home Kalam Tokoh, Semasa Islamisasi suburkan perdamaian masyarakat: Timbalan Mufti

Islamisasi suburkan perdamaian masyarakat: Timbalan Mufti

 

KENYATAAN seorang pemimpin sebuah gerakan feminis di negara ini yang kononnya keganasan akan subur dan masyarakat negara ini akan berpecah belah sekiranya agenda Islamisasi yang berlaku di Malaysia berterusan adalah kenyataan yang lahir dari kedengkian terhadap usaha menampilkan keindahan Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’ pembawa rahmat kepada alam.

Beliau juga mengatakan Islamisasi adalah satu penjajahan dan konsep yang diketahui ganas, justeru akan merobek Malaysia dan menjadikan negara ini merosot.

Islam adalah agama yang sifatnya tidak mengabaikan realiti di mana ia berada. Ia sangat berinteraksi dengan realiti. Realiti di Malaysia seperti mana yang kita maklumi, rakyatnya hidup berbilang kaum dan agama. Islam mengiktiraf kewujudan berbilang agama ini.

Realiti di Malaysia membuktikan bahawa orang bukan Islam boleh terus hidup di negara ini dengan aman damai bahkan tidak sedikit di kalangan mereka menikmati status kehidupan yang lebih baik dari orang Islam sendiri kerana umat Islam di negara ini telah didik sejak dari kecil lagi bahawa mereka tidak boleh berbuat sesuka hati, menzalimi, merompak orang bukan Islam semata-mata kerana mereka bukan Islam.

Ini adalah terjemahan secara praktikal oleh Muslimin di Malaysia akan makna “ISLAM” itu sendiri iaitu cara hidup yang menawarkan keamanan kepada penduduk bukan Islam di negara ini.

Ciri utama Islam ialah ia adalah agama dan cara hidup yang boleh diterima oleh semua bangsa di negara ini.

Sesuai dengan perlembagaan negara bahawa Islam agama negara dan agama lain boleh diamalkan secara harmoni maka rakyat negara ini yang beragama Islam telah diajak untuk mengamalkan Islam secara lebih meluas di dalam kehidupan dan tidak terhad lagi agama Islam itu hanya ritual tertentu di masjid mahupun di surau sahaja bahkan diperluaskan pengamalan Islam itu dalam pentadbiran, kewangan, pendidikan dan sebagainya.

Sebagai contoh mewujudkan perbankan Islam, takaful, pendidikan Islam merentas kurikulum dan sebagainya.

Bagi rakyat bukan Islam di negara ini pula, Islamisasi yang berlaku bukanlah usaha memaksa mereka menganut Islam tetapi mereka ditawarkan untuk turut serta hidup di dalam sebahagian cara hidup dan ajaran Islam.

Bahkan terbukti mereka telah menerimanya dengan baik walaupun mereka tetap kekal alam agama mereka.

Sekadar mengambil contoh-contoh mudah seperti penglibatan mereka di dalam perbankan Islam bukanlah dalam kuantiti yang kecil.

Anak-anak bukan Islam diajar sedikit sebanyak hal berkaitan dengan Islam semasa di universiti supaya interaksi lebih harmoni sesama kaum yang berbeza agama berlaku secara harmoni.

Bahkan kita dapati mereka juga tidak kekok memakai baju kurung ketika hadir ke sekolah. Mereka kekal dalam agama mereka walaupun terkesan dengan proses Islamisasi yang sangat minima sifatnya jika dibandingkan dengan konsep Islam yang “kaffah” (menyeluruh).

Janganlah tindakan segelintir umat Islam yang bersalahan dengan agama dijadikan sandaran utama mengatakan Islamisasi itu membawa kepada keganasan.

Itu tindakan yang sangat tidak adil kerana realitinya mesti terdapat penganut mana-mana agama pun yang tidak patuh kepada agamanya. Kadar dan bentuk ketidakpatuhan itu berbeza-beza di antara satu sama lain.

Barangkali ada di kalangan umat Islam, ketidakpatuhannya kepada agama berlaku pada isu rasuah ataupun isu mengasari isterinya seperti mana ramai wanita Muslimah tidak patuh kepada larangan membuka aurat.

Ketidakpatuhan kepada Islam oleh penganut-penganut Islam tidaklah menggambarkan inti pati ajaran Islam itu sendiri.

Adakah mengajak wanita Muslimah memakai tudung, mengajak masyarakat mengamalkan undang-undang syariah, melarang umat Islam membuat maksiat, mengekang LGBT berleluasa di negara ini menjadi bukti yang kuat bahawa negara ini sedang menuju sebuah negara ala Taliban mahupun Isis dan terus mengaitkan dengan proses Islamisasi di Malaysia sedang semua perkara di atas adalah arahan al-Quran yang diturunkan ALLAH SWT jauh lebih awal dari munculnya kumpulan IS mahupun Taliban.

Bahkan apa yang diamalkan kumpulan ini tidak dipersetujui ulama Muslimin masa kini.

Maka proses melebar luaskan ajaran Islam ke dalam masyarakat majmuk di Malaysia sepatutnya disokong semua pihak kerana keamanan di negara ini kekal atas faktor majoriti penduduk negara ini yang Muslim telah mengamalkan Islam yang membawa mesej Islam itu selamat, sejahtera dan sesuai untuk semua.

SAHIBUS SAMAHAH HAJI ZAMRI HASHIM
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *