home Semasa Tarian Panama haram: Mufti NS

Tarian Panama haram: Mufti NS

 

BANGI – Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menegaskan, adalah haram masyarakat melakukan tarian Panama atau lebih dikenali sebagai ‘Panama Dance’ yang tular di media sosial kini.

Beliau berkata, ia berikutan tarian itu dilakukan sambil membabitkan percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram.

“Mereka yang hendak buat tarian itu janganlah dirakam, dimuat naik dan jangan dikongsi ke media sosial. Jangan biarkan bukan mahram melihat susuk tubuh anda berlenggang-lenggok sedemikian rupa.

“Jaga maruah dan jaga aib anda sebagai seorang muslimah,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Bukan hanya yang menari sahaja, malah, katanya, mereka yang turut berkongsi persembahan itu menerusi video di media sosial juga haram kerana menunjukkan susuk tubuh wanita yang sepatutnya hanya boleh dilihat oleh mahram mereka.

“Mungkin ada sesetengah itu hendak menggunakannya sebagai rujukan melakukan senam robik di dalam bilik mereka, bagaimanapun masih tidak menghalalkan kita untuk menyebarkan secara terbuka wanita menutup aurat berjoget sebegitu,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman turut menasihati orang ramai tidak mengajak dan terikut-ikut dengan trend tarian itu.

Katanya, orang ramai jangan bersikap terlalu liberal dalam sesuatu perkara dan hendaklah sentiasa mengikut sunnah Rasulullah SAW.

“Kita lihat mereka yang muat naik video itu, kapsyen mereka pastinya seperti mengajak mereka membuat tarian sama iaitu bercampur lelaki dan perempuan.

“Kalau kita buat benda haram, jangan mengajak orang lain buat benda yang sama. Biarlah buat trend yang sama-sama dapat pahala, Islam itu mudah tetapi jangan bermudah-mudahkan,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *