home Kolumnis, Semasa Menjaga batasan pergaulan (ikhtilat)

Menjaga batasan pergaulan (ikhtilat)

 

1. Dalam memelihara batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, Islam meletakkan beberapa asas sebagai panduan bagi memelihara umatnya dari terjebak dengan fitnah yang membinasakan.

2. Allah berfirman di dalam al-Quran:
وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ ۚ ذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ ۚ

Maksudnya: Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.

Al-Imam Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan bahawa kaum Muslimin ketika itu ditegah untuk berurusan secara langsung (direct) dengan para isteri Nabi ﷺ melainkan dibalik tabir. Ini adalah bagi menjaga hati kaum Muslimin itu sendiri serta mengelakkan daripada timbul sebarang fitnah.

3. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, Rasulullah ﷺ dilihat akan duduk seketika setelah selesai solat. Ini adalah bagi memberi ruang kaum wanita supaya beredar dahulu setelah solat. Perkara ini dilakukan oleh Rasulullah ﷺ adalah bagi mengelakkan percampuran atau perselisihan antara lelaki perempuan yang mungkin berlaku setelah selesai solat. Al-Bukhari merekodkan:

عن أم سَلَمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ وَمَكَثَ يَسِيرًا قَبْلَ أَنْ يَقُومَ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَأُرَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ أَنَّ مُكْثَهُ لِكَيْ يَنْفُذَ النِّسَاءُ قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُنَّ مَنْ انْصَرَفَ مِنْ الْقَوْمِ

Maksudnya: Daripada Ummu Salamah, beliau berkata, Rasulullah ﷺ akan duduk seketika setelah memberikan salam setelah selesai solat. Para wanita akan bangun setelah Baginda ﷺ memberi salam. Menurut Ibn Syihab, tindakan Rasulullah ﷺ ini adalah bagi memberikan laluan bagi wanita keluar dahulu dan mengelakkan perselisihan (percampuran, pertembungan) antara lelaki dan wanita (setelah selesai solat).

4. Menurut al-Imam Abu Daud pula, Baginda ﷺ juga pernah mengkhususkan satu pintu khas bagi wanita. Ini juga adalah bagi mengelakkan percampuran berlaku antara lelaki dan wanita. Sabda Rasulullah ﷺ:

وعَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكْنَا هَذَا الْبَابَ لِلنِّسَاءِ قَالَ نَافِعٌ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ ابْنُ عُمَرَ حَتَّى مَاتَ”

Maksudnya: Daripada Ibn Umar, Rasulullah ﷺ bersabda: Alangkah baiknya sekiranya kita biarkan pintu ini dikhususkan untuk wanita sahaja. Berkata Nafi (anak murid Ibn Umar), setelah mendengar kata2 Rasullah itu, Ibn Umar tidak pernah memasuki pintu itu sehinggalh beliau meninggal.

5. Abu Said al-Ansari juga pernah mendengar hadith bahawa Rasulullah ﷺ menasihatkan para wanita supaya mengasingkan sedikit laluan perjalanan mereka ketika melalui jalan. Ini adalah bagi mengelakkan fitnah yang mungkin berlaku. Kata beliau:

روى أَبو أُسَيْدٍ الْأَنْصَارِيّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَهُوَ خَارِجٌ مِنْ الْمَسْجِدِ فَاخْتَلَطَ الرِّجَالُ مَعَ النِّسَاءِ فِي الطَّرِيقِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلنِّسَاءِ اسْتَأْخِرْنَ فَإِنَّهُ لَيْسَ لَكُنَّ أَنْ تَحْقُقْنَ الطَّرِيقَ ( تَسِرْن وسط الطريق )

Maksudnya: Abu Said al-Ansari pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda ketika Baginda ﷺ keluar dari masjid, para lelaki dan wanita berselisih (bercampur) dalam perjalanan mereka, lalu Rasulullah ﷺ bersabda: Lewatkan (jauhkan) sedikit lalu kamu, jangan lah kamu berjalan dipertengahan jalan (sehingga bercampur lelaki wanita).

6. Mereka yang berurusan dengan masjid ini, pada andaian kita barangkali mereka adalah golongan yang mempunyai keadaan hati yang baik. Namun, walaupun dalam keadaan iman atau hati yang baik di masjid ini, Rasulullah tetap bertegas mengasingkan mereka kerana dibimbangi akan ditimpa fitnah.

Kalau di masjid dalam keadaan nak beribadah dengan suasana yang baik ini pun boleh terdedah dengan fitnah, maka apatah lagi dalam suasana di pasar atau di supermarket. Hati sudah pasti mudah terdedah dengan godaan. Maka ketika itu, sudah pasti penjagaan batasan pergaulan amat perlu dijaga.

Wallahua’lam.

Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah USIM

www.indahnyaislam.my

——

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *