home Kalam Tokoh, Semasa Bahaya liberalis songsang teks agama: Timbalan Mufti

Bahaya liberalis songsang teks agama: Timbalan Mufti

 

KEBELAKANGAN ini kita sering terbaca tulisan-tulisan, samada melalui media elektronik mahupaun media cetak yang secara jelas bertentangan dengan nas syarak samada al-Quran mahupun hadith-hadith yang sahih bahkan ada penulis-penulis yang secara terang-terangan mengajak pembaca untuk berfahaman menentang dengan pemahaman yang sepatutnya.

Apabila tindakan ini dipersoalkan, maka penulis akan menjustifikasikan bahawa tindakannya itu betul bahkan mengajak masyarakat Islam keluar dari fahaman biasa kerana fahamannya hanya tidak selari dengan kefahaman ulama-ulama sebelum ini di dalam memahami nas bukannya mereka menentang nas berkenaan secara langsung.

Inilah jawapan standard golongan yang beralasan “kami hanya tidak setuju dengan tafsiran ulama terhadap nas berkenaan, bukannya kami melawan nas tersebut”. Bahkan mereka mendakwa penafsiran mereka terhadap nas berkenaan masih termasuk di dalam kerangka penafsiran nas dengan pendekatan lebih moderate dan penuh kesederhanaan.

Pendekataan halus ini sewajibnya disedari oleh umat Islam. Pendekatan ini adalah pendekatan yang sangat licik disebabkan umat Islam secara umum akan spontan menolak fahaman yang didapati terang-terangan bersalahan dengan nas al-Quran mahupun hadith sahih. Maka mereka membawakan tafsiran-tafsiran kepada teks-teks agama yang ada di antaranya menyalahi teks-teks agama bahkan ijma’ ulama’ tetapi masih mendakwa ia hanya menafsirkan teks agama seperti orang lain juga!

Hakikatnya mereka ini hanya membawa pendekatan yang lebih lunak dari golongan tradisional yang menentang teks-teks syarak secara terang-terangan tetapi sebenarnya mereka adalah penentang-penentang kepada nas al-Quran dan hadith-hadith sahih yang membentuk cara hidup dan cara berfikir umat Islam, cuma penentangan dalam bentuk baru iaitu memesongkan dari fahaman sebenar terhadap nas-nas berkenaan.

Di kalangan liberal Muslim, ada kesedaran bahawa idea yang ingin dibawa perlu didasarkan kepada al-Quran. Dalam hal ini, Nurcholish Madjid menyatakan bahawa pemodenan Islam mesti diakarkan kepada al-Quran. Penjelasan kepada pegangan ini ada dikemukakan oleh Abdullahi An-Na’im yang menganjurkan Muslim liberal untuk berdiskusi dalam kerangka wahyu kerana tanpa sokongan hujah yang diambil daripada teks al- Quran, idea liberal tidak berupaya menarik perhatian.

Sebagai contoh, antara ayat al-Quran yang paling popular bagi golongan ini ialah: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasara (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (QS Al-Baqarah: 62)

Begitu juga ayat: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang- orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani – sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan Segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (QS Al-Ma’idah: 69)

Bagi mereka, dalam kedua-dua ayat ini, secara sepintas lalu, kelihatan adanya janji keselamatan di akhirat bagi bukan sahaja Muslim, tetapi juga Kristian, Yahudi, dan Sabi’un. Bagi mereka Muslim hanyalah salah satu ummah yang beriman kepada Tuhan, selain daripada Kristian, Yahudi, dan Sabi’un yang menurutnya juga tergolong dalam “mereka yang beriman”.

Inilah contoh penentang-penentang nas (khusum al nasus) yang menggunakan pendekatan mengelirukan dan cuba membuka peluang seluas-luasnya agar semua orang walaupun tidak berkelayakan untuk berani menafsirkan nas mengikut selera tersendiri. Islam bukan agama yang mengkhususkan golongan tertentu untuk mentafsirkan nas-nas syarak tetapi memberi wewenang kepada sesiapa sahaja yang layak dan mempunyai kriteria yang sepatutnya untuk menafsirkan nas.

Ayat al-Quran di atas difahami secara salah oleh golongan liberalis kerana jauh dari kaedah tafsiran yang sebenar dan cuba ditafsirkan oleh mereka yang tidak layak.

Mereka “langsung tidak mengendahkan struktur bahasa dalam ayat ini yang mengandungi ungkapan syarat iaitu kalimah “man” atau “barang sesiapa” daripada penganut mana-mana agama. Maksudnya, jika sesiapa beriman kepada Tuhan maka dia akan dijanjikan keselamatan di akhirat. Ayat ini sama sekali tidak menyifatkan alladhina ’amanu atau “mereka yang beriman” sebagai man ’amana bi-’Llahi atau “mereka yang beriman”, dan dengan itu menyifatkan “mereka yang daripada Yahudi, dan Kristian, dan Sabi’un” sebagai “mereka yang beriman” juga.

Sebaliknya, ayat ini mensyaratkan semua orang, termasuk yang telah sedia menjadi Muslim, untuk terus beriman kepada Allah agar kemudiannya dapat dijanjikan balasan baik di akhirat. Ini adalah tafsiran yang diberikan, bukan sahaja oleh para ahli tafsir Sunni seperti Abu Ja‘far Muhammad bin Jarir al-Tabari, Fakhr al-Din Muhammad bin ‘Umar al-Razi, dan Abu Sa‘id ‘Abd Allah bin ‘Umar al- Baydawi malah oleh mufassir Mu‘tazili iaitu Abu al-Qasim Mahmud bin ‘Umar al-Zamakhshari.

Sehubungan itu, berdasarkan kaedah bahasa Arab, melalui adanya syarat ini, adalah betul tafsiran majoriti mufassir yang menyimpulkan dari ayat ini, antara lain, bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta beramal baik, sesungguhnya telah menjadi Muslim, walaupun sebelumnya mereka telah sedia Muslim, ataupun merupakan seorang Kristian, Yahudi, Sabi’un, atau menganuti anutan apa sahaja, termasuk yang sebelumnya mempercayai bahawa tuhan itu tidak ada. Apabila mereka ini memenuhi syarat iman dan amal, maka mereka adalah Muslim sejati, dan dengan itu dijanjikan balasan baik selepas mati.

Pendekatan ini amat berbahaya lebih-lebih lagi ia dipasarkan serentak dengan laungan kebebasan berfikir dan bersuara sehingga menerobos membuat-membuat tafsiran kepada teks-teks agama tanpa mahu terikat dengan kaedah-kaedah yang telah kukuh dan telah diterima oleh sekalian ulama.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *