home Tarbiah Keselesaan bagi mukmin adalah istidraj

Keselesaan bagi mukmin adalah istidraj

 

Begitulah saya cuba ringkaskan dan formulakan antara prinsip ketinggian rohani seorang mukmin.

Iaitu apabila dia mula berpuas hati dengan keadaannya di hadapan Allah, dan tidak berusaha untuk maju dan terus ke depan.

Boleh jadi dia seorang yang cemerlang, lalu dia menyangka kecemerlangan itu tanda Allah sayang padanya walaupun dia banyak masalah di hadapan Tuhan. Boleh jadi dia seorang yang sentiasa gagal, lalu dia merasakan kegagalannya itu tanda Allah jauhkan dia dari fitnah kecemerlangan atau yang dikatakan istidraj, lalu dia merasa selesa seolah-olah merasakan Allah sayangi dia dalam keadaannya yang sedemikian.

Boleh jadi dia orang yang kaya, lantas kekayaannya menyekatnya untuk menaikkan status hubungannya dengan Allah. Boleh jadi juga dia seorang yang miskin, lantas merasakan selamat dari istidraj kekayaan lalu tidak pula berusaha membaiki hubungannya dengan Tuhan.

Hakikatnya kedua-dua jenis manusia ini adalah manusia yang terpedaya. Yang pertama biasa kita dengarkan. Yang kedua lebih tersembunyi kerana dia hakikatnya sedang diperangkap dalam istidraj yang tidak disedari, iaitu berbentuk keselesaan dan tidak mahu perbaiki hubungan dengan Tuhan.

Mereka tidak memahami bahawa nikmat Tuhan itu diberikan pada yang jahat dan baik, juga ditarik daripada orang jahat dan orang baik. Mereka juga tidak memahami bahawa Tuhan tidak melihat apa yang Tuhan lakukan padanya yang berbentuk ‘takdir’ dan ‘rezeki’ tetapi Dia menilai berdasarkan respons dan pilihan seseorang hamba terhadap susunan ‘takdir’ dan ‘rezeki’ tersebut. Sama ada mahu bersyukur atau terus kufur.

Atas sebab itu, mana-mana status hidup kita yang mengundang keselesaan kita di hadapan Allah, itulah dia istidraj.

‘Maka berlarilah menuju Allah’ – Adz-Dzariyaat

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *