home Semasa Jutawan wakafkan semua harta demi rumah pengasih

Jutawan wakafkan semua harta demi rumah pengasih

 

BELIAU berjaya mencipta kejayaan di pelbagai bidang, termasuklah pembuatan dan import eksport, perniagaan barangan kulit, perabot, pakaian, barangan saintifik, jentera, haiwan ternakan dan banyak lagi.

Perniagaannya bercawangan sehingga ke London, Australia dan seluruh Indonesia dengan rangkaian perniagaannya menjana jutaan ringgit. Acap kali kisahnya tersiar di dada akhbar, majalah, corong radio dan kaca televisyen sebagai usahawan Melayu cemerlang.

Insan ini antara anak orang biasa berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, hingga hasil usahanya beliau mampu memiliki kereta mewah, motosikal berkuasa tinggi, rumah banglo, berhektar tanah dan wang simpanan.

Jika diikutkan beliau sudah berstatus jutawan ketika itu boleh saja memilih untuk bersenang-senang menikmati pulangan dimilikinya itu setelah menghadapi jerih-perihnya mengharungi kehidupan susah sebelumnya.

Namun, apa dilakukan Dr Masjuki Mohd Musuri…. beliau memilih untuk mewakafkan keseluruhan harta miliknya, tanpa satu sen pun gaji dari syarikat Wakaf Enterprise (WE) rumah amalnya!

Bukan sekadar harta benda, malah dirinya sendiri ‘diwakafkan’ untuk mengelola dan mengasaskan rumah amal asnaf, anak yatim dan pembangunan akhlak dinamakan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).

“Yang saya dapat kepuasan. Bagi saya jenayah, masyarakat hari ini pun berpecah belah berpunca kerana harta dan kuasa. Kerana harta dan kuasa juga bermacam dosa berlaku.

“Dulu saya fikir kalau bersedekah kita dah boleh cuci harta. Tapi bagaimana kita pasti baki hasil pendapatan kita itu masih bersih. Jadi untuk pastikan semua tu bersih, saya nampak kita perlu wakafkan semua, sama seperti isteri nabi, Khadijah, dan sahabat-sahabat Baginda yang wakaf harta benda.

“Kita hidup seadanya dengan orang yang mengendalikan rumah (RPWP) ini, makan pakai tempat tinggal kita kongsi semuanya. Bila dah tak ada apa, punca fitnah membawa saya kepada dosa dah jauh ditinggalkan, jadi dah tak ada modal, masa pun tak ada, nak buat dosa pun dah tak boleh,” kongsinya dengan Sukarela.

Bagi Dr Masjuki mesra dipanggil ‘Ayah’ kalangan warga RPWP ini, itu yang dikatakan kepuasan dan kepastian penyucian hartanya.

Tambahnya lagi, bila otak jadi lapang dari hanya memikirkan harta, dirinya sendiri berasa lebih sihat dan ketenangan yang menghasilkan hormon positif menjadikan tubuh lebih seimbang.

“Insya-ALLAH di dunia kita dah ada ketenangan itu, di sana nanti pun kita mudah. Jadi saya tak perlu kalut-kalut berasak fikir cari duit. Dah 13 tahun, alhamdulillah tak berlapar walaupun tak bergaji, masih pakai baju dan rumah yang baik.

“Sumber pendapatan sekarang, dari pulangan perniagaan yang diwakafkan. Kita pakai apa perlu, bukan pakai apa yang kita mahu,” katanya.

Tercetus idea

Dunia hari ini penuh kerosakan akhlak, malah pelbagai isu timbul kalangan masyarakat, lantaran kasih sayang tidak lagi menjadi bahasa dunia menggusarkannya.

Pengalamannya sendiri sedari kecil, belajar dan berniaga, sehingga terlibat pelbagai NGO sana dan sini, membuka matanya sekalipun NGO banyak yang ‘ditunggang’ untuk mengejar pangkat dan harta. Justeru idea penubuhan RPWP tercetus.

Dr Masjuki sebagai pengasas utama bersama sekumpulan 20 keluarga Warga Prihatin, masing-masing berkongsi visi dan misi untuk merealisasikan usaha amal bagi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat dengan gerak kerja lebih jelas dan teratur.

Mereka terdiri daripada pelbagai golongan, dari profesional hingga fakir miskin dan asnaf yang menjalani hidup berkeluarga di bawah naungan RPWP itu sendiri.

Bangunan RPWP ini menempatkan keluarga asnaf kalangan pengasas dan sukarelawan sepenuh masa.

Mereka bertugas menjaga pelbagai golongan seperti anak yatim, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas, asnaf dan pelbagai golongan rosak akhlak. Kesemua mereka disatukan di bawah satu bumbung menjadi sebuah keluarga besar. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

One thought on “Jutawan wakafkan semua harta demi rumah pengasih

  1. salam, boleh ke sy mohon bantuan daripada Dr untuk meringankan bebanan dan kesulitan kewangan. selain menyara keluarga, saya dan isteri juga menyara ibu yang uzur dan mengalami kesuhatan yang tidak begitu sihat. Jika boleh atas kesudian dan hikmah Dr., bolehlah whatsap sy di talian 0178819972. tq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *