home Kalam Tokoh, Semasa Mengundi adalah kesaksian yang penuh tanggungjawab: Timbalan Mufti

Mengundi adalah kesaksian yang penuh tanggungjawab: Timbalan Mufti

 

ISLAM adalah satu agama yang tidak terasing dari kehidupan semasa. Islam sentiasa memberi respon dan berinteraksi terhadap realiti sedia ada.

Realiti di Malaysia ialah pilihanraya umum adalah mekanisme untuk membentuk kerajaan negara ini. Kerajaan yang terbentuk sudah tentu memberi kesan kepada kelangsungan umat Islam dan masa depan kita. Maka umat Islam tidak boleh mengasingkan diri dari sistem ini samada secara suka ataupun tidak.

Tindakan untuk tidak mengundi dan berniat untuk merosakkan undi merupakan tindakan yang salah dan tidak membawa sebarang keuntungan kepada Islam dan umat Islam bahkan perbuatan itu adalah satu perbuatan yang mensia-siakan hak yang diberi. Bahkan ia membahayakan masa depan umat Islam di negara ini.

Namun perkara penting yang perlu difahami oleh umat Islam di negara ini, mengundi bukan sekadar aktiviti untuk memenuhi tuntutan demokrasi yang dilakukan sekali dalam lima tahun, tetapi ia merupakan satu kesaksian yang penuh dengan beban kebertangungjawaban di dunia dan di akhirat.

Ia sangat penting kerana dasar-dasar negara yang menjadi amalan masyarakat banyak ditentukan oleh wakil-wakil yang kita hantar ke Parlimen. Begitu juga kedudukan Islam, sejauh mana Islam diperkasakan di negara ini juga banyak ditentukan oleh mereka.

Di dalam Islam kesaksian merupakan topik agak besar dan serius. Ini dapat difahami dari beberapa ayat al Quran seperti ayat:

“Dan mereka pula menyifatkan malaikat – yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu – jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan penyaksian mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya)” (Al-Zukhruf: 19).

Penyaksian bohong yang dilakukan oleh orang kafir dalam ayat di atas tetap akan ditanya dan dibalas.

Juga di dalam ayat: “Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”(Al-Baqarah: 283)

Walaupun ayat ini menyentuh isu persaksian dalam gadaian namun isu utamaya ialah apabila kita diminta untuk membuat persaksian maka tunaikanlah tanggungjawab itu.

Persaksian hendaklah dilakukan kerana Allah dan bertujuan menegakkan hukum-hukum Allah. Itulah matlamat yang digariskan secara jelas di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

“Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu untuk membuat persaksian (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata” (Al-Talaq: 2)

Walaupun ayat ini merujuk kepada ayat rujuk dan penceraian namun isu utama yang perlu diambil perhatian ketika memberikan persaksian ialah tujuannya hendaklah semata-mata kerana Allah SWT.

Dalam Islam memberi kesaksian palsu (syahadah az-zuur) adalah perbuatan haram dan zalim bahkan termasuk sebesar-besarnya dosa besar (akbarul kabaair). Larangannya tegas disebutkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Di dalam firman-Nya Allah SWT menggandingkan larangan kesaksian palsu dengan larangan menyekutukan-Nya (asy-Syirk).

“Maka jauhilah olehmu dosa akibat menyembah berhala-berhala dan jauhilah perkataan-perkataan yang dusta.” (Al-Haj: 30)

Selain itu Allah SWT menjadikan dosa besar ini sebagai perkara yang menyebabkan pelakunya terjerumus pada kesesatan dan jauh dari hidayah.

Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta. (Ghafir: 28)

Di sisi lain, Allah SWT memuji hambanya yang mukmin kerana mempunyai sikap selalu mehindari kesaksian palsu.

“Dan orang-orang yang memberikan kesaksian palsu”. (Al-Furqan: 72)

Sementara itu, dalam banyak hadisnya Rasulullah SAW memberikan peringatan keras terhadap memberi kesaksian palsu. Baginda SAW memasukannya pada salah satu dari tiga dosa besar.

“Mahukah aku beritahu kamu sebesar-besarnya dosa besar.? Itulah Syirik, eurhaka kepada kedua ibubapa, dan memberi kesaksian palsu. Rasulullah SAW terus mengulang ucapannya, hingga kami pun berharap agar beliau berhenti mengulang” (HR Al-Bukhari).

Mengundi adalah memberi persaksian terhadap calon pilihan kita. Apabila sampai waktu mengundi kita diminta untuk memberi persaksian maka tidak boleh kita menyembunyikan persaksian kita dengan tidak mengundi mahupun mengundi rosak.

Al-Quran juga mengajar kita persaksian hendaklah bertujuan kerana Allah SWT dan untuk menegakkan keadilan hukum Allah SWT. Mengundilah untuk membantu memenangkan agama Allah SWT. Berilah persaksian yang jujur kepada calon-calon yang bertanding dan nilailah sejauh mana beliau mengangkat agenda Islam, berintergriti, cekap, mahir mengurus, bebas dari pengaruh asing dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan tanah air ini kekal menjadikan Islam sebagai rujukan utama.

Kita akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap persaksian berkenaan.

Sohibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *