home Semasa Aman Palestin cari dana RM1 juta bina Masjid Imam Shafie di Gaza

Aman Palestin cari dana RM1 juta bina Masjid Imam Shafie di Gaza

 

IPOH – Aman Palestin Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM1 juta hingga menjelang hujung Februari ini sempena penganjuran program jelajah bekas Mufti Besar Jerusalem dan Wilayah Palestin Sheikh Dr Ekrima Said Sabri ke Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Soffian Awang Piut berkata, pengumpulan dana ini bertujuan khususnya untuk pembinaan Masjid Imam Shafie di Gaza.

“Pembinaan masjid sekarang berada pada stage ketiga yang memerlukan kos sebanyak US$1.5 juta (RM3.9 juta) selain tajaan pembiayaan seramai 2,000 anak yatim di Palestin.

“Aman Palestin juga telah membantu membiayai kos pembinaan Sekolah Al Quran Malaysia dan Sekolah Darul Fadhilah di Palestin yang khusus untuk anak yatim dan kedua-duanya sudah siap tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di program berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya berjaya mengumpul sumbangan kira-kira RM300,000 sejak dilancarkan pada Selasa (6 Februari) dan akan berakhir pada 24 Februari nanti.

“Sejak 6 Februari lepas, Sheikh Ekrima telah pun berkunjung ke Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan hari ini ke Perak dan esok ke Kedah.

“Dia akan berada kira-kira dua minggu di Malaysia dan seminggu di Bandung, Indonesia di mana terdapat juga cawangan Aman Palestin,” katanya.

 

Image may contain: sky and outdoor

 

Awang Soffian berkata, setakat ini, Aman Palestin Berhad telah menyalurkan lebih RM100 juta kepada Palestin hasil sumbangan rakyat Malaysia.

“Pelbagai bentuk bantuan telah diberikan seperti perubatan, pembinaan bangunan, pengurusan tanah pertanian, ladang lembu selain membina khemah pelarian,” katanya sambil menambah program itu dianjurkan Aman Palestin Berhad dan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan.

Terdahulu, Sheikh Ekrima, kini Imam Besar Masjid Al Aqsa, ketika sesi forum bertajuk ‘Apa Khabar Al-Aqsa’ menceritakan pelbagai pencerobohan terhadap Al-Aqsa termasuk peristiwa besar membabitkan penutupan masjid itu pada Julai tahun lalu dan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dunia Islam kerana bersama kami dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada ketetapan yang dibuat Presiden AS.

“Terima kasih atas kesungguhan dan usaha berterusan untuk menegakkan masjid kami dan berharap ketetapan itu akan gagal sepenuhnya dengan izin Allah,” katanya.

Ekrima juga mengucapkan terima kasih kepada media Malaysia yang menyiarkan liputan berita tentang peristiwa yang sedang berlaku di Masjid Al Aqsa.

“Ia (siaran berita) menyebabkan dunia celik dan faham situasi yang berlaku serta memberi simpati berterusan serta perdampingan dunia dengan masyarakat Islam di Palestin,” katanya.

Ucapan beliau dalam bahasa Arab diterjemahkan oleh Pengerusi Aman Palestin cawangan Perak yang juga moderator program iaitu Shaharuzzman Bistamam. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Salurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui Aman Palestin Berhad:

Bank Islam: 12029010047880
Maybank: 562263010787
CIMB: 8600460353
Atau klik link ini http://billplz.com/jommenyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *