home Tokoh Bapa Optik, Ibnu Al-Haytham

Bapa Optik, Ibnu Al-Haytham

 

Ibnu Haytham atau dikenali juga sebagai Abu Ali Al-Hassan Ibnu Al-Hassan Ibnu Al-Haytham, merupakan tokoh ilmuwan yang tidak asing lagi dengan kepakarannya dalam bidang optik. Beliau yang berasal dari Basrah, Iraq telah mendapat pendidikan di Basrah dan di Baghdad.

Ibnu Haytham amat bertuah kerana dilahirkan semasa zaman kegemilangan umat Islam pada 1 Julai 965 masihi, dimana beliau dibesarkan dalam kalangan umat yang cintakan ilmu. Ibnu Haytham dikatakan terhubung dengan Universiti Al-Azhar semasa keberadaannya di Kaherah dan terlibat dengan Dar Al-Ilm’ iaitu Rumah Ilmu yang merupakan antara perpustakaan terpenting selepas Baitul Hikmah di Baghdad. Beliau juga bertugas sebagai pegawai awam dan beliau banyak membaca karya-karya teologi dan sains sewaktu menetap di Iran Buyah.

Bukan sahaja dikenali di Timur Tengah, malah di barat beliau juga dikenali dengan sebagai ‘Alhazen’. Al-Haitham menunjukkan melalui ujikaji beliau bahawa cahaya bergerak dalam garisan lurus. Beliau telah melakukan beberapa ujikaji dengan kanta, cermin pembiasan, dan juga pantulan cahaya.

Beliau merupakan orang yang pertama yang memikirkan tentang komponen menegak dan mendatar buat pancaran cahaya yang terbias dan terpantul yang merupakan langkah penting terhadap pemahaman optik dari segi geometri. Beliau juga merumuskan bahawa garisan cahaya terbias dari satu sumber sebelum memasuki mata.

Beliau telah melakukan ujikaji tersebut di dalam sebuah bilik gelap ‘dark chamber’ atau Albeil Almuzium. Bilik gelap ini seterusnya menjadi ‘kamera obskura’ iaitu asas kepada fotografi. Bukan itu sahaja, Al-Haitham juga telah mengkaji proses penglihatan, struktur mata, pembetukan imej di dalam mata, dan sistem penglihatan serta menamakan beberapa bahagian di organ mata seperti kornea, retina dan kanta. Ibnu Haytham telah membuat ujikaji untuk membuktikan bahawa kita dapat melihat kerana cahaya bergerak dalam satu garisan lurus ke dalam mata kita.

Hasil daripada kajian-kajian beliau tersebut, maka terhasillah sebuah kitab, Kitab al Manazir (Kitab Optik) atau dalam bahasa latinnya De Aspectibus yang banyak digunakan pada zaman pertengahan atau Renaissance oleh golongan ilmuwan Eropah. Kajiannya dipengaruhi oleh golongan bijak pandai Eropah seperti Averroes, Witelo, Roger Bacon, Kepler dan seterusnya digunakan sebagai panduan sehingga kini.

Al-Haitham juga turut dikenali atas penguasaan beliau dalam bidang-bidang ilmu lain seperti kaedah saintifik, sains eksperimen, fizik eksperimen, psikologi eksperimen, persepsi penglihatan, geometri analitik, astronomi bukan Ptolemaic, dan mekanik cakerawala.

Salah satu kisah kerjayanya yang diceritakan ialah apabila beliau dipanggil oleh pemerintah Kekhalifahan Fatimiyyah, Al-Hakim bi-Amr Allah ke Mesir untuk mengawal pembanjiran sungai Nil. Ia merupakan suatu usaha yang memerlukan pembinaan empangan di tempat terbinanya Empangan Aswan sekarang.

Selepas diperintahkan untuk mengawal banjir di Sungai Nil tersebut, beliau sedar akan kemustahilan rancangannya. Oleh kerana beliau takut akan kemarahan khalifah, beliau pura-pura gila untuk mengelak daripada dijatuhi hukuman(dalam islam orang gila tidak dijatuhkan hukuman).

Akhirnya Khalifah al-Hakim tidak menjatuhkan hukuman buang negeri terhadap Al-Haitham tetapi beliau telah dijatuhkan hukuman penahanan dalam rumah dari tahun 1011 M sehinggalah kematian Khalifah al-Hakim dalam tahun 1021 M. Dalam waktu penahanan itu, beliau mula mengembangkan ilmu fizik dan matematiknya sehingga terhasilnya kitab daripada beliau.

Walaupun beliau pernah gagal dalam kerja beliau, semangat yang mendalam dan tidak berputus asa dalam menimba ilmu yang ditunjukkan seharusnya menjadi teladan dan pendorong semangat khususnya kepada generasi muda pada zaman kini untuk mencipta lagi kejayaan yang mampu membuka mata dunia dan seterusnya memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat umum.

Sejarah Islam menyaksikan kejayaan hasil daripada umat Islam sendiri yang berusaha berhijrah untuk memperoleh ilmu yang pastinya tidak datang bergolek. Oleh itu, marilah anak-anak muda bersama-sama kita mengorak langkah untuk mengutip sebanyak-banyaknya ilmu dan melakukan perubahan serta kemajuan untuk menaikkan darjat dan kemuliaan serta kejayaan umat Islam terdahulu yang telah sekian lama lenyap ditelan oleh kebodohan dan kelekaan orang Islam itu sendiri.

Rujukan: http://lostislamichistory.com/ibn-al-haytham-the-first-scientist/
Terjemahan dan olahan: https://ismakorea.wordpress.com/2017/03/24/bapa-optik-ibnu-al-haytham/

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *