home Kolumnis, Semasa Israk Mikraj: Penyaksian Baitul Maqdis milik umat Muhammad

Israk Mikraj: Penyaksian Baitul Maqdis milik umat Muhammad

Baitul-Maqdis-Milik-Umat-Islam

 

Israk dan Mikraj merupakan peristiwa terbesar yang berlaku di bumi Palestin dalam sejarah umat Islam. Peristiwa agung ini telah dirakamkan dalam surah Al-Israa’ serta banyak riwayat hadith. Surah Al-Israa’ merupakan surah Makkiyyah yang mempunyai 111 ayat dan berada dalam tertib yang ke-17 dalam Al-Quran.

Para ulama menyebut bahawa surah ini mempunyai tiga nama; iaitu Al-Israa’, Bani Israel dan Subhan. Surah ini masyhur dengan nama surah Bani Israel pada zaman sahabat dan tabi’in seperti yang disebutkan Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya Al-Tahrir Wa Al-Tanwir di awal tafsir surah Al-Israa’.[1]

Nama surah Bani Israel ini kita dapat lihat dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a.[2] :

كان النَّبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسَلَّمَ لا يَنامُ حتى يَقْرَأَ بَنِي إِسرائِيلَ والزُّمَر

“Nabi s.a.w. tidak tidur sehinggalah membaca surah Bani Israel dan Az-Zumar” [ HR At-Tirmizi ]

Surah Al-Israa’ dimulakan dengan ayat yang menceritakan peristiwa agung Israk itu sendiri :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

 “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [ Al-Israa’ : 1 ]

Ayat ini menunjukkan hubungan antara Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa, dan melambangkan ikatan ruh dan sejarah antara keduanya. Ia juga menunjukkan bahawa bumi Masjid Al-Aqsa merupakan bumi yang suci dan diberkati yang mempunyai kepentingan dan kelebihannya tersendiri.[3]

Al-Quran menyebut Masjid Al-Aqsa dengan sifat ( الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ ) ‘yang telah Kami berkati sekelilingnya’ sebagai satu sifat yang menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah ke atas masjid itu.[4] Kalimah ‘Baarakna’ juga disebut di beberapa tempat lagi dalam Al-Quran yang menguatkan lagi bukti keberkatan di bumi Baitul Maqdis ini serta sekelilingnya.

Perjalanan secara terperinci tentang peristiwa Israk dan Mikraj diceritakan dalam sebuah hadith panjang riwayat Muslim, namun isu yang akan disentuh lebih ditumpukan kepada beberapa perkara berkaitan bumi Al-Quds itu sendiri.

Tiang Al-Buroq

Al-Israa’ itu sendiri membawa maksud ‘perjalanan di waktu malam’ daripada Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang kita maklumi berdasarkan ayat surah Al-Israak di atas. Jarak di antara kedua masjid itu sendiri adalah sekitar 2,111 km yang pastinya tidak tercapai oleh akal untuk seorang manusia pergi dan balik dalam satu malam dengan jarak tersebut. Namun begitu bagi Allah Yang Maha Berkuasa tiada yang mustahil bagiNya. Allah s.w.t. telah memperjalankan Nabi s.a.w. dengan sebuah ‘kenderaan’ yang telah disebut pada awal hadith riwayat Muslim yang telah dinyatakan sebelum ini, hadith daripada Anas bin Malik r.a.[5] :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أُتِيتُ بِالْبُرَاقِ وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ قَالَ فَرَكِبْتُهُ حَتَّى أَتَيْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ فَرَبَطْتُهُ بِالْحَلْقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهِ الْأَنْبِيَا

 “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Aku telah didatangi Al-Buroq, dan ia seekor binatang putih lebih tinggi dari keldai tetapi lebih rendah dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehingga hujung bahagiannya. Baginda bersabda : Maka aku menungganginya sehingga sampai ke Baitul Maqdis. Baginda bersabda : Kemudian aku mengikatnya pada tiang masjid yang biasa diikat oleh para Nabi…[ HR Muslim ]

Cukuplah kita mengenali Al-Buroq sepertimana sifatnya yang telah disebut Nabi s.a.w., berwarna putih dan besarnya antara keldai dan baghal. Allah s.w.t. menciptanya dengan ciptaan istimewa, dengan kelajuan dan kemampuan istimewa mengatasi kelajuan kenderaan bumi, dan namanya sendiri menunjukkan perkara tersebut, perkataan ‘Al-Buroq’ merupakan terbitan dari ‘Al-Barq’ iaitu kilat, dan kelajuan kilat atau cahaya adalah makruf.[6]

Suatu perkara yang perlu dilihat juga adalah Rasulullah s.a.w. mengikat Al-Buroq tersebut pada sebatang tiang yang mana biasa diikat oleh nabi terdahulu. Perbuatan Rasulullah s.a.w. ini dan pemakluman mengenai perbuatan yang sama oleh para nabi terdahulu menunjukkan tentang keaslian sejarah Masjid Al-Aqsa. Sesungguhnya ia telah dibina di atas tapak yang diberkati dari Baitul Maqdis ini sejak beribu tahun dahulu.

Nabi Muhammad s.a.w. mengimami para anbiya’

Peristiwa ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.[7] :

قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : « لَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي الْحِجْرِ وَقُرَيْشٌ تَسْأَلُنِي عَنْ مَسْرَايَ، فَسَأَلَتْنِي عَنْ أَشْيَاءَ مِنْ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لَمْ أُثْبِتْهَا، فَكُرِبْتُ كُرْبَةً مَا كُرِبْتُ مِثْلَهُ قَطُّ »، قَالَ : فَرَفَعَهُ اللهُ لِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ، مَا يَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلَّا أَنْبَأْتُهُمْ بِهِ، وَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي جَمَاعَةٍ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ، فَإِذَا مُوسَى قَائِمٌ يُصَلِّي، فَإِذَا رَجُلٌ ضَرْبٌ، جَعْدٌ كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ، وَإِذَا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ قَائِمٌ يُصَلِّي، أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ الثَّقَفِيُّ، وَإِذَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ قَائِمٌ يُصَلِّي، أَشْبَهُ النَّاسِ بِهِ صَاحِبُكُمْ – يَعْنِي نَفْسَهُ – فَحَانَتِ الصَّلَاةُ فَأَمَمْتُهُمْ، فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنَ الصَّلَاةِ قَالَ قَائِلٌ : يَا مُحَمَّدُ، هَذَا مَالِكٌ صَاحِبُ النَّارِ، فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ، فَبَدَأَنِي بِالسَّلَامِ

 “Rasulullah s.a.w. bersabda : Aku melihat diriku berada di Hijir Ismail, dan seorang Quraisy bertanya kepadaku tentang perjalananku. Mereka bertanya pelbagai perkara mengenai Baitul Maqdis yang aku tidak ingat. Aku merasakan kesulitan yang tidak pernah aku alami. Lalu Allah memperlihatkannya kepadaku sehingga aku dapat melihatnya. Tidaklah mereka bertanyakan sesuatu daripadaku melainkan aku menjawabnya. Aku melihat diriku berada dalam kelompok para nabi. Kelihatan Nabi Musa sedang mengerjakan solat, ternyata dia seorang lelaki yang tinggi dengan rambut kerinting, seperti seorang pemuda suku Syanu’ah. Dan kelihatan Nabi Isa bin Maryam a.s. sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah Urwah bin Masud As-Thaqafi. Dan kelihatan Nabi Ibrahim a.s. sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah sahabat kamu (iaitu baginda sendiri). Apabila waktu solat, aku mengimami mereka. Setelah selesai solat berkata seseorang : Wahai Muhammad! Inilah Malik, penjaga neraka, berilah salam kepadanya. Aku berpaling kepadanya dan dialah yang terlebih dahulu mengucapkan salam.” [ HR Muslim ]

Peristiwa Rasulullah s.a.w. mengimami para nabi terdahulu membuktikan bahawa ajaran yang dibawa oleh semua nabi adalah satu iaitu agama Islam dan baginda adalah pengakhirannya, maka pemilik dan pewaris tanah ini yang hakiki hanyalah umat Muhammad s.a.w. kerana hanya umat inilah yang beriman sepertimana para nabi terdahulu beriman :

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

 “Katakanlah kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Ya’akub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa, dan kepada apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka dan kami semua adalah orang berserah diri dan tunduk taat kepada-Nya semata-mata.” [ Al-Baqarah : 136 ]

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan simbolik penting bahawa autoriti bumi Palestin ini hanyalah kepada orang beriman. Ia adalah penyerahan mandat nabi-nabi terdahulu kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya untuk terus memelihara tanah ini sebagai tuannya.

Sebelum tertegaknya negara Islam di Madinah, kelompok muslim yang minoriti di Mekah telah pun memandang kepada Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis setelah berlakunya Israk dari Masjid Al-Haraam ke Masjid Al-Aqsa, yang juga merupakan qiblat pertama umat Islam. Perang Khaybar dan Fadak (7H), Perang Mu’tah (8H), Perang Tabuk (9H) serta ekspedisi Usamah bin Zaid semuanya merupakan permulaan kepada kemaraan umat Islam menuju bumi Syam.

 

Ustaz Ahmad Nu’man bin Mazlan
Pegawai Eksekutif Biro Dakwah ISMA

 

[1] Muhammad Mustafa Al-Nubani, Musa Muhammad Hadad, Dalil Murabitin Li Tahrir Falistin, 2012, hlm 44.
[2] Al-Jaami’ Al-Kabir (5/183), Kitab Fadhail Al-Quran, bab 22, no 3147. (Dihukum hasan oleh Imam At-Tirmizi dan disahihkan oleh Imam Al-Albani)
[3] Dr Abdullah Nasih Ulwan, Al-Islam Wa Al-Qadhiah Al-Falistiniah, Dar As-Salam, 2002, hlm 15
[4] Syed Qutb, Fi Zilal Al-Quran, Pustaka Aman Press, 2000, jil 10, hlm 153.
[5] Sahih Muslim (85-87), Kitab Iman, bab 74, no 259 (162).
[6] Dr Solah Al-Khalidi, Haqaiq Quraniyyah Hawla Al-Qadhiah Al-Falistiniah, Dar Al-Qalam, 2012, hlm 82.
[7] Sahih Muslim (93), Kitab Al-Iman, bab 75, no 278 (172).

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *