home Semasa Peluk Islam selepas kemalangan

Peluk Islam selepas kemalangan

 

PORT DICKSON: “Islam adalah agama yang indah dan membahagiakan. Saya berasa seperti dilahirkan semula selepas memeluk agama Islam.”

Bagi mualaf yang juga anak bongsu daripada lima beradik, Nur Muhammad Abdullah, 38, segalanya bermula selepas beliau mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya, dua tahun lalu.

“Ketika itu, saya terbabit dalam kemalangan motosikal di Ipoh, Perak, dan cedera parah di kepala. Saya dihantar ke Hospital Besar Ipoh sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) dan menjalani rawatan hampir setahun.

“Sepanjang berada di HTJS, saya berkawan dengan ramai pesakit beragama Islam. Dari situ, saya mengenali Islam sebagai agama yang indah kerana mengajar umatnya bersabar menerima dugaan.

“Mungkin saya antara hamba-Nya yang diberikan hidayah dan kemalangan itu sebagai penghapus dosa,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Glory Beach Resort, di sini, semalam.

Bekas mekanik motosikal itu berkata, sebaik keluar dari wad hospital, beliau nekad terus ke Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Paroi, dan berjumpa dengan Ustaz Zulkarnain Abdullah yang juga mualaf untuk memaklumkan hasratnya memeluk agama Islam.

“Ketika itu, pelbagai soalan ditanya kepada saya, termasuk kenapa memilih Islam. Saya memaklumkan ikhlas dan mahu hidup cara Islam.

“Ustaz Zul (Zulkarnain) kemudian mengajar saya mengucap dua kalimah syahadat dan bermulalah episod baharu kehidupan diri ini sebagai seorang Muslim. Dua bulan kemudian, Ustaz Zul meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit,” katanya.

Berikutan penghijrahan itu, Nur Muhammad berkata, adik-beradik tidak dapat menerimanya sebagai ahli keluarga, namun beliau reda.

“Jauh di sudut hati, mereka tetap darah daging saya dan Islam tidak mengajar untuk memusuhi saudara kandung.

“Namun di Pusat Pengajian Al-Quran Al-Hafiz, Lukut, saya mempunyai ramai ‘adik-beradik’. Saya bahagia di pusat itu yang dikelolakan oleh penaung, Mohd Hafidz Eshak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Glory Beach Resort, P Subramaniam, berkata hotel ini mengadakan program berbuka puasa setiap tahun, termasuk memberi sumbangan Aidilfitri bagi meraikan anak yatim dan saudara baharu.

Program itu turut mendapat kerjasama Gedung Pakaian Hari-Hari dan disertai 50 anak yatim, asnaf serta saudara baharu dari Pusat Pengajian Al-Quran Al-Hafiz. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *