home Semasa Umat Islam wajib pilih pemimpin jaga agama, rakyat: Khutbah Jumaat

Umat Islam wajib pilih pemimpin jaga agama, rakyat: Khutbah Jumaat

 

BANGI – Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengingatkan umat Islam agar memilih pemimpin yang berwawasan serta kuatnya iman kepada Allah.

Katanya, pemimpin yang berwawasan tidak mudah berputus asa atau cepat mengalah kerana mereka yakin bahawa Allah sentiasa bersamanya.

Kekuatan ini, tegasnya, mampu memberi pertahanan yang ampuh saat diuji dengan pelbagai cabaran.

“Kepemimpinan yang mempunyai wawasan tinggi dan jauh mampu menjaga maslahat agama, rakyat dan negara.

“Dengan kelebihan yang ada, maka pelbagai agenda menerusi alternatif yang terancang dapat meneguhkan lagi kesejahteraan rakyat dan negara. Mereka memimpin dengan penuh tanggungjawab, berintegriti, berjiwa besar, dan penuh kasih sayang,” kata khutbah itu.

Pada masa sama, masyarakat juga diingatkan agar turut sama membantu dalam membina negara yang stabil dengan bersatu padu di samping iman dan takwa yang tinggi terhadap Allah.

Khutbah turut mengingatkan bahawa sikap bekerjasama dan bertoleransi merupakan elemen terpenting dalam usaha membangunkan sebuah tamadun dan kemajuan negara bangsa. Oleh itu, Islam menyarankan agar kerjasama yang dilakukan hendaklah di atas dasar kebaikan dan ketakwaan.

“Kestabilan negara adalah penting bagi memastikan tumpuan dapat diberikan secara menyeluruh dalam menyelesaikan masalah, merangka pelan dan perlaksanaan inisiatif-inisiatif tertentu secara lebih sistematik dan berkesan bagi memajukan negara.

“Sudah banyak contoh di beberapa negara tertentu yang kita lihat dilanda krisis politik secara berterusan telah menjejaskan kestabilan negara dan kualiti kehidupan rakyatnya.

“Lebih parah lagi, apabila sumber ekonomi merudum, berlaku kerosakan harta benda, kehilangan peluang pelaburan sehingga ada ke tahap kehilangan nyawa manusia yang begitu berharga.

“Tindakan sebegini sememangnya tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak. Dari sini jelas kepada kita bahawa kestabilan negara berkait rapat dengan nilai iman dan takwa yang kukuh di dalam diri setiap warganya,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *