home Kalam Tokoh, Kolumnis, Semasa Iktikaf perkukuh kekuatan jiwa

Iktikaf perkukuh kekuatan jiwa

 

Diriwayatkan, Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan ini sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan selepas baginda wafat.

Iktikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’. Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid.” (Al-Baqarah: 187)

Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.

Daripada Aishah RA bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda. (Muttafaqun alaih)

Daripada Aishah RA telah berkata: “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)”. (Muttafaqun alaih)

Daripada Abu Hurairah RA telah berkata: “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan baginda”. (Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah)

Ibadah ini sangat bermanfaat kepada kita untuk kita memaksimakan pencarian kekuatan dalaman kita di dalam rumah-rumah Allah, sebagai tetamu-tetamu Allah SWT, sebagai persiapan menghadapi seribu satu dugaan yang lebih mencabar di dalam kehidupan.

Inilah masanya kita merasa sangat dekat dengan Allah SWT. Meluangkan masa untuk merintih, merayu, berbisik mengemukakan permohonan, meninsafi dan mengakui kesilapan dan kesalahan masa lalu dan merenung hala tuju masa depan menghabiskan sisa-sisa kehidupan seterusnya.

Inilah saatnya kita meleburkan semua keegoan kita yang bersarang di dalam sanubari sehingga menghalang kita merendahkan diri dan merasa serba sempurna sehingga merendah dan menghina orang lain.

Inilah masanya kita mengasingkan diri seketika dari hiruk pikuk dunia untuk kita merenung hal keadaan diri sendiri dan hal keadaan masyarakat yang semakin menjauhi agama. Rasulullah SAW sendiri pada awal fasa dakwah menjadikan gua hira’ sebagai tempat untuk menyendiri lantas berfikir perihal keadaan umat Mekah.

Ramadhan kali ini penuh dengan perkara-perkara yang perlu direnung oleh umat Islam di dalam ketengan beriktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan kali ini. Masyarakat Islam dikejutkan dengan pergolakan dunia Islam yang hakikatnya telah memporak perandakan ulama dan umat Islam serta mengukuhkan lagi cengkaman pihak-pihak yang memusuhi Islam di samping pembantaian dan siri pembunuhan yang berterusan kepada umat Islam di seluruh dunia.

Di dalam negara pula umat Islam dihidangkan dengan idea-idea pelik yang seperti idea gagasan pernikahan wanita tanpa wali, memperjuangkan hak asasi makan di khalayak ramai di dalam bulan Ramadhan, seruan untuk menghapuskan peranan ulama di dalam masyarakat yang dikatakan mengganggu “kebebasan” masyarakat yang mendokong LGBT dan sebagainya.

Iktikaf akan memberi kekuatan dalaman kepada umat Islam khususnya para pendakwah dalam menghadapi cabaran ini di samping merasa rapat dengan Allah SWT untuk memohon hidayah dan petunjuk Allah agar dapat membimbing para pendakwah mencari kaeadah terbaik untuk menyelamatkan masyarakat daripada terus disesatkan oleh golongan yang cuba mengelirukan umat Islam.

Masjid-masjid di Malaysia sepatutnya menyediakan suasana yang kondusif untuk menggalakkan masyarakat menunaikan ibadah iktikaf di masjid dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya termasuklah menyediakan juadah sahur dan sebagainya.

Mungkin tidak ramai umat Islam yang mampu iktikaf sepenuhnya selama sepuluh hari di masjid atas kekangan tugas, namun jika jawatankuasa masjid merancakkan lagi aktiviti-aktiviti di masjid-masjid pada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sudah tentu menarik ramai jemaaah untuk datang dan beriktikaf di masjid walaupun tidak sepenuhnya. Juga ia memberi peluang kepada jemaah untuk merebut Malam Al-Qadr yang lebih baik dari seribu bulan.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *