home Semasa NGO tolak Akta Keharmonian Nasional kerana gugat Islam

NGO tolak Akta Keharmonian Nasional kerana gugat Islam

 

PUTRAJAYA – Lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini, membantah penggubalan Akta Keharmonian Nasional yang menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Serentak itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya yang turut dianggotai ramai peguam boleh mencadangkan akta lain yang lebih bagus untuk kebaikan semua.

Akta Keharmonian Nasional adalah rang undang-undang baharu yang dicadang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, yang akan dimansuhkan.

Ia dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2012, bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan perpaduan nasional.

Susulan itu, Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) mengemukakan tiga draf rang undang-undang untuk dipertimbangkan.

Mewakili 300 NGO Islam itu, Haji Aminuddin berkata, pihaknya telah memperhalusi cadangan rang undang-undang baharu itu dan mendapati ia tidak meletakkan Islam pada kedudukan sepatutnya.

“Lebih malang lagi apabila wujud elemen untuk menyamaratakan Islam dengan agama-agama lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian menerusi akta itu cukup besar, yang mana mereka tidak boleh dikenakan tindakan mahupun disaman.

“Mereka seperti ada imuniti, ada kuasa besar sehingga boleh menyentuh isu-isu berkaitan agama Islam. Kuasa mereka boleh mengugat agama Islam yang hakikatnya di bawah kuasa negeri-negeri serta Raja-Raja Melayu. Kita bimbang dengan kuasa yang ada, mereka akan buat silap,” katanya.

Walaupun, belum sampai ke peringkat Pejabat Peguam Negara, Aminuddin berkata, pihaknya tidak mahu Suruhanjaya Keharmonian menyalahguna undang-undang ini kelak untuk kepentingan pihak yang tidak mahu melihat Islam tertegak di negara ini.

“Jadi, kita sangat mengharapkan agar kerajaan tidak meneruskan hasrat menggubal akta ini. Paling tidak kerajaan mahupun Jabatan Perpaduan Negara boleh melibatkan sekali NGO-NGO dalam sesi perbincangan.

“NGO kita ramai di kalangan peguam. Mereka boleh beri pendapat. Kita juga boleh mencadangkan akta lain yang bagus untuk kebaikan semua. Kita minta untuk turut serta,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya merayu supaya kerajaan tidak meneruskan draf akta tersebut, yang secara dasarnya mengandungi perkara yang menjejaskan hak orang Islam. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *