home Semasa, Tarbiah Kesempurnaan risalah Islam itu adalah rahmat kepada tamadun kemanusiaan

Kesempurnaan risalah Islam itu adalah rahmat kepada tamadun kemanusiaan

 

ALLAH SWT telah menyempurnakan agama ini dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir bagi sekalian manusia. Risalah Islam yang dibawa oleh baginda merupakan panduan lengkap bagi manusia menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera di muka bumi milik Allah SWT.

Tugasan untuk menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia itu amat berat. Rasulullah SAW sendiri telah berkorban segala-galanya bagi menyampaikan Islam kepada yang lemah dan kuat, rakyat dan raja, kampung pedalaman dan negara besar Rom dan Parsi. Puluhan peperangan telah dilancarkan oleh Rasullah SAW bagi melaksanakan tanggungjawab ini. Bahkan surat diplomatik dan perjanjian damai dilaksanakan dan penghantaran duta mewakili Negara Islam bagi memastikan rahmat Islam sampai ke timur dan barat. Islam yang disampaikan oleh Rasulullah SAW adalah lengkap tiada sebarang ubah suai terhadapan wahyu dan risalah ini.

Alangkah bahagia andainya umat Islam menghargai pengorbanan Nabi Muhammad SAW dengan memelihara Islam dan menganggap usaha mempertahankan Islam itu adalah lebih utama daripada segala-galanya.

Semua sistem pensyariatan (legislative) yang dibawa oleh Rasulullah SAW meliputi undang-undang dan penghakiman, pentadbiran dan kenegaraan, akhlak dan nilai, kewangan dan ekonomi adalah rahmat bagi manusia. Sesiapa yang menerimanya dengan ketundukan kepada syariat dijanjikan kejayaan di akhirat berupa syurga dengan segala kenikmatannya. Malang sekali jika manusia menolak rahmat ini dengan kesombongan dan kedegilan.

Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pemberi berita gembira dan juga pemberi peringatan (Bashir wa nazir). Tugas ini menyempurnakan lagi sifat rahmah dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat “ Dan tidak kami utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat ke sekalian alam”.

Rasulullah SAW telah bersabda: “Perumpamaanku adalah bagaikan seorang yang menyalakan api. Maka tatkala api itu menerangi sekitarnya, tiba-tiba serangga-serangga beterbangan menjatuhkan diri ke dalam api itu. Dan orang tersebut telah berusaha menghalaunya. Namun serangga-serangga tersebut tetap mendesak masuk ke dalam api tersebut. Kata beliau: ‘Maka itulah perumpamaanku dengan kalian, aku telah berusaha melindungimu dengan api neraka, jauhi api neraka, jauhi api neraka, namun kalian tetap nekad dan masuk ke dalamnya. Hadis sahih riwayat Muslim.

Manusia yang telah diberikan peringatan dan sengaja memilih kekafiran daripada keesaan Allah SWT, memilih kesesatan daripada hidayah, memilih kerosakan daripada kebaikan itu umpama serangga-serangga yang disebutkan dalam hadis ini. Bahkan lagi teruk adalah mereka mengajak pula orang-orang lain untuk masuk ke dalam api itu beramai-ramai.

Nabi SAW dengan sifat rahmatnya menyelamatkan manusia daripada seksaan api neraka. Namun, golongan kafir enggan daripada diselamatkan bahkan mahu terus kekal untuk membakar dirinya dalam kekafiran. Bukan setakat itu, golongan ini juga bersama-sama dengan syaitan berusaha gigih untuk menyesatkan manusia. Sifat

Risalah Islam ini telah menegakkan sistem yang cukup sempurna bagi kesejahteraan hidup manusia di alam ini. Islam itu bererti kepatuhan kepada kehendak-kehendak Allah SWT dan taat kepada hukum-hukumNya. Kehendak-kehendak itu telah digariskan secara jelas dalam Al-Quran sebagai wahyu yang agung. Semua manusia yang patuh dan tunduk kepada wahyu menjadi seorang muslim yang sebenar.

Cubaan golongan liberal untuk menyalahgunakan pengertian ‘Rahmat bagi sekalian alam’ adalah tanda muflis. Sebelum ini, mereka menolak dan meragui kedudukan Al-Quran dan Hadis sebagai panduan bagi umat Islam. Kali ini mereka menggunakan pendekatan jahat dengan memutar belitkan tafsiran Al-Quran mengikut tuntutan hawa nafsu mereka pula. Kononnya ‘rahmat bagi sekalian alam’ itu bermaksud menerima segala bentuk penyelewengan pemikiran sesat dan ideologi salah sebagai satu bentuk rahmat Islam. Liberal menyeru supaya amalan yang bertentangan dengan Islam diraikan sebagai satu bentuk kepelbagaian dengan harmoni tanpa perlu menegakkan Al-Amr bil Makruf wa Al-Nahy an Al-Munkar.

Masyarakat Islam di Malaysia perlu menyedari hakikat bahawa golongan yang memerangi Islam mahukan tiga perkara daripada kita:

  1. Kita menjadikan sekularisme sebagai cara hidup dan Islam hanya satu juzuk kecil dalam kehidupan.
  2. Sekularisme itu mestilah liberal dalam politik, kapitalis dalam ekonomi dan hedonisme dalam nilai dan gaya hidup.
  3. Sekularisme itu hendaklah sentiasa selari dengan kepentingan negara barat dan sekali-kali tidak cuba untuk menyaingi mereka dalam apa juga bidang.

Justeru, golongan liberal sering menggunakan hujah ‘rahmat bagi sekalian alam’ secara salah untuk menolak sebarang usaha penegakan syariat Islam di Malaysia seperti larangan pesta arak Oktoberfest, kes mahkamah maknyah, RUU355, tangkapan bagi orang Islam yang makan di khalayak ramai pada bulan Ramadhan, pendirian terhadap golongan Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT) dan banyak lagi.

Ini adalah satu bentuk salah guna yang jelas daripada manusia yang jahil dan sombong untuk belajar tentang Islam dan keindahannya. Islam digambarkan mengongkong manusia dengan syariat daripada Allah SWT. Kebebasan untuk menolak syariat itu dinamakan sebagai ‘rahmat bagi sekalian alam’. Hujah sebegini sungguh sesat dan menyesatkan.

Rahmat bagi sekalian alam adalah menerima secara menyeluruh semua isi dan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW bukannya mengubah suai kandungan risalah Islam dengan alasan yang lemah untuk menjaga hati golongan yang mahu merosakkan cara hidup Islam di negara ini. Negara Rahmah adalah negara yang melaksanakan syariat, menolak serangan pemikiran liberal yang sesat dan rakyat yang tunduk sepenuhnya secara patuh kepada sistem Islam dan nilai-nilainya.

Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat

www.indahnyaislam.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *