home Dunia Islam, Semasa (SIRI 3) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

(SIRI 3) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

Ilustrasi kota Baghdad ketika zaman emas Abbasiyah

 

1. Cuba kita imbas sekejap sejarah pertengahan Islam pula, saya ambil contoh sejarah perang Salib. Perang Salib pertama berlaku pada sekitar tahun 1096. Target utama perang Salib adalah untuk menjatuhkan serta merampas Baitul Maqdis. Dengan cara tentera di sepanjang kontinen Eropah bergabung sekali menumbang tentera Islam.

Dan akhirnya mereka berjaya menjatuhkan Baitul Maqdis dalam perang Salib pertama pada sekitar tahun 1099. Serangan ini adalah gabungan daripada England, Itali, Jerman, Norman dan Perancis dipimpin oleh Raymond, Bohemond dan Godfrey.

2. Antara faktor kejatuhan Baitul Maqdis dalam perang salib yang pertama ini disebabkan oleh PERPECAHAN umat Islam yang mana saling berperang sesama sendiri daripada kalangan Dinasti Fatimiyyah (Mesir), Abbasiyyah (Baghdad) dan Turki Saljuk. Sebab apa berperang? Simple je, sebab KUASA.

Ibarat parti politik di negara Islam (you-know-who) yang berpecah-pecah, dan saling bergaduh sesama sendiri sebab nak kuasa. Ya, kuasa.

3. Tetapi Allah mentaqdirkan, bangkitnya Sultan Salahuddin al Ayyubi, menyatukan umat Islam, dan merampas semula Baitul Maqdis dalam perang Salib kedua selepas mengalahkan tentera Salib di Hattin. Lalu kemudian berlakunya perang salib ketiga, keempat dan seterus sampai kesembilan. Berapa lama tempoh perang Salib ni? Perang Salib berlaku hampir 200 tahun. Maknanya, serang menyerang antara Eropah dan Baitul Maqdis (Kerajaan Islam) ini berlaku dalam banyak siri, sehingga lebih kurang 200 tahun. Selama 200 tahun mereka tidak serik-serik untuk jatuhkan Baitul Maqdis.

4. Kenapa mereka target Baitul Maqdis? Kenapa bukan negara lain? Antara faktor adalah, kerana Baitul Maqdis merupakan IBU kepada pemerintahan dunia ini. Kalau kita buka sejarah lama, dulu siapa yang menguasai dunia? Di zaman Bani Israel, Bani Israel yang menguasai dunia iaitu ketika zaman Nabi Sulaiman, Nabi Daud, dan Tholut. Kisah ini dirakam di dalam al-Quran, tentang peperangan antara Jalut dan Tholut. Mereka menguasai dunia dan mereka juga yang menguasai Baitul Maqdis.

5. Apabila kuasa bani Israel jatuh, naik pula Rom. Rom menguasai dunia dalam masa yang sama Rom juga yang menguasai Baitul Maqdis. Malah Rom menguasai Baitul Maqdis selama lebih kurang 10 kurun. Kemudian naik Saidina Umar, Saidina Umar pula membebaskan Baitul Maqdis, lalu selepas itu orang Islam pula yang menguasai dunia selepas menguasai Baitul Maqdis.

6. Jadi sekarang siapa yang menguasai dunia? Tidak ada orang dapat menafikan bahawa yang menguasai dunia hari ini adalah Yahudi, dan Yahudi jugalah yang menguasai Baitul Maqdis saat ini. Jadi sepanjang sejarah dunia membuktikan, siapa yang menguasai Baitul Maqdis, empayar itulah yang menguasai dunia.

7. Sebab itu, tentera Salib bersungguh-sungguh menyerang Baitul Maqdis. Namun akhirnya Allah mentaqdirkan tidak berjaya juga. Walaupun sistem Islam masa itu diserang dengan begitu dahsyat, daripada sekutu-sekutu di Eropah, campur pula dengan Yahudi yang menyamar jadi Kristian, dan kerosakan sebahagian umat Islam, namun akhirnya sistem Khilafah Islam tetap kekal.

8. Kalau tadi Baitul Maqdis, kali ini Baghdad pula. Berlaku sekali lagi serangan secara besar-besaran terhadap Baghdad pada tahun 1258 oleh Monggol sehingga akhirnya jatuh dan runtuh. Baghdad pula merupakan ibu negara kepada umat Islam. Maknanya pusat pemerintahkan Islam seluruh dunia berpusat di Baghdad. Ibarat macam Putrajaya, dilanggar Monggol.

9. Untuk pengetahuan, Baghdad pada masa itu merupakan sebuah kota yang cukup moden. Saya kepilkan ilustrasi kota Baghdad di bawah. Temboknya berlapis-lapis, keselamatannya begitu tinggi, ilmuan Islam semua berkumpul di situ. Di situ juga ada perpustakaan yang besar. Hasil karya ilmu semua bertumpu di Baghdad. Tetapi pada kali ini jatuh di tangan orang Monggol.

10. Dalam sejarah yang kita baca, sebelum monggol menjatuhkan Baghdad, Monggol telah menyerang satu demi satu kerajaan Islam di sekitar Baghdad. Setiap negara yang mereka serang, mereka akan menang. Dan serangan itu mengambil masa lebih kurang 40 tahun sebelum sampai ke Baghdad. Maknanya dalam masa tempoh 40 tahun, satu demi satu negara Islam ini jatuh.

11. Dalam perjalanan mereka yang bermula dari Timur menuju ke sebelah Barat, satu demi satu negara Islam diserang hingga jatuh. Bersilih ganti pimpinan Monggol tu, semuanya jatuh. Sampai saja di Baghdad, mereka berjaya jatuhkan Baghdad walaupun kubunya tebal, ulama’nya ramai, tenteranya hebat, tetapi akhirnya jatuh juga Baghdad.

12. Mengikut catatan Abu Hasan Ali al-Nadwi, ketika Baghdad jatuh, yang mati ketika itu adalah sekitar 1,800,000,000 orang. 1.8 juta orang mati dibunuh! Sebab itu, bila kita baca dengan penghayatan tentang sejarah Baghadad, Monggol bunuh orang Islam satu demi satu sehingga darah-darah yang mengalir umpama bumi yang di sirami air hujan. Begitulah darah yang membasahi bumi ketika itu. Maknanya begitu ramai orang yang mati dibunuh ketika peristiwa kejatuhan Baghdad di tangan Monggol. Pada masa itu, khalifah pun mati dibunuh.

13. Malah tak cukup sekadar itu, pemimpin dan gabenor Islam di wilayah-wilayah yang berada di sekeliling Baghdad seperti Damsyik, Himis, Halab dan seumpamanya, semuanya sanggup berjumpa dengan tentera Monggol dan buat perjanjian damai (tahaluf siyasi barangkali). Mereka tunduk supaya negara mereka tidak diserang.

14. Kalau kita fikir daripada sudut logik akal, boleh tak khilafah bangun balik? 1.8 juta orang mati dibunuh, 40 tahun serangan terhadap negara Islam hingga semua jatuh. Sudah pasti tidak dapat bangun balik. Hancur, macam padang jarang padang tekukur. Baki negara Islam yang tinggal di sebelah Barat tak diserang sebab tak sempat.

15. Monggol nak ke Kaherah, Mesir tak sempat. Sebab apa? Sebab sekitar 2 tahun selepas itu, Saifuddin Quttuz, Zahir Baybars, dan beberapa orang panglima-panglima Islam Mesir yang berasal daripada suku Mamalik (mamluki), akhirnya berjaya mengembalikan Baghdad ke tangan orang Islam dalam peperangan yang cukup hebat iaitu perang Ain Jalut. Perang ini berlaku pada sekitar 10 malam terakhir bulan Ramadhan tahun 1260. Orang Islam menang dalam perang yang cukup dahsyat tersebut.

16. Dalam sejarah Islam, perang Ain Jalut antara perang yang dahsyat dan agung, kerana Monggol tak pernah kalah di medan perang oleh sesiapa pun. Monggol cuma kalah di tangan orang Islam saja. Sehingga pada masa itu ada mitos menyebut,

“Kalau kamu dengar Monggol dikalahkan, jangan percaya.”

Monggol mempunyai kemahiran perang yang luar biasa. Dia boleh menunggang kuda yang mana kudanya di anggap sebagai kuda terbaik, dan boleh memanah sambil kuda berlari. Bahkan ada riwayat sejarah menyebut, mereka boleh memanah sambil berdiri di atas kuda ketika kuda berlari, dan sebagainya. Ia satu kemahiran yang cukup dahsyat.

17. Tetapi Allah mentaqdirkan kalah di tangan orang Mamalik iaitu Qutuz, dan tentera daripada Mesir, yang juga memiliki kemahiran perang yang tinggi dan luar biasa. Sebab mereka ni memang dilatih berperang sejak kecil.

Untuk sedikit inforia, sejak daripada kecil, sebahagian orang mamluki diajar menggunakan senjata. Di antara kelebihan tentera Mamluki, mereka boleh berjalan sambil memegang senjata tanpa orang perasan di mana mereka sembunyikan senjata, sedangkan ada di tangan.

18. Biasa peperangan akan ada tawanan perang atau tentera yang lari. Tetapi dalam perang Ain Jalut, semua tentera Monggol mati di medan perang. Tidak ada tawanan perang, dan tidak ada tentera Monggol yang berjaya melarikan diri. Jadi kita boleh bayangkan bertapa bersungguhnya tentera Mamluki dalam mengembalikan maruah orang Islam. Bahkan, luar biasanya kesungguhan tentera Islam masa itu, selepas masuk generasi ketiga Monggol selepas perang, mereka pula yang masuk Islam. Satu kekuatan yang luar biasa.

19. Jadi, kalau kita perhatikan sejarah sejak dari zaman Rasulullah, kemudian Khulafa’ Ar Rasyidin, sehingga zaman pertengahan Islam sekalipun, usaha untuk menjatuhkan khilafah berlaku banyak kali. Sangat banyak. Yang saya tulis di atas adalah ringkasan sahaja.

Tetapi yang uniknya, setiap kali berlaku serangan atau ancaman pada sistem khilafah, tidak lama kemudian sistem khilafah berjaya bangun balik. Mati seorang khalifah, khalifah kemudiannya bangun balik (atau bahasa hipster-nya, buat comeback) dan berjaya menstabilkan keadaan. Sehingga serangan terbesar iaitu dalam perang Salib dan kejatuhan Baghdad itu pun, akhirnya khilafah tetap kekal dan tidak terus jatuh. Sistem itu berjaya dibangunkan balik dengan mudah.

20. Tetapi apabila kita lihat pula kejatuhan Uthmaniyyah pada tahun 1924, Khilafah dah tak berjaya bangun sampai sekarang. Kenapa?

Saat jatuh saja khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924, iaitu ketika Kamal At Tartuk mengisytiharkan berakhirnya sistem khilafah, dan Turki sebagai negara sekular, sebahagian pemimpin umat Islam berkumpul.

21. Pemimpin umat Islam berkumpul untuk melantik seorang khalifah. Tetapi dalam himpunan tu, mereka bertelagah. Di antara calon pada masa itu adalah Raja Saudi untuk calon khalifah tetapi ditentang oleh orang lain. Kemudian Raja Afghanistan pada masa itu iaitu Amanullah Khan untuk dicadang jadi khalifah pun ditentang oleh orang lain. Bertelagah umat Islam sehingga akhirnya tiada keputusan dapat dicapai tentang siapakah boleh memegang khalifah.

22. Sedangkan pemilihan itu mudah saja, tetapi nak menunjukkan betapa kroniknya umat Islam pada masa itu, hingga tak ada langsung calon yang layak. Kemudian, pemimpin umat Islam sekali lagi berpakat untuk berjumpa pula setahun selepas itu, namun akhirnya tak berjaya juga lantik, bahkan berterusan sampai sekarang, iaitu dah 94 tahun.

23. Siapa hari ini yang kita anggap sebagai pemimpin umat Islam di dunia sekarang ini pada level antarabangsa? Yang boleh menyatukan kesemua negara Islam? Hampir tiada. Kenapa tak berjaya lantik?

Ada beberapa faktor yang membezakan kejatuhan Turki Uthmaniyyah dengan kejatuhan khilafah-khilafah sebelum ini. Khilafah sebelum ini bila jatuh, dia boleh bangkit balik, tetapi bila Uthmaniyyah jatuh dia tak mampu bangkit balik, disebabkan oleh beberapa faktor.

Nak tahu faktornya? tunggu siri ke-empat. Hehe

Moga manfaat. Macam biasa, boleh share untuk manfaat ramai, tiada masalah.

Shukery Azizan.
Tarbiah Sentap.

www.indahnyaislam.my

One thought on “(SIRI 3) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *