home Semasa Ulama Turki pertahan, sokong Qaradawi, Ikhwanul Muslimin dan Hamas

Ulama Turki pertahan, sokong Qaradawi, Ikhwanul Muslimin dan Hamas

 

ISTANBUL – Ulama-ulama Islam terkemuka Turki mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan kepada Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, lapor agensi berita Anadolu.

Kenyataan itu antara lain ditandatangani oleh ulama terkenal Ahmet Agirakca; Yusuf Ziya Kavakci; Ramazan Kayan; Nureddin Yildiz; Ahmet Tasgetiren; dan Ali Riza Demircan.

Qaradawi sebelum ini dituduh sebagai ‘pengganas’ oleh Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain yang bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, di mana beliau tinggal dalam buangan.

“Kami mengisytiharkan bahawa kami bersama rakyat Qatar dan ulama seperti Qaradawi yang menentang imperialisme. Kami menuntut tindakan yang tidak rasional terhadap mereka dihentikan,” kata kenyataan itu.

Ulama-ulama itu menambah bahawa tindakan terhadap Qaradawi, Ikhwanul Muslimin dan Hamas adalah tidak adil.

Qaradawi menubuhkan Kesatuan Ulama Islam Sedunia di Doha pada 2004 dalam usaha menyatukan umat Islam. Bagaimanapun, kesatuan itu dituduh menjadi alat politik untuk menaikkan parti Islam seperti Ikhwanul Muslimin.

Kesatuan itu sebelum ini, mengecam tuduhan terhadap Qaradawi; Ali al-Salabi; Sadiq Al-Ghariani dan beberapa individu lain yang disenaraikan sebagai mempunyai hubungan dengan pengganas.

“Menuduh kedua-dua pergerakan itu (Ikhwanul Muslimin dan Hamas) sebagai pengganas dan mengaitkan sesiapa yang dekat dengan mereka sebagai musuh, sama dengan tindakan untuk memusnahkan sesiapa sahaja yang berfikir untuk ummah dan menentang imperialisme,” kata ulama Turki itu.

Menyifatkan Qaradawi dan ulama sepertinya sebagai ‘penghormatan dan suara hati’ umat Islam seluruh dunia, ulama-ulama itu berkata, lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Arab Saudi menjadi pemangkin kepada pemboikotan terhadap Qatar.

Kerajaan Doha menyifatkan kenyataan Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menuduh 59 individu dan 12 pertubuhan amal di Qatar ada hubungan dengan pengganas, adalah tidak berasas dan fitnah.

Sebelum ini, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menggesa Raja Arab Saudi, Raja Salman mencari jalan menyelesaikan krisis itu.

Beliau menegaskan bahawa Qatar bukan negara yang menyokong pengganas, sebaliknya Doha bersama-sama Ankara menentang keganasan. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *