home Semasa Sultan perlu keluar dekri terhadap gerakan Evangelis: Muafakat

Sultan perlu keluar dekri terhadap gerakan Evangelis: Muafakat

 

BANGI – Sultan dan raja di setiap negeri diminta menitahkan dekri, sebagai usaha mengekang Gerakan Radical Evangelist for Christian State (RECS) daripada terus melaksanakan aktiviti yang menggugat keharmonian negara.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ustaz Ismail Mina berkata, dekri yang dimaksudkan adalah perintah supaya pihak berkuasa agama melipatgandakan usaha membanteras gerakan Evangelis.

“Ya, tidak dinafikan memang ada pemantauan dan usaha membanteras gerakan ini, tetapi ia tidak cukup kerana gerakan Evangelis yang ada sekarang terlalu berani. Mereka bertindak agresif dengan membuat provokasi secara terbuka mengenai ajaran mereka.

“Mereka juga sangat bahaya kerana boleh merosakkan akidah umat Islam. Sudah terbukti, gerakan ini telah menyebabkan ramai umat Islam murtad, terutama di Indonesia dan Afrika. Jadi, kita tidak mahu sewenang-wenangnya ia berlaku di Malaysia.

“Sebab itu perlunya dekri. Kita minta sultan menitahkan supaya gerakan yang memurtad dan merosakkan agama, dihentikan segera berdasarkan undang-undang negeri dan Perlembagaan Malaysia. Dalam masa sama, dekri itu perlu juga menitahkan agensi penguatkuasa supaya melipat ganda usaha membanteras gerakan kemurtadan,” katanya ketika dihubungi ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof Datuk Mahamad Naser Disa, baru-baru ini berkenaan RECS yang semakin berani menganjurkan pelbagai aktiviti yang menyalahi Perlembagaan.

Antaranya, aktiviti RECS di Johor Bahru yang bertemakan ‘Johor For Jesus’ dengan pembabitan beberapa penceramah dipercayai dari luar negara, menghasut peserta supaya bangkit menyebarkan kepercayaan mereka serta memerangi sesiapa yang menyekat mereka.

Ustaz Ismail berkata, dalam kes ini, sepatutnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu memainkan peranan memantau dan memastikan gerakan kemurtadan, kerana dibimbangi akan menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.

“Penguatkuasaan perlu bersepadu sama ada daripada pihak polis, NGO Islam, pihak berkuasa agama, semuanya perlu dilakukan secara sistematik.

“Selagi tiada tindakan tegas dan halangan, mereka akan berani menjalankan aktiviti secara terbuka. Memang hasrat mereka nak mengkristiankan orang Islam, kalau boleh satu Malaysia,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *