home Kalam Tokoh, Semasa Konsep toleransi agama menurut Islam

Konsep toleransi agama menurut Islam

 

Kehidupan di dalam negara yang berbilang kaum dan agama menuntut kepada sikap toleransi di kalangan rakyat. Namun akibat salah faham terhadap konsep ini, terdapat sesetengah pihak terlajak menghormati penganut agama lain sehingga menjatuhkan maruah agama sendiri dan mengiktiraf kebenaran agama lain. Wartawan ISMAweb menemuramah Sahibul Fadilah Tuan Haji Zamri Hashim Timbalan Mufti Negeri Perak merangkap Yang Dipertua ISMA Cawangan Ipoh bagi menjelaskan isu ini.

Wartawan: Apakah asas dalam konsep toleransi agama bagi umat Islam?

Ustaz Zamri Hashim: Islam sentiasa mesti berada mengatasi agama-agama lain. Inilah aqidah kita. Aqidah ini dibina atas asas pemahaman kita kepada beberapa nas syarak. Antaranya:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّـهِ فَإِنَّ اللَّـهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿آل عمران: ١٩﴾

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿آل عمران: ٨٥﴾

“Dan sesiapa yang mencari agama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

Hadith Rasulullah SAW:

(الإسلام يعلو ولا يعلى عليه). رواه البيهقي، وحسنه الألباني

“Islam itu tinggi dan tiada lain yang mengatasinya.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, dihasankan oleh Al-Baani)

Daripada asas di atas, setiap individu dan organisasi yang memperjuangkan mengharmonikan antara agama-agama dengan apa jua jenama dan nama mesti berpegang teguh dengan thawabit (ketetapan) ini iaitu Islam mesti diletakkan di tempat yang selayaknya.

Wartawan: Toleransi agama membawa maksud bagaimana orang Islam berinteraksi dengan orang bukan Islam dalam martabat Islam kekal di tempat tertinggi. Boleh Ustaz jelaskan perkara ini?

Ustaz: Secara umumnya kita sebagai individu mahupun secara kolektif sewajibnya tahu sempadan hubungan kita dengan penganut agama lain. Ada perkara-perkara pokok yang perlu diperhalusi dalam isu toleransi beragama, iaitu:

i- Sewajibnya kita juga mesti mengetahui perkara-perkara yang disebut sebagai thawabit (الثوابت) – perkara-perkara pokok dan asas yang tiada tolak ansur – dan al mutaghayyirat (المتغيرات)- perkara-perkara yang menerima perubahan.

ii- Kita juga juga wajib kembali kepada perkara asas hubungan muslim – kafir di dalam pengajian tauhid iaitu al wala’ dan al barra’.

iii  -Kita juga wajib menimbang dengan neraca syarak antara kepentingan menjaga objektif syarak (مقاصد الشريعة) yang paling utama iaitu menjaga agama (حفظ الدين) dengan alasan membuka ruang dakwah. Kaedah utama ‘menolak kerosakan perlu didahulukan ke atas mendatangkan maslahah’. ( درء المفاسد مقدم على جلب المصالح )

Ruang interaksi dengan agama lain memang dijamin oleh al Quran seperti ayat:

 قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّـهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّـهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ ﴿٦٤

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

Rasulullah SAW sendiri pernah melakukan dialog dengan Nasrani Najran.

Namun ruang interaksi ini perlu dikawal dengan garis-garis panduan kerana hakikatnya Islam memberi ruang interaksi yang bersempadan dengan orang bukan Islam.

Wartawan: Terdapat pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu menggugat keharmonian serta toleransi antara agama misalnya dalam isu kalimah Allah. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

Ustaz: Isu penggunaan kalimah ALLAH telah diambil peluang sepenuhnya setiap pihak untuk menggugat kesatuan ummat Islam dan cara yang terbaik untuk percubaan mengubah kedudukan Islam di negara ini.

Para ahli agama selain Islam seperti paderi, sami dan lain-lain selama ini menjalankan tugas keagamaan masing dengan cukup harmoni menghormati hak-hak orang Islam. Beberapa peruntukan Undang-undang Persekutuan yang selama ini memberi kekuatan kepada Islam telah diterima secara hormat oleh pemuka-pemuka agama lain ini. Bahkan halangan penggunaan beberapa perkataan khusus untuk umat Islam telah sekian lama diwartakan dan diterima oleh semua anggota masyarakat muslim dan non muslim.

Namun perubahan landskap penerimaan situasi ini bermula apabila perjuangan agama-agama selain Islam mula diambil alih oleh ahli-ahli politik dan juga para peguam yang secara tidak jujur melihat kelemahan-kelemahan perundangan  yang menjadi ruang kepada mereka untuk mencabar kedaulatan Islam. Lebih malang apabila tindakan mereka juga didokong oleh orang-orang Islam sendiri.

Fenomena ini  dirancakkan  lagi dengan pertembungan “buku dan ruas” antara kerajaan dan pembangkang dalam dua siri pilihan raya umum yang mempertaruhkan banyak isu termasuk isu aqidah dalam usaha meraih simpati sokongan bukan Islam.

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah satu mata rantai dari sekalian banyak lagi isu yang akan melihat sejauh mana kesatuan dan kesepakatan umat Islam ghairah mempertahan asas agama mereka.

Wartawan: Golongan muslim moderat mendakwa agama merupakan urusan peribadi. Oleh itu konsep toleransi menurut mereka ialah perkongsian hak  sama rata antara agama-agama. Apa pandangan Ustaz?

Ustaz: Ramai yang terkesan dan tersilau –  termasuk golongan muslim moderat – dengan sejarah pertembungan antara gereja dengan ahli-ahli sains yang melibatkan pengamalan agama di kalangan masyarakat. Mereka juga gagal memahami tabiat sebenar agama Islam  dan sempadan yang wajib dipatuhi oleh para ulama Islam. Kegagalan ini mengakibatkan mereka cuba “mengkembar iras”kan  Islam dan ulamanya dengan sejarah hitam penganut agama kristian ini. Maka mereka pun merasakan perlu juga pengamalan Islam ini hanya bersifat individu dan jangan ada campur tangan kerajaan dalam bentuk institusi-institusi tertentu mahupun campurtangan dari masyarakat.

Dalam konteks negara kita, mereka bercita-cita agar dibuang segala keistimewaan Islam dalam perlembagaan negara dan berhempas pulas mereka cuba mempertahankan “sekular” negara ini.

Ini bertentangan dengan Al-Quran yang menegaskan antara kewajiban mereka yang diberi kekuasaan di atas muka bumi ini adalah untuk menjaga urusan beragama rakyatnya:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿الحج: ٤١﴾

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Bahkan syarat penting untuk kita menaiktaraf nilai kita menjadi umat terbaik خيرأمة  ialah menjalankan kerja-kerja amar makruf dan nahi munkar.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿آل عمران: ١١٠﴾

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

Wartawan:  Adakah salah faham seseorang berkenaan dengan toleransi agama ini boleh menggugurkan akidah?

Ustaz: Jika toleransi itu dimaksudkan mencari titik pertemuan antara tauhid dan kufur, lantaran itu menerima konsep semua agama adalah benar dan menyampaikan penganutnya kepada syurga, sudah tentu ia boleh mengeluarkan seseorang itu daripada Islam.

Jika toleransi itu sampai kepada peringkat memaksa-maksa penyesuaian Islam dengan agama lain sehingga meleburkan prinsip-prinsip Islam dan merugikan masa depan Islam dan umatnya , maka ia sangat ditegah di dalam Islam.

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.”

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ﴿١﴾ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ﴿٢﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٣﴾ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ﴿٤﴾ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ﴿٥﴾ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ﴿٦﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.” Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

Tetapi jika toleransi agama hanya berkaitan mengenai kehidupan dan kepentingan bersama seperti penjagaan alam sekitar, meningkatkan kesedaran tentang jenayah dan sebagainya, ruang ini sentiasa terbuka luas. Apatah lagi jika ia dijadikan ruang memperkenalkan Islam kepada penganut agama lain.

Wartawan: Melihat kepada apa yang berlaku ketika ini di mana Islam makin diancam dan digugat, pada pendapat ustaz sejauhmana tahap dan cara yang kita perlukan untuk bertoleransi terhadap agama lain?

Ustaz: Perkembangan mutakhir ini sangat menyedihkan apabila isu-isu pokok Islam dan umatnya serta isu agama Islam dalam perlembagaan yang sepatutnya menjadi asas perjuangan umat Islam keseluruhannya telah diheret menjadi isu-isu toleransi antara agama. Lebih malang apabila yang menjadi jurucakap dan jurubela agama lain adalah tokoh-tokoh umat Islam sendiri.

Umat Islam telah berjaya dinormalisasikan sehingga nilai-nilai ukhuwwah islamiyyah telah diganti dengan ukhuwwah insaaniah. Sanggup untuk bertoleransi tahap melampau atas alasan dakwah tanpa menimbangtara kesan yang berlaku.

Panduan di dalam surah al Mumtahanah sangat memberi panduan dalam mengatur semula hubungan antara agama ini :-

  لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿٩﴾

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Sumber: http://www.ismaweb.net/2014/02/konsep-toleransi-agama-menurut-syarak/

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *