home Kalam Tokoh, Semasa Perbuatan zina merosakkan sistem masyarakat

Perbuatan zina merosakkan sistem masyarakat

 

Antara objektif (maqasid) hukum-hukum syariah yang penting di dalam Islam ialah isu penjagaan nasab. Kita dapati banyak ayat al-Quran yang menjelaskan pentingnya penjagaan nasab. Firman Allah SWT: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka (keturunan) dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya). (Al-Furqan: 54)

Perbuatan zina adalah satu perbuatan yang akan menghasilkan ketidaktentuan dalam penjagaan keturunan. Islam adalah agama yang membina masyarakat yang berketurunan jelas dan mulia. Maka Islam mengharamkan zina malah mengharamkan apa juga tindakan yang menghampirkan diri kepada perzinaan seperti mendedahkan aurat, tidak menjaga pandangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan lain-lain. Firman Allah SWT:

Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan. (Al-Furqan: 68-69)

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Al-Isra’: 32)

Bahkan al-Quran memperuntukkan hukuman khusus bagi penzina. Firman Allah: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.(Al-Nur:2)

Jenayah perzinaan telah merosakkan sistem masyarakat yang mulia dan bersih maka hukuman yang dikenakan berhak juga untuk dipersaksikan oleh sebahagian masyarakat yang beriman. Hak masyarakat untuk hidup di dalam sistem yang menjamin kemuliaan keturunan ini sepatutnya di dahulukan daripada membela segelintir kecil pelaku-pelaku maksiat ini.

Al-Quran juga menjelaskan tentang pentingnya kejelasan keturunan (nasab) dan asal usul kekerabatan dengan mengharamkan menisbahkan anak angkat seperti anak kandung dari sudut panggilan. Jika di dalam ‘uruf masyarakat kita ialah dengan mem’bin’kan anak angkat dengan bapa angkat. Firman Allah SWT: dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. (Al-Ahzab: 4-5)

Bagi anak-anak yang lahir dari perzinaan maka ia dinasabkan kepada ibunya berdasarkan kepada satu hadith Nabi SAW riwayat Abu Daud. Bahkan anak hasil perzinaan itu tiada hubungan pewarisan dengan lelaki yang mengakibatkan kelahihirannya. Dari ‘Amr ibn Syu’ib dari datuknya bahawa Nabi SAW bersabda Setiap orang yang menzinai perempuan samada perempuan itu merdeka atau hamba maka anaknya itu adalah anak zina , ia tidak mewarisi dan tidak mewariskan. (HR al -Tirmizi).

Imam al-Sayyid al-Bakry di dalam kitabnya I’anah al Talibin juga menyebutkan “anak zina itu tidak dinasabkan kepada ayah, ia hanya dinasabkan kepada ibu”. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 41 yang diadakan pada 25 Jun 1998 dengan mengambil kira uruf setempat dan kemaslahatan anak ini maka seorang anak tak sah taraf atau anak luar nikah tidak wajar dibin atau dibintikan kepada ibu anak tersebut kerana ini mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada kanak-kanak itu. Oleh yang demikian anak tersebut dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau lain-lain nama “Asma al-Husna” berpangkalkan Abdul.

Masyarakat perlu dididik bahawa anak hasil perzinaan tiada apa-apa kesalahan yang dilakukannya. Begitu juga anak itu sendiri perlu dipulihkan kepercayaannya bahawa ia berhak untuk hidup seperti orang lain dan berpeluang untuk menjadi hamba-hamba Allah yang soleh serta dia tidak mewarisi dosa yang telah dilakukan oleh ibunya.

Firman Allah : Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya. (Al-An’am: 164)

Anak itu tidak perlu merasa terasing dengan ber’bin’ atau ber’binti’ Abdullah mahupun Abdul Rahman dan nama-nama asmaul husna yang lain kerana di Malaysia dan di dunia Islam ramai yang berbin dan berbintikan Abdullah. Bahkan Nabi Muhammad SAW pun berbinkan Abdullah. Bahkan Nabi SAW menyebutkan di dalam sahih Muslim: Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman.

Kesimpulannya ajaklah masyarakat benci kepada zina kerana hasil perzinaan terbukti membawa masalah di dalam banyak perkara termasuklah isu perundangan di nagara kita.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *