home Semasa Mahkamah Syariah wajib diberi hak sama rata

Mahkamah Syariah wajib diberi hak sama rata

 

BANGI – Mahkamah Syariah sewajibnya diberi hak yang sama rata dengan mahkamah sivil, kata Pengamal Undang-undang dan Aktivis Concerned Lawyers for Justice, Muhammad Faris Zaidi.

Beliau berkata, inisiatif ini perlu dilaksanakan agar penambahbaikan dapat dilakukan dan Mahkamah Syariah tidak berada di takuk lama.

“Bermacam-macam cabaran dan usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak dalam memastikan hak dan kedudukan Mahkamah Syariah terbela dan dijaga.

“Walaupun dwisistem kehakiman telah lama diamalkan di Malaysia, bidang kuasa Mahkamah Syariah dahulunya sering diganggu oleh mahkamah sivil.

“Terdapat beberapa kes yang di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang telah didengar dan dibicarakan di mahkamah sivil.

“Kadang-kala kes yang diputuskan di mahkamah sivil mempunyai pendapat yang berbeza. Dalam kes Lim Chan Seng lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, mahkamah memutuskan untuk mendengar dan membicarakan kes tersebut walaupun kes tersebut mempunyai kaitan dengan isu perundangan Islam.

“Hakim menjelaskan bahawa tidak ada sebarang peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan isu berhubung perkara murtad, sekali gus tidak memberi halangan untuk mahkamah sivil membicarakan kes tersebut,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan di Utusan Online.

Meskipun, sistem kehakiman Mahkamah Syariah masih muda jika hendak dibandingkan dengan sistem kehakiman mahkamah sivil, namun kedua-duanya perlulah berdiri sama taraf.

“Pastinya masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki. Malah, perlu juga difahami bahawa tidak seperti mahkamah sivil, perkara-perkara berkaitan Islam adalah di bawah kuasa dan hak negeri.

“Pastinya wujud sedikit perbezaan di setiap negeri dan tidak ada keseragaman berbanding undang-undang sivil yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan

“Meskipun begitu, ramai pihak yang sentiasa meneruskan usaha menambah baik sistem pengurusan Mahkamah Syariah,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *