home Semasa Myanmar sengaja halang Rohingya kembali ke Rakhine: PBB

Myanmar sengaja halang Rohingya kembali ke Rakhine: PBB

 

GENEVA – Rejim Myanmar dilaporkan menyusun strategi teratur dan sistematik, termasuk melakukan serangan, bertujuan menghalang etnik minoriti Islam Rohingya daripada kembali ke Rakhine, negeri di barat Myanmar.

Perkara itu didedahkan oleh pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) dalam satu laporannya semalam.

Laporan berkenaan berdasarkan kepada wawancara yang dilakukan dengan pelarian Rohingya yang tiba di Bangladesh bulan lalu, sekali gus menyifatkan bahawa operasi pembersihan etnik di Rakhine telah bermula sebelum serangan bersenjata di pos kawalan polis rejim pada 25 Ogos lepas.

Setakat ini, lebih 500,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, sejak serangan muslim Rohingya ke atas beberapa pos kawalan polis sehingga mencetuskan tindak balas kejam tentera rejim Myanmar.

Menurut (OHCHR), lebih setengah juta umat Islam Rohingya dihalau dari Rakhine, malah rumah, tanaman dan perkampungan mereka dibakar.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Zeid Ra’ad al-Hussein menerusi laporan itu berkata, tindakan itu dilihat sebagai helah oleh rejim Myanmar dengan memindahkan sejumlah besar penduduk Rohingya tanpa berhasrat untuk mengembalikan mereka ke Rakhine.

“Maklumat yang diperoleh menunjukkan bahawa pasukan keselamatan Myanmar sengaja memusnahkan harta milik Rohingya dan membakar kediaman mereka serta seluruh kampung di Rakhine.

“Ia bukan sahaja langkah memaksa penduduk keluar daripada kawasan itu, malah menghalang pelarian kembali semula ke perkampungan mereka nanti,” menurut laporan itu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *