home Semasa Berbuka puasa tepi jalan demi tugas

Berbuka puasa tepi jalan demi tugas

 

KLANG – Sudah menjadi kebiasaan buat polis trafik terpaksa berbuka puasa di tepi jalan, lebuhraya, pejabat dan di mana-mana sahaja sepanjang bulan Ramadan lantaran tugas dan tanggungjawab yang tidak mampu dilepaskan.

Itulah pengorbanan mereka yang ramai tidak nampak, bahkan mereka terpaksa bertugas di bawah panas mentari, hujan dan petir demi mengawal lalu lintas meskipun dalam keadaan menahan lapar dan dahaga.

Sarjan Mejar Jelani Jamil, 54, yang sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 35 tahun lalu berkata, sebagai anggota trafik perkara itu sudah lali dalam kehidupannya dan rakan-rakan seangkatan yang lain.

“Di mana kita bertugas, di situlah kita berbuka sebaik azan berkumandang.

“Jika ‘on duty’ memang saya akan buka puasa di pejabat, jika terpaksa turun padang kita akan berbuka dengan rakan setugas di lokasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sudah menjadi adat sesiapa sahaja berkhidmat dalam bahagian trafik akan berbuka di mana-mana sahaja.

“Pernah berlaku dalam Ramadan beberapa tahun dulu, saat nak buka puasa ada lori rosak dan menghalang lalu lintas, saya dan rakan terpaksa tolak lori ke tepi dan berbuka puasa di situ.

“Perkara paling perit, masa buat kawalan lalu lintas di lokasi kemalangan memang memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.

Katanya, sesiapa yang bertugas dalam trafik memang kena banyak bersabar selain kena ada sikap tolak ansur dengan rakan setugas, termasuk juga dengan isteri dan anak-anak.

Bagi Sub Inspektor Johanis Sani yang bertugas di Bahagian Trafik sejak tahun 2002 berkata, memang rasa sayu bila terpaksa berbuka puasa seorang diri di tepi jalan dan juga pejabat.

“Namun lama-kelamaan ia jadi satu kebiasaan, pada mulanya isteri dan anak-anak juga sukar nak faham dan terima dengan tugas saya bagaimanapun akhirnya mereka faham tugas sebagai polis trafik.

“Selama bertugas dalam trafik pernah saya nyaris dirempuh ketika membuat kawalan lalu lintas trafik, nasib baik saya sempat mengelak,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Katanya lagi, selama 33 tahun berkhidmat dalam PDRM pelbagai ragam dan karenah manusia ditemuinya namun kena banyak bersabar.

Kedua-dua polis berkenaan ditemui ketika berbuka puasa bersama rakan-rakan setugas dari Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di tepi Jalan Tengku Ampuan Rahimah (TAR), di sini malam tadi selepas masing-masing selesai membuat kawalan lalu lintas yang menjadi rutin harian mereka sepanjang Ramadan dan hari biasa.

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Trafik IPD Klang Selatan, Asisten Superintendan Mohd Harman Mohd Hanif berkata, kawalan lalu lintas dipertingkatkan sepanjang Ramadan bagi mengelak kesesakan yang teruk ekoran pertambahan kenderaan khususnya di laluan utama.

“Seramai enam anggota akan ditempatkan di empat check point bermula jam 5 hingga 7 petang, ada check point kita tempatkan dua dan juga seorang anggota bergantung kepada keadaan lalulintas.

“Empat check point itu adalah di lampu isyarat persimpangan Seraya, lampu isyarat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), lampu isyarat Jalan Tun Razak dan Susur Taman Andalas/Hemodialisis,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *