home Dunia Islam, Semasa (SIRI 5) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

(SIRI 5) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

 

1. Ada satu lagi peristiwa penting, juga berlaku pada hujung kurun ke 15, yang mengubah landskap dunia ini. Iaitu apabila orang Eropah berjaya berlayar dan menjumpai Tanjung Harapan di hujung Afrika Selatan. Untuk pengetahuan, teori pelayaran orang Eropah tak canggih pun. Jangan anggap Eropah ni pandai belayar pada zaman dulu. Ini cerita kurun ke 13, 14 dan 15. Mereka hanya tahu laut Mediteranian tetapi mereka tak tahu Laut Merah, Laut India dan sebagainya. Laut Melayu lagilah tak tahu. Mereka memang noob (jahil) ilmu navigasi.

2. Sebab itu dakwaan yang menyatakan pengeliling dunia pertama adalah orang Eropah tak betul. Banyak sangat yang dipertikaikan. Contohnya, orang kata Magellan manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia. Sebenarnya Magellane berjaya mengelilingi sebahagian dunia setelah dia culik orang Melayu untuk bantu dan tukang penterjemah, yang bernama Panglima Awang.

Panglima Awang diculik dari Melaka, dijadikan sebagai hamba, seterusnya dibaptiskan dan ditukar nama kepada Enrique De Malacca atau Henry The Black. Walaupun isu Enrique ini adalah perbalahan, ada yang kata dari Melaka, ada yang kata dari Maluku, tetapi yang penting Enrique adalah orang Melayu. Enrique ini lah yang tolong Magellan untuk mengelilingi dunia. Tanpa bantuan tu, Magallane tak berjaya pun sebab dia tak kuasai banyak Bahasa, terutama Bahasa Melayu dan tak mahir ilmu navigasi.

3. Sebab tu kalau pergi ke Melaka, cuba pergi ke Muzium Samudera. Muzium Samudera yang diperbuat daripada replika kapal Flor De La Mar. Flor De La Mar itu sendiri kalau kita tengok bentuk kapal saja dah pelik. Maksud saya pelik adalah, kapal yang dalam bentuk sebegitu, macam mana ia nak belayar di atas laut? Bentuknya sendiri memang tak mesra laut. Contoh, kapal itu besar di bahagian depan, sedangkan sepatutnya kapal ini runcing di depan. Barulah boleh belayar dengan laju. Kan kita belajar ilmu fizik, berkaitan dengan rintangan (resistance). Ini tidak, dah macam kereta kebal dalam laut. Itu belum lagi reka bentuk kapal yang seakan tidak stabil. Namun itulah kapal Portugis.

4. Tetapi pada masa yang sama, kapal orang Islam sebagai contoh kapal orang Melayu, sudah mendahului lebih jauh dan hebat. Sehingga diakui oleh sejarawan Portugis, Gasper Corella, yang pernah terlibat dalam perang menawan Melaka pada kurun ke 16, menyatakan kapal Melayu Melaka lebih besar daripada kapal Portugis Sebab kapal Melayu ada empat lapisan dinding yang langsung tak mampu ditembusi peluru meriam Portugis.

5. Kalau kita tinjau situasi orang Melayu sekitar kurun 12 hingga 13, orang Melayu telah berjaya mencipta kapal hebat, antaranya Phinisi. Kapal Phinisi ini kononnya didakwa oleh sebahagian Belanda sebagai kapal mereka. Sebenarnya Phinisi, kapal layar yang ada 7 layar adalah kapal yang dibina oleh orang Bugis dan Makassar, digunakan untuk belayar terutama di kawasan yang banyak batu karang. Ia boleh belayar di laut yang luas, dan belayar di laut yang cetek. Bentuknya sesuai masuk ke kawasan teluk. Hebatkan? Itulah teknologi orang Melayu Islam pada masa itu.

6. Punya hebat teknologi orang Melayu, orang Eropah tiru kapal Phinisi sampailah sekarang pun, hingga di Eropah ada kapal bernama Phinisi. Sedangkan sebenarnya itu adalah kapal orang Islam. Tak malu kan? Belum lagi kita cerita tentang kecanggihan kapal orang Arab. Jadi apa saya nak sampaikan, orang Eropah ni tak pandai pun semua tu. Tetapi apabila dia jumpa Tanjung Harapan, lalu mereka terus belayar dan akhirnya dapat tahu mengenai Laut Merah dan Laut Hindi. Apabila mereka dah berjaya belayar sampai ke Laut Hindi dan seumpamanya, mereka berjaya masuk ke alam Islam. Sebab jalan laut itu semua dah dikuasai oleh orang Islam untuk berkurun-kurun lamanya.

7. Jadi kita dapat lihat, pada awalnya mereka dah berjaya menjatuhkan Andalus, kemudian mereka berjaya meneroka alam baru iaitu alam dunia Islam di bahagian Timur. Macam saya sebut, laut Hindi, Laut Merah ini semua adalah laut yang dikuasai oleh orang Islam, yang mana dikuasai oleh pedagang Yaman, India dan lain-lain. Malah ada pelabuhan besar pun ketika tu seperti Pelabuhan Eden, Pelabuhan Zanzibar, Pelabuhan Kolkata, Pelabuhan Malabar dan sebagainya adalah pelabuhan orang Islam, sehingga Selat Melaka, Laut Melayu, Laut Andaman dan sebagainya. Dulu mana ada Laut China Selatan, bahkan kalau kita perhatikan betul-betul, China Selatan itu sendiri adalah satu istilah yang pelik.

8. Sebab China kan jauh ke atas tu, macam mana boleh dapat nama. Mungkin itu juga sebab kenapa Indonesia bertegas nak tukar kepada nama Laut Natuna. Malah satu lagi pelik dalam Lautan Melayu ni, tiada langsung nama “Laut Melayu”. Huhu. Tak apalah, kita biarkan ia terus menjadi persoalan.

Jadi apa yang saya nak kata, orang Eropah dulu tak tahu semua laut ni. Ketika kurun ke 15, mereka belayar ke India, dan di sana baru mereka dengar cerita tentang Melaka, Champa, Filifina dan sebagainya. Lalu mereka pun terus belayar ke Asia Tenggara. Dari situ mulalah penjajahan yang dahsyat, bermula dari Timur.

9. Bila masuk kurun ke 16, berlumba-lumba dua kuasa dunia iaitu Portugal dan Sepanyol untuk lakukan penjajahan. Portugal pergi ke sebelah negara kita, Sepanyol pergi belah Filifina. Dan di belakang penjajahan ni, muncul nama tokoh-tokoh Yahudi dan sekutunya. Sebab tu bila kita baca sejarah, nama mahsyur yang menjatuhkan Melaka adalah Afonso De Albuquerque. Sebenarnya delegasi Afonso De Albuquerque ni dah masuk beberapa “batch” punya delegasi. Sebab sebelum daripada kedatangan dia, ada seorang Jesuit bernama Francis Xavier, seorang Yahudi yang menyamar jadi Kristian. Dia yang mula-mula meneroka alam Melayu terutama Melaka.

10. Jadi, apabila berjaya sampai di Asia tenggara, dia mula merancang dan menentukan untuk buka negara mana satu. Malah tujuan daripada penjajahan pada masa itu, bukan untuk mencari rempah. Kalau baca buku teks sejarah, ditulis tujuan penjajahan adalah nak cari rempah untuk dijual di pelabuhan Venice kan? Itu adalah sejarah yang sangat diragui, bahkan sebahagian besarnya ditipu hingga masuk ke sanubari kita. Kalau benar cari rempah pun, ia bukanlah misi utama.

Kalau fikir segi logik pun, orang Eropah sampai sekarang tak makan rempah. Mereka guna buah pelaga ke? Adakah masakannya guna kayu manis, jintan putih, jintan manis, bunga lawang, tiga serangkai dan sebagainya? Mana ada guna semua tu, itu rempah kita. Lada hitam mungkin dia guna. Rempah mereka ni oregano, daun Basil dan sebagainya. Mereka mana layan sangat makanan rempah orang Melayu. Itu yang muncul istilah ‘Rendang Crispy’. Huhu. Belum lagi nama rempah yang pelik-pelik.

11. Jika kita baca dokumen-dokumen Portugis, tujuan sebenar mereka pergi ke sebelah Melaka dan kawasan Asia Tenggara adalah untuk meneruskan misi Salib. Sebab itu bila Alfonso De Albuquerque pergi ke sebelah Melaka, dia menerima wasiat direct dari Pope Leo, seorang Pope di kota Vatikan, untuk mencari orang-orang Kristian di sebelah Asia Tenggara, dan menghidupkan semangat orang Kristian untuk balik kepada Kristian.

12. Dan mereka pergi ke India pun sebab apa? Sebab nak cari orang Kristian. Tetapi disebabkan mereka jahil dalam ilmu Geografi, sampai saja di India, sekali ramai pula orang Islam, tak ramai orang Kristian. Dan sebenarnya, sebahagian ahli sejarah sebut, dia tak pernah dengar Melaka sehingga dia sampai ke India. Itu jahilnya orang Portugal pada masa itu.

13. Setelah dia berjaya buka kota Melaka, apa yang dia buat? Kalau korang nak tahu, kota A Famosa ni, yang sekarang dah dianggap sebagai warisan dunia bawah UNESCO, sebenarnya adalah satu bangunan yang tapak bawah tu dibina daripada batu bata yang diambil dari masjid-masjid yang dirobohkan dan kubur-kubur orang Islam yang dikorek. Yang ini ada dalam dokumen Portugis, Mereka jelas sebut yang mereka hancurkan masjid, hancurkan batu-batu nisan, diambil batunya dan dibuat tapak A Famosa, kemudian baru dibangunkan kota A Famosa.

14. Bahkan kota A Famosa ni sendiri adalah sebahagian daripada kota Melaka yang dibangunkan oleh orang Islam. Untuk pengetahuan korang juga, Orang Melayu Islam masa tu buat kota bukan dari buluh, kayu balak dan sebagainya. Tetapi memang buat daripada batu-bata. Sebab itu kalau kita baca dokumen lama Portugis, bila sampai dekat Melaka, mereka lukis kota Melaka ni. Dulu mana ada kamera, jadi setiap kali mereka datang mesti bawak pelukis. Pelukis yang akan merakamkan segala yang berlaku.

Bila tengok lukisan orang Portugis pada kurun ke 16, bila mereka lakarkan kota Melaka, memang seperti tembok besar China. Memang besar dan tembok batu, bukan kayu. Jadi maknanya, tujuan mereka datang untuk menghancurkan sebuah negara Islam yang kuat, malah negara tu memang dikenali sebagai negara Islam.

15. Dalam dokumen Portugis juga disebut bahawa, rajanya adalah raja Islam, perang itu adalah perang yang mana dalam dokumen tu disebut sebagai perang dengan Muhammaden, Saracen atau Hajaren. Muhammaden merujuk kepada umat Muhammad, atau Saracen dan Hajaren, yang merujuk kepada Siti Sarah dan Siti Hajar, yang maknanya orang-orang beragama. Jadi memang mereka serang Islam.

16. Kemudian di sebelah negara kita juga, berlaku penjajahan Belanda. Lepas Belanda, pergi pula Inggeris. Penjajahan orang Eropah ini berlaku daripada satu tahap ke satu tahap lain, dan kuasa mereka makin naik, manakala orang Islam semakin turun. Untuk pengetahuan, setiap kali berlaku perpindahan kuasa penjajah, kuasa yang selepas tu memegang lebih kuat daripada kuasa sebelum yang menjajah. Jadi apabila Portugal kalah dengan Belanda, Belanda berganda lebih kuat dari Portugal. Dan apabila Inggeris berjaya mengalahkan Belanda, Inggeris pula berganda lebih kuat dari Belanda.

17. Masuk kurun ke 18 dan 19, Asia Tenggara dah hancur. Sedangkan Asia Tenggara ni adalah sebuah kawasan negara Islam yang cukup besar. Bahagian atas Asia yang paling utara adalah Vietnam atau dulu dikenali sebagai Champa. Vietnam tu keseluruhannya adalah negara Islam Melayu Champa. Kebanyakkan kita punya raja-raja pun datang dari situ.

Almarhum Tuan Guru Nik Aziz pun datang dari keturunan Raja Jembal dari keturunan Champa. Lepas penjajahan Dai Viet, orang Champa ramai berundur ke Kelantan, dan paling ramai duduk di sebuah kawasan dipanggil sebagai Pengkalan Champa, atau hari ini dipanggil sebagai Pengkala Chepa. Begitu juga raja-raja Terengganu, paling banyak guna Sultan Zainal Abidin, memang dari keturunan raja Champa.

18. Champa ada 5 negara semua sekali. Bawah sekali Panduranga (sekarang Ho Chin Minh), Kautara, Vijaya, Sri Mahapura, Indrapura. Ini semua adalah negara Islam, tetapi tumbang dan menjadi Vietnam. Bawah sikit Kemboja, sebelum tu pun adalah sebuah negara Islam. Thailand pun dulu merupakan sebuah negara Islam.

British pernah berpakat dengan satu bangsa bernama bangsa Thai. Bangsa Thai ni adalah suku Cina yang datang dari China Selatan. Mereka jarah Thailand sikit demi sikit. Thailand dulu bukan sebesar hari ini. Dulu Thailand terdiri daripada banyak negara. Antara negara pada masa tu namanya kerajaan Tambralinga. Kerajaan Tambralinga pada masa tu adalah kerajaan Islam, namun jatuh di tangan orang Thai.

19. Kemudian jatuh pula kerajaan Ayuthia, yang mana ia adalah kerajaan Buddha tetapi menterinya ramai menteri Islam. Jatuh pula Segenting Kra yang merupakan sebuah negara Islam. Jatuh semua tu, yang tinggal hanya Pattani. Itu pun bergolak. Apabila bangsa Thai dapat semua negara ni, mereka tukar identiti semua negara tu kepada Siam. Itu yang menjadi bangsa Siam, sedangkan bangsa Siam bukan bangsa Melayu, bukan juga dari rumpun kita. Bangsa Siam adalah bangsa Thai yang datang dari Selatan Cina, turun ke sebelah bawah, ditukar bangsa tempatan kepada Siam. Mereka tukar nama negara menjadi Thailand, merujuk kepada kaum asal mereka iaitu bangsa Thai.

20. Apabila Francis Light datang tawan Pulau Pinang, dia berpakat dengan orang Siam untuk serang Kedah pada sekitar 1830an dan 1840an, dalam satu siri peperangan yang cukup dahsyat. Pada masa tu, orang Siam serang Kedah hingga jadi padang jarak padang tekukur. Orang Islam tak dapat bantu Kedah, sebab masa itu orang Islam dihalang oleh tentera British yang mengepung Kedah. Orang Perak nak tolong tak boleh, orang Selangor nak tolong tak boleh, jalan laut semua ditutup, jalan darat pun ditutup tentera British.

21. Kalau kita baca sejarah yang ditulis oleh Sherard Osborn, seorang sejarawan Inggeris, yang tulis buku bertajuk The Blockade Of Kedah, ada menceritakan macam mana orang Kedah diseksa. Antaranya, perempuan yang mengandung dibelah perutnya. Sekiranya mengandung dikeluarkan bayi dan diletakkan anak kucing dalam tu, kemudian dijahit semula. Kemudian lelaki pula disiat-siat dan dicampak ke laut, malah ada sesetengah tu dipotong dan dibagi makan buaya.

22. Ini semua dengan kerjasama puak generasi selepas kematian Francis Light usai dah dapat Pulau Pinang. Dan ada satu lagi cara membunuh orang Melayu yang sangat kejam, iaitu mereka dudukkan orang lelaki atas tunas nipah. Nipah ni satu tumbuhan yang cepat tumbuh. Jadi lelaki itu didudukkan betul-betul atas tunas nipah itu. Beberapa hari tunas tu makin membesar, lepas seminggu dua, makin masuk ke dalam dubur, seraya masuk ke dalam perut dan mati. Itu setelah berminggu-minggu terseksa, barulah mati. Cuba bayangkan, dan itulah yang berlaku. Gila kan? Korang tak percaya?

Baik, kalau raja-raja Melayu pun pernah dibunuh dengan kejam, apatah lagi rakyat biasa. Saya salin semula tulisan Tuan Helmi Effendy II berkaitan pembunuhan raja-raja Melayu di Indonesia,

“Nak tahu macam raja-raja Melayu di Indonesia dulu kena bunuh dek PKI? Mula-mula depa sebarkan kekayaan raja-raja Melayu kita. Lepas tu atas nama itu, depa bunuh satu demi satu. Takhta diruntuhkan. Tak cukup dengan raja Melayu, bangsawannya dibunuh. Putera rajanya disodok perut. Si puteri pulak dirogol hidup-hidup depan mata.”

Gila bukan? Tetapi Melayu mudah lupa.

23. Bukan setakat Asia Tenggara saja diratah dan dijarah, sebelah Afrika pun sama. Mereka jajah Afrika tengah, Gambia, dan sebagainya, kemudian sampai ke atas seperti Mesir. Mesir yang merupakan negara Islam yang kuat pun kena jajah. Libya yang merupakan negara Islam yang kuat juga pun dijajah oleh Itali. Sudan, Jordan dan semua negara belah Arab dan Afrika habis semua kena jajah dan jarah. Andalus dari awal dah jatuh.

24. Maka, apabila masuk kurun ke 19 dan awal kurun ke 20, tidak ada sebuah negara Islam yang tidak dijajah pun kecuali Arab Saudi dan Afghanistan. Yang lain habis kena jajah, jarah, ditukar nama negara, dibunuh rakyatnya, dan sebagainya.

Jadi, macam mana negara Islam lain nak tolong Uthmaniyyah? Afghanistan pun tengah ada krisis, Arab Saudi pun sama. Takda negara yang mampu tolong Uthmaniyyah ketika Uthmaniyyah ni jatuh. Semua negara Islam sibuk dengan masalah masing-masing.

Dahsyat kan? Huhu. Ini baru faktor pertama. Ada dua lagi faktor macam saya sebut sebelum ini yang saya nak kongsi. Tak tahu la sempat ke tak siap sebelum Raya nanti. Hehe. InsyaAllah, siri ke-6 saya akan sentuh faktor yang kedua pula. InsyaAllah esok.

Korang baca sampai habis tak ni? Kalau habis, komen “Sejarah Melayu Yang Dilupakan”. Moga-moga komen korang macam ni, triggered orang lain untuk baca artikel panjang begini. Hehe.

Moga manfaat. Macam biasa, boleh share ke mana-mana pun untuk manfaat ramai, tiada masalah.

Shukery Azizan.
Tarbiah Sentap.

www.indahnyaislam.my

4 thoughts on “(SIRI 5) Kisah kejatuhan Turki Uthmaniyyah dan pengajaran untuk Malaysia yang mesti anda tahu

  1. Garapan terbaek bro..fakta dan ilmiah baik utk trigger kebangkitan ummah akhir zaman. Teruskan tarbiyah dan sampaikan kebenaran demi agama, bangsa dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *