home Semasa Sadiq Khan muslim pertama dipilih sebagai Datuk Bandar London

Sadiq Khan muslim pertama dipilih sebagai Datuk Bandar London

sadiqkhan

 

LONDON, Sabtu – Di sebalik kempen agresif dan rasis Parti Konservatif yang menuduh beliau ada hubungan dengan ekstremis Islam, warga London semalam menyaksikan individu muslim pertama menjadi datuk bandar sebuah kota metropolitan di Barat.

Sadiq Khan akhirnya dipilih sebagai Datuk Bandar London, menjadikan beliau seorang ahli politik muslim paling berkuasa di Barat, selepas menang besar ke atas calon Parti Konservatif, Tory Zac Goldsmith, dengan memperoleh 1,310,143 undi berbanding 994, 614.

Beliau meraih kemenangan besar di sebalik kempen rasis oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron dan pemimpin Parti Konservatif yang mengaitkan beliau dengan ekstremis dan pengganas Islam.

Dengan menuduh Sadiq tidak boleh dipercayai untuk melindungi 8.5 juta penduduk London, kempen itu memakan diri apabila pemimpin kanan Konservatif sendiri akhirnya mengakui langkah mereka menjauhkan pengundi daripada parti itu.

Bekas Pengerusi Konservatif, Sayeeda Warsi, berkata cara kempen parti itu yang membangkitkan isu bangsa dan agama menyebabkan reputasi dan kredibiliti terjejas.

Sadiq yang mana bapanya menjadi pemandu bas ketika berpindah dari Pakistan ke Britain, akan mengawasi dan membelanjakan kira-kira AS23 bilion bajet tahunan, termasuk menentukan dasar perumahan dan pengangkutan di kota raya itu.

Bekas peguam hak asasi manusia berusia 45 tahun itu yang turut terpilih menjadi Ahli Parlimen Tooting di selatan London, juga menjadi anggota Kabinet negara itu pada 2009 yang memerlukan beliau mengangkat sumpah di hadapan Ratu Britain.

“Istana bertanya kepada saya apakah jenis Bible yang akan digunakan untuk majlis angkat sumpah itu? Apabila saya mengatakan al-Quran, mereka menjawab mereka tidak memiliki walau sebuah al-Quran pun. Oleh itu, saya membawanya sendiri,” katanya.

Sadiq, seorang muslim yang taat, tidak meminum alkohol, tetapi beliau sering menjelaskan bahawa imannya adalah hanya satu aspek daripada wataknya.

“Kita semua mempunyai kepelbagaian identiti. Saya adalah penduduk London, warga British, English, asal usul Asian, warisan Pakistan. Saya adalah bapa, suami dan penyokong tegar Liverpool,” katanya.

Bekas calon Parti Konservatif, Shazia Awan sendiri mengakui beliau buat pertama kali mengundi Parti Buruh yang diwakili oleh Sadiq kerana kecewa dengan cara kempen David Cameron dan Goldsmith yang rasis dan keji.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan cara politik yang rasis, keji dan kebencian. Kami tidak mahu cara kempen yang memecahbelahkan seperti dilakukan Donald Trump di Amerika Syarikat,” katanya.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/05/sadiq-khan-muslim-pertama-dipilih-sebagai-datuk-bandar-london/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *