home Semasa Tentera Turki tiba di Qatar untuk latihan ketenteraan

Tentera Turki tiba di Qatar untuk latihan ketenteraan

 

DOHA – Kementerian Pertahanan Qatar mengumumkan kehadiran kumpulan pertama tentera Turki di ibu negaranya, Doha, untuk mengambil bahagian dalam latihan bersama.

Kementerian itu berkata, kumpulan berkenaan akan menjalankan latihan pertama mereka di pangkalan tentera Tariq bin Ziyad pada Ahad ini.

Latihan yang telah lama dirancang adalah sebahagian daripada persetujuan bersama untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan kedua-dua negara, serta meningkatkan usaha memerangi kumpulan bersenjata dan mengekalkan kestabilan serantau.

Ia juga susulan krisis Teluk membabitkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir dan beberapa lagi negara lain yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar minggu lalu, selepas menuduh Doha menyokong keganasan dan Iran.

Qatar bagaimanapun menolak tuduhan berkenaan.

Awal bulan ini, Parlimen Turki mempercepat kelulusan perjanjian berasingan dengan Qatar yang membolehkan tentera dikerah ke sebuah pangkalannya di negara Teluk itu.

Perjanjian berkenaan ditandatangani pada April tahun lalu. Turki adalah antara negara yang menjadi penyokong Qatar sejak pertikaian Teluk bermula 5 Jun lalu.

Ankara juga berusaha menjadi orang tengah antara dua pihak untuk mencari penyelesaian kepada krisis itu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *