home Semasa Umat Islam perlu bina kekuatan media

Umat Islam perlu bina kekuatan media

yourstory_digital_media

 

Jika diteliti bagaimana etika wartawan-wartawan media liberal dan anti-Islam di Malaysia dalam menyampaikan berita-berita terpilih bagi santapan minda umat Islam, kita akan dapati bahawa isu-isu yang dibawa pasti akhirnya akan menyebabkan kita bertelagah sesama sendiri.

Mereka kreatif dalam mengolah berita dari sudut pandang yang akan menyebabkan agama Islam dilihat seperti apa yang mereka mahukan; kolot, mundur, dan ekstrem.

Bayangkan dalam isu atlet gimnas Negara Farah Ann sekita Jun 2015, komen terpencil netizen berkenaan aurat atlet tersebut diangkat menjadi berita utama, lantas menimbulkan polemik perdebatan sehingga menteri turut mengeluarkan kenyataan rasmi yang akhirnya memperlihatkan kepada masyarakat majmuk Malaysia bahawa umat Islam itu ekstrem.

Perkara seperti ini tidak lain berpunca daripada hakikat yang telah disebut dalam Al-Quran, “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terupuji!”.

Keinginan mereka untuk melihat Islam tidak berkuasa ke atas mereka di bumi Malaysia ini sangat membuak-buak dan tidak dapat dipendamkan lagi, sehingga jelas kelihatan pada setiap tulisan dan nota mereka. Bahkan mereka tidak berseorangan dalam komplot ini, di mana dana-dana asing seperti NED dan OSI jelas menaja agenda jahat mereka.

Media-media seperti Malaysiakni, Malay Mail Online, dan dahulunya The Malaysian Insider giat mencari ruang-ruang yang tidak didominasi oleh media Melayu-Islam untuk memutar-belitkan berita dan menjadikannya sensasi.

Taktik mereka adalah dengan menerbitkan tajuk berita yang mengelirukan supaya menjadi bahan perbincangan umat Islam untuk berdebat sesama sendiri, lantas menukar kembali tajuk tersebut selepas isu yang dibincangkan itu mula panas, sepertimana yang berlaku pada isu fatwa kebangsaan pada ucapan ‘rest in peace’ setelah meninggalnya mendiang Karpal Singh.

Dan sikap mereka ini masih tidak berubah sehingga kini.

Kelompongan media Melayu-Islam dalam menguasai sektor pembacaan menengah Melayu yang berasaskan bahasa Inggeris juga merupakan antara punca mengapa media-media ini masih berterusan dengan niat buruk mereka, sehingga tidak dapat dibendung lagi.

Kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan penggerak dan aktivis gerakan Melayu-Islam menyebabkan hentaman berita-berita media liberal tidak dapat diberi tindak balas yang baik, lantas kegagalan demi kegagalan dialami oleh gerakan Melayu-Islam dalam menguasai pandangan umum.

Meskipun hakikat jumlah mereka yang menggerakkan media ini serta gerakan sivil hak asasi kemanusiaan tidaklah ramai (bahkan orang yang sama!), kekemasan gerak atur mereka masih tidak dapat kita tandingi.

Isu hak kebebasan bersuara yang sering dilaungkan menerusi corong media-media liberal juga sebenarnya adalah suatu yang hanya bersifat selektif, justeru tepat jika kita katakan mereka ini adalah media yang hipokrit.

Pada mereka, kebebasan bersuara adalah hak yang patut dipertahankan selagi mana ia tidak mebawa kepada tindakan keganasan, lantas mereka juga bebas untuk mencampuri urusan umat Islam, sedangkan kita pula percaya bahawa kebebasan kita bersuara adalah dibatasi lingkungan syarak.

Hipokritnya mereka ini sehingga pada isu kehadiran Dr. Zakir Naik ke Malaysia, tiada lagi laungan kebebasan bersuara diperjuangkan bagi beliau. Lebih malang, ada pula umat Islam yang bersikap apolegetik dengan cuba membenarkan sifat hipokrit mereka.

Hakikatnya, pertembungan ini mendesak kita sebagai umat Islam supaya bersatu dalam mempertahankan kepentingan Melayu-Islam di Malaysia.

Kita perlu bangkit dengan arus media yang mampu mencabar ‘status quo’ media liberal, sehingga mereka tidak lagi berani mengganggu-gugat urusan umat Islam. Sudah pasti cabarannya hebat, namun apa lagi yang mampu kita wariskan untuk generasi akan datang jika kita gagal di medan ini.

Dr Syamil Salmi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *