraqabah Allah’, segala sistem ataupun syariat yang ditaklifkan ke atas mereka selepas itu bukanlah satu benda yang berat !
  • Satu contoh bukti yang terhasil adalah apabila disyariatkan hukuman hudud, ia bukanlah satu bebanan ke atas para Sahabat. Kita boleh dapati dalam sirah nabi, para sahabat yang dikenakan hukuman  hudud amatlah sedikit.
  • Hikmah lain juga adalah supaya manusia mengimani “la Ilah illa Allah” dalam apa jua situasi dan masa. Bukan hanya beriman apabila ditawarkan manfaat-manfaat duniawi dan dipamerkan kecantikan serta kehebatan sistem negara Islam. Tidak, sama sekali tidak. Allah inginkan manusia beriman kepada-Nya dengan penuh keikhlasan yang datang dari lubuk hati yang murni dengan kesedaran aqidah yang tertanam dalam diri dalam apa jua situasi dan masa.

Dengan sebab-sebab di atas lah mengapa gerakan Islam Palestin serta umat Islam di Palestin (khususnya di Gaza) berpegang kepada methodologi bermula dengan penekanan isu Aqidah. Siapa lagi contoh terbaik yang sudah terbukti berjaya dalam sejarah dunia selain daripada Qudwah Hasanah umat Islam iaitu Rasulullah SAW?

Jika HAMAS asyik ‘pusing-pusing’ dengan laungan human right, good governance, anti-terrorisme, dan sebagainya, sampai satu masa ia akan terbatas, tidak akan mampu mencapai matlamat utama – menegakkan syariah Allah SWT – kerana manusia ketika itu hanya bertuhankan human right yang tidak punya apa-apa asas yang kukuh, tidak mengerti apa itu hakikat Aqidah Tauhid.

Bila kita kaitkan balik dengan realiti Palestin ketika fasa kejatuhan dan kelemahan umat Islam, kita dapati bahawa sangat tepat ijtihad politik HAMAS supaya fokus kepada pembinaan Aqidah serta jatidiri Islam terlebih dahulu sebelum semua perkara.

Mereka langsung tidak terpengaruh dengan idea-idea kebangkitan yang lain seperti Revolusi Iran. Kerana solusinya sudah jelas dipamerkan melalui tindakan politik atau siyasah Nabi saw terutama di awal dakwahnya di Makkah selama 13 tahun. HAMAS memahami bahawa mereka seolah-olah –dari sudut peringkat dakwah- masih lagi berada di fasa Makkah iaitu fasa awal dakwah ataupun disebut marhalah at-taksis (peringkat pengasasan) yang memerlukan asas yang begitu kukuh iaitu Aqidah.

Umat Islam dapat lihat salah satu natijahnya yang mengejutkan tatkala HAMAS memenangi pilihanraya Dewan Perundangan Palestin pada 25 Januari 2006.[17] Dapatan kajian survey menunjukkan bahawa faktor utama kemenangan HAMAS dalam pilihanraya 2006 adalah kerana majoriti pengundi menginginkan calon-calon yang  berkeupayaan untuk memerangi kefasadan (muharabah al-fasad),[18] dan ternyata yang calon-calon HAMAS memenuhi ciri-ciri tersebut.

Kerajaan HAMAS hari ini berjaya mempertahankan Gaza daripada Israel meskipun sudah berkali-kali serangan dikenakan. HAMAS berjaya memerintah Gaza dengan kesetiaan rakyat kepadanya walaupun sudah banyak kali bekalan elektrik, air, mahupun sumber ekonomi Gaza terganggu dan disekat.

Inilah hasil daripada didikan Aqidah yang tertanam di dalam hati-hati umat Islam di Gaza sejak kecil sehingga tiada faktor luaran yang mampu menggoyahkan iman serta melenturkan kesetiaan mereka kepada HAMAS dalam mendepani Yahudi Laknatullah.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin
Ketua Setiausaha Biro Dakwah ISMA

[1] Ibn Kathir dalam kitabnya “An-Nihayah” berpendapat bahawa kemusnahan Madinah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah bukannya musnah secara keseluruhan (بالكلية). Padanya kemusnahan Madinah secara keseluruhan hanya berlaku pada hari kiamat.
[2] Hadis ini dinilai Hasan oleh Syeikh Al-Albaani dalam Sahih Sunan Abi Daud, hadith no. 4294.
[3] Surah Al-Israa’, ayat 7.
[4] Hadis ini diinilai Sahih oleh Syeikh Al-Albaani dalam Al-Silsilah Al-Sohihah dan dinilai Hasan oleh Syeikh Syu`aib Al-Arnaout.
[5] Al-Ustaz Muhammad Mustafa Al-Nubani & Musa Muhammad Haddad, Dalil Murabitin li Tahrir Filastin, m/s. 177.
[6] Lihat: Artikel “Malaysia Menuju Nakbah?” oleh Fauwiza Fauzi, Jordan University of Science and Technology, Jordan.
[7] The Monotheists: Jews, Christians, and Muslims in Conflict and Competition, Jil. 2, m/s. 287.
[8] Rubenberg, Cheryl A, Israel and the American National Interest: A Critical Examination. University of Illinois Press. m/s, 26.
[9] Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin, “Kenapa Palestin Terus Relevan?, Laman web: http://zainurrashid.com.
[10] Itamar Rabinovich and Jehuda Reinharz, Israel in the Middle East: Documents and Readings on Society, Politics, and Foreign Relations, Pre-1948 to the Present, m/s 571 – 572.
[11] Lihat: http://palestinkini.info/?p=1750
[12] Hasil temubual/perkongsian penulis dengan salah seorang pemimpin gerakan Islam Palestin pada tahun 2014 di Istanbul, Turkey.
[13] Ibid.
[14] Syeikh Dr. Solah al-Khalidi, Ma`alim fi al-Toriq: dirasah & tahqiq,m/s 43.
[15] Sayyid Qutb, Ma`alim fi al-Toriq, Daar Ammar, m/s 45.
[16] Syeikh Dr. Solah al-Khalidi, Ma`alim fi al-Toriq: dirasah & tahqiq,m/s 49.
[17] Dr. Ishtiyaq Husin & Al-Ustaz Bilal al-Shubki, Hamas fi al-hukm: Diraasah fi al-Idiologia wa al-Siyasiyyah 2006-2012, m/s 388.
[18] Ibid, m/s 389, survey yang dibuat oleh al-Markaz al-Filistini li al-buhus al-Siyasiyyah wa al-mashiyyah

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *