home Kolumnis, Semasa Manifesto luar biasa: Jauhi janji palsu dan sifat munafiq

Manifesto luar biasa: Jauhi janji palsu dan sifat munafiq

 

1. Setelah Parlimen dibubarkan, setiap parti mula berkempen dengan manifesto yang luar biasa. Apa yang membimbangkan adalah musim ini janji ditabur sewenangnya tanpa kita sedari janji adalah hutang kita. Mereka yang tidak melunaskan hutang disifatkan sebagai kaum yang tercela.

2. Ingatkah kita bagaimana Iblis menaburkan janji sebelum berlakunya perang Badar? Al-Mubarakfuri menukilkan bagaimana Iblis datang menjelmakan diri dengan rupa seorang lelaki lalu menabur janji. Kata Ibn Abbas:

جَاءَ إِبْلِيسُ يَوْمَ بَدْرٍ فِي جُنْدٍ مِنَ الشَّيَاطِينِ مَعَهُ رَأَيْتُهُ فِي صُورَةِ رَجُلٍ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ فِي صُورَةِ سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ ، فَقَالَ الشَّيْطَانُ لِلْمُشْرِكِينَ : لاَ غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ

Maksudnya: Ketika hari perang Badar, Iblis muncul dalam barisan tentera syaitan dan aku melihatnya dia menjelmakan diri seperti lelaki dari Bani Mudlij, dengan rupa seperti Suraqah ibn Malik ibn Jus’um. Maka berkatalah dia kepada kaum Musyrikin: “Kamu semua akan menang hari ini dan aku (berjanji) akan bersama kamu!”

Namun setelah kelihatan tewas dalam perang Badar, Iblis melarikan diri. Apabila diseru: “Bukankah engkau berjanji akan bersama kami?”! Iblis menjawab: “Sesungguhnya aku nampak apa yang kamu tidak nampak!”

Mereka yang tidak menepati janji ini disifatkan dalam sirah Rasul seperti Iblis yang menjanjikan kemanisan sebelum perang. Namun mereka tidak menepati janji.

3. Menurut Dr Abduh Muhammad Yusuf, beberapa ayat di dalam al-Quran menyifatkan mereka yang tidak menunaikan janji ini tergolong dalam golongan orang-orang fasiq, yang seakan melakukan dosa besar. Firman Allah:
وَمَا وَجَدْنَا لِأَكْثَرِهِمْ مِنْ عَهْدٍ وَإِنْ وَجَدْنَا أَكْثَرَهُمْ لَفَاسِقِينَ

Maksudnya: Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasiq.

4. Rasulullah ﷺ pula dalam sebuah hadith yang popular juga mengingatkan kita bahawa mereka yang tidak menepati janji adalah orang yang memiliki sifat munafiq.

5. Janji mestilah ditepati sekalipun dengan anak kecil. Abu Daud meriwayatkan kisah Abdullah ibn Amru yang sedang duduk bersama Rasulullah. Tiba-tiba ibunya datang memanggilnya dengan menjanjikan sesuatu pada anak kecil ini. Abdullah ibn Amru lantas pergi kepada ibunya setelah mendengar janji itu. Melihatkan keadaan itu Rasulullah ﷺ memanggil ibu Abdullah dan bertanya kepadanya: Apakah yang engkau berikan pada anak kecil itu? Ibu Abdullah menjawab: Aku berikan kurma. Rasulullah ﷺ lalu bersabda: Sekiranya engkau tidak memberikan apa-apa buat anak kecil itu (setelah menjanjikan sesuatu) maka engkau telah dicatatkan dengan (dosa) penipuan.

6. Lihatlah betapa Rasulullah ﷺ sangat memelihara perihal menepati janji ini. Mengingkari janji telah digambarkan dengan pelbagai sifat keji di dalam al-Quran dan hadith. Mereka seakan mirip dengan sifat Iblis, fasiq dan munafiq dalam agama. Berhati-hatilah sebelum memberikan janji. Jauhi mereka yang menjual janji dan harapan palsu.

Moga Allah merahmati kita semua.

Ustaz Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *