home Tarbiah Tujuh sebab kenapa Ramadhan adalah masa terbaik untuk berubah

Tujuh sebab kenapa Ramadhan adalah masa terbaik untuk berubah

 

Tujuh sebab kenapa Ramadhan adalah masa terbaik untuk berubah
(dipetik daripada nota-nota lama Ramadhan)

1) Ramadhan adalah bulan memperkukuhkan tekad dan azam yang padu serta bulan memperkukuhkan jati diri menghadapi tuntutan jasadi, mengawal desakannya serta mengutamakan keredhaan dan janji Allah. (Fi Zilal al Quran)

2) Puasa adalah rawatan mujarab dalam melepaskan diri dari cengkaman dan bebanan kebiasaan (tabiat buruk). Kita mampu meninggalkannya (jika bertekad sepenuh hati) tanpa mengalami apa-apa kesakitan atau mudharat.

“Intipati puasa ialah mengawal diri daripada syahwat dan meninggalkan rutin” (Zad al-mad’ad)

Bagaimana?

3) Puasa menguatkan kemahuan iradat

“Sekadar mana kemahuan iradat meningkat sekadar itulah kekuasaan adat kebiasaan meluntur” (Islamuna)

4) Tempoh perubahan yang lama

Berpaksikan kepatuhan kepada hukum syara’ dan keinginan untuk taat, orang yang berpuasa akan meningalkan rutin kebiasaannya selama lebih kurang 29-30 hari. Ia adalah satu tempoh yang mencukupi untuk berubah jika disertakan dengan niat yang jujur.

5) Perubahan yang menyeluruh

Semasa berpuasa, seseorang mengubah waktu tidur, waktu jaga, makan minum, cara penggunaan waktu, susunan prioriti kerja bahkan perasaan dan tingkah lakunya. Oleh itu keupayaan untuk kita berubah semasa bulan Ramadhan akan lebih besar dan kuat.

6) Penglibatan ramai

Puasa Ramadhan membentuk satu perubahan yang meliputi semua individu masyarakat muslim. Setiap muslim terlibat dalam perubahan zahir dan batin. Ini membantu perubahan, apabila kita berada dalam satu suasana masyarakat yang berlumba-lumba hendak buat kebaikan. Fastabiqul Khairat! Justeru, sesiapa yang inginkan perubahan sikap dia akan mendapati dirinya tidak keseorangan bahkan seluruh masyarakat mendokongnya.

7) Apabila tiada kejayaan dalam mengubah diri padahal terdapat peluang yang banyak, pahala yang melimpah ruah dan tempoh yang panjang, saya jangkakan anda tidak akan berubah, bahkan anda sememangnya tidak mahu berubah.

Jika anda tidak mengubah kebiasaan yang buruk di dalam Ramadhan, anda adalah orang yang tersekat dari rahmat Allah dan menyalahi hikmahNya. Allah menjadikan puasa untuk para hamba, supaya mereka mengubah perangai-perangai mereka. Tetapi malangnya, mereka hanya mengubah waktu makan mereka sahaja. (Ibadat Fil Islam)

Wallahualam.

Selamat menyambut Ramadhan.

Asyraf Farique

Sumber: https://www.facebook.com/asyraf.farique/posts/1748243248526075

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *