home Semasa Manhajiah Maqasid Syariah

Manhajiah Maqasid Syariah

 

1. UCAPAN kontroversi Dato Dr Mujahid Yusof yang mengungkapkan “Hifzuddin” itu termasuk menjaga agama-agama lain, bukanlah satu kepelikan daripada dirinya, kerana jika diteliti pendirian-pendiriannya sebelum ini, seperti dalam isu Kalimah Allah dan rampasan Bible oleh JAIS dahulu, kita akan dapati kelunakan melampau dan luar biasa terhadap orang bukan Islam itu sebagai satu “pattern” sikapnya yang ketara.

2. Ramai ulama yang bersuara membidas kenyataan Dato Dr Mujahid Yusof itu. Golongan yang lebih arif tentang agama ini membidas kerana penggunaan secara salah Maqasid Syariah. Mereka tiada masalah dengan tugas pemerintah untuk menjaga kepentingan semua pihak, termasuk rakyat bukan beragama Islam. Tetapi penggunaan Maqasid Syariah secara salah itu mesti dibanteras secara tegas dan jelas, lebih-lebih lagi pihak yang galak menggunakannya kini adalah pemerintah atau pro pemerintah, yang mana kesan salah guna itu ke atas kefahaman masyarakat lebih meluas dan ini amat berbahaya.

3. Sehubungan itu, sudah menjadi keperluan genting untuk masyarakat awam dicelikkan tentang ilmu Maqasid Syariah ini, secara betul. Matlamat pencelikan ini bukan untuk mereka mahir menggunakannya, tetapi untuk memberikan pendedahan agar mereka tidak mudah ditipu oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik kepartian. Pada hari ini, maklumat yang salah dan persepsi yang tidak betul sudah menjadi senjata normal untuk parti-parti politik dan penyokong-penyokong bertikam lidah untuk memenangkan pendirian parti masing-masing. Akibatnya banyak fakta salah dianggap betul, manakala yang betul dikira salah. Impak negatif ini boleh dikurangkan dengan penjelasan dan penerangan yang mampu memberikan gambaran atau tasawur yang sahih tentang satu-satu perkara.

4. Satu lagi fenomena salah guna yang berlaku ialah mengambil atau meminjam kata-kata ulama atau tokoh tertentu untuk digunakan secara semberono ke atas satu-satu isu tertentu. Ibarat seseorang yang membaca buku mengenai prosedur pembedahan oleh tokoh pakar bedah dunia, kemudian melakukan pembedahan secara semberono, tanpa kelayakan atau dengan kelayakan tetapi tanpa pengawasan pakar. Belajar mengenai ilmu Usul Fekah, Qawaid Fekah dan Maqasid Syariah itu satu hal, manakala menangani satu-satu isu realiti dalam kerangka ilmu-ilmu syarak tersebut satu hal lain yang lebih memerlukan ketelitian tahap tinggi, kepakaran dan pengesahan pakar secara kolektif.

Di sinilah, kenyataan ahli politik dan penyokong fanatik mereka perlu dijauhi, kerana mereka sudah “bias”. Golongan ini paling mudah terjebak dalam perbuatan membelakangkan manhaj (metodologi) ilmu berkaitan, dalam konteks penulisan ini ialah Maqasid Syariah. Mereka sering gopoh mengambil satu-satu teori untuk diletakkan ke atas satu-satu realiti, tanpa penelitian yang mencukupi.

5. Penulisan saya ini tidak bertujuan untuk menerangkan satu persatu tentang ilmu Maqasid Syariah, kerana ilmu alat untuk memahaminya tidak dimiliki oleh kebanyakan pembaca yang budiman. Ilmu alat yang saya maksudkan, sekadar contoh semata-mata, ialah ilmu Qawaid Lughawiah (ilmu berkaitan bahasa Arab), Usul Fekah (ilmu berkaitan dalil syarak) dan Qawaid Fekah (ilmu berkaitan hukum syarak).

6. Oleh itu, penulisan saya hanya bertujuan untuk memberi gambaran satu sudut daripada aspek manhajiah (methodological), agar kita mempunyai satu kaedah untuk sekurang-kurangnya boleh membezakan antara “pandangan yang diragui” dan “pandangan yang boleh diambil kira”, dalam konteks topik Maqasid Syariah. Penulisan ini juga bukan bertujuan untuk berdebat dengan golongan pemimpin dan penyokong fanatik politik kepartian tertentu yang begitu galak menggunakan istilah Maqasid Syariah untuk memenangkan parti mereka. Penulisan ini ditujukan kepada masyarakat awam, terutamanya golongan terpelajar, untuk mereka jadikan sebagai panduan umum.

7. Pertama sekali, saya ingin membawa pembaca kepada isu manhajiah (methodological) secara umum terlebih dahulu. Terdapat beberapa perkara pendahuluan, yang kita semua setuju dan sepakat mengenainya secara teori, apabila bercakap tentang manhajiah, tetapi kerap kali berlaku penyimpangan ketika aplikasi. Tidak dinafikan juga ada kalangan yang bercakap tentang Maqasid Syariah dan Siyasah Syariyah ini yang sememangnya tidak menguasai isu-isu berkaitan manhajiah ini dalam topik-topik berkenaan. Ada juga yang menggunakan manhaj sains sosial untuk bercakap tentang ilmu syarak. Pendek kata, sama ada tidak berdisiplin dengan manhaj atau sememangnya tidak tahu apa-apa tentang manhaj, atau tersilap memilih manhaj yang bersesuaian dengan topik yang diperkatakannya.

8. Kita semua bersetuju bahawa untuk mendapatkan kefahaman yang benar-benar sahih tentang sesuatu perkara, maka hendaklah dilakukan kajian secara menyeluruh dan secara satu persatu (juzie). Gabungan analisis induktif dan deduktif memberikan gambaran yang lengkap tentang sesuatu perkara, menyebabkan penghukuman ke atasnya lebih tepat.

9. Begitulah juga Syariah dan Islam, yang sumber primer untuk memahaminya ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber ini perlu difahami melalui analisis induktif dan deduktif. Terlebih dahulu, al-Quran ditafsirkan oleh al-Quran, menurut disiplin ilmu al-Quran. al-Quran tidak sekadar difahami satu persatu ayat secara terasing, malah perlu difahami secara keseluruhan; keseluruhan surah, keseluruhan bab-bab hukum yang berkaitan, keseluruhan tema dan kisah, keseluruhan Makkiyah atau Madaniyah, bahkan keseluruhan al-Quran.

10. Jika berlaku seolah-olah ada pertentangan antara ayat-ayat al-Quran, maka masalah itu mesti diselesaikan menurut kaedah-kaedah yang telah terkenal dalam disiplin ilmu al-Quran. Memetik mana-mana satu ayat al-Quran dan menetapkan hukum berdasarkan ayat itu, tanpa menyelesaikan pertentangan dengan ayat-ayat yang lain, adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, tidak ilmiah dan pandangan yang terbina di atasnya boleh diragui.

Sebagai contoh tindakan hanya memetik ayat kelapan daripada Surah al-Mumtahanah sebagai dalil mengharuskan tahaluf siyasi sambil mengabaikan berbelas-belas ayat mengenai larang berwala’ kepada mereka, adalah satu kegagalan manhajiah (methodological failure). Begitu juga perbuatan menjulang ayat “Rahmatan lil Alamin” semata-mata, sambil melupakan konteksnya yang sebenar dan mengabaikan kedudukannya dalam kerangka keseluruhan mesej al-Quran menerusi analisis induktif.

11. Kemudian as-Sunnah mengambil peranan untuk menafsir al-Quran. as-Sunnah bukan sahaja sekadar perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah S.A.W., yang dibaca perinciannya satu persatu secara terasing, malah as-Sunnah juga merangkumi keseluruhan tingkah laku Rasulullah S.A.W., yang dibaca secara menyeluruh, dengan mengambil kira bab-bab yang tersusun hasil daripada analisis induktif para ulama terdahulu.

Sebagai contoh, bab hubungan Rasulullah S.A.W. dengan orang-orang kafir dan munafiqin adalah satu bab yang perlu dikaji secara analisis deduktif dan induktif (al-Allamah Ibnul Qaiyim salah seorang yang telah melakukannya dengan cemerlang), yang menuntut kita tidak berpada dengan satu atau dua hadith berkaitan Rasulullah S.A.W. meminta pertolongan musyrikin dalam peristiwa tertentu sebagai dalil untuk bertahaluf siyasi dengan parti orang-orang bukan muslim.

12. Untuk memahami as-Sunnah, kita tidak dapat mengelak daripada bergantung pada para sahabat. Bukan sahaja dari sudut periwayatan, yang mana para sahabatlah yang membawakan kepada kita hadith-hadith mengenai ucapan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah S.A.W., malah dari sudut pendirian dan tingkah laku para sahabat secara kolektif dalam pelbagai peristiwa, sejak zaman Rasulullah S.A.W. sehingga kurun yang berikutnya, perlu dianalisis secara induktif, bagi mendapatkan gambaran Islam yang menyeluruh dan tepat. Sunnah yang diriwayatkan dan difahami oleh jamaah para sahabat secara kolektif inilah menjadi salah satu punca dinamakan Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Tanpa mengambil kira (analisis induktif) pendirian dan sikap para sahabat secara kolektif, sudah tentu kita akan mewarisi Islam yang tempang dan cacat seperti fahaman yang dibawa oleh Syiah. Sebagai contoh, dalil terhadap kehujahan Qias sebagai sumber syariah yang keempat adalah hasil daripada analisis induktif terhadap para sahabat yang melakukan aktiviti Qias, yang mereka teladani daripada Rasulullah S.A.W. Mereka ijmak melakukan Qias.

13. Terkandung dalam analisis induktif dan deduktif para ulama ke atas al-Quran, as-Sunnah dan pendirian para sahabat, ialah analisis induktif terhadap setiap dalil dan hukum yang terbit daripada dalil itu, yang meliputi ratusan ribu dalil dan jutaan hukum, yang mengambil masa ratusan tahun. Ulama terkemudian melengkapkan dapatan dan hasil kajian ulama terdahulu. Hasilnya ialah lahir ilmu-ilmu berkaitan asas-asas (usul), kaedah-kaedah (maxim), peraturan-peraturan, syarat-syarat dan pelbagai formula lagi yang menjadi garis panduan bagi umat terkemudian untuk memahami Islam dan mengistinbat hukum syarak.

14. Sebagai contoh, itulah proses yang telah melahirkan ilmu Usul Fekah di tangan Imam Syafie, selepas hampir 200 tahun kewafatan Rasulullah S.A.W., yang kemudiannya dikembangkan oleh para ulama terkemudian. Selepas lebih 200 tahun kewafatan Imam Syafie, itulah juga proses yang menerbitkan ilmu Maqasid Syariah di tangan Imam al-Juwaini, yang kemudiannya disusun kemas Imam al-Ghazali, dikembangkan oleh Sulton Ulama al-Izz ibn Abdissalam dalam bentuk “Qawaid”, disusun gabung dengan ilmu Usul Fiqh oleh Imam as-Syatibi dan dilengkapkan oleh al-Allamah Ibnu Asyur.

15. Mesej yang saya ingin sampaikan daripada noktah nombor 13 dan 14 di atas ialah kita sudah mempunyai manhaj (metodologi) tersendiri yang lengkap dan teruji begitu lama sehingga ke hari ini, untuk memahami kehendak syarak dalam pelbagai situasi baharu. Oleh itu, dalam konteks manhaj, tiada istilah klasik dan kontemporari. Jika yang kita maksudkan daripada kalimah klasik dan kontemporari hanyalah faktor masa yang berlainan, tiada masalah.

Tetapi untuk menjadikan kontemporari itu relevan dan “valid”, manakala yang klasik itu “outdated”, maka itu satu salah faham yang amat besar dalam konteks manhaj. Maka saya nasihatkan agar pembaca berhati-hati dengan mana-mana penulis yang mudah-mudah menggunakan istilah klasik dan kontemporari. Maksudnya perlu diteliti betul-betul.

16. Mesej kedua yang ingin saya sampaikan daripada noktah tersebut juga ialah ilmu Maqasid Syariah itu sudah ada pada para sahabat lagi, kemudian diwarisi turun temurun dan dikembangkan dari satu generasi ke satu generasi ulama. Sama seperti kes ilmu Usul Fiqh, yang tersusun di tangan Imam Syafie, tidak bermakna para ulama, terutamanya para sahabat tidak menguasai ilmu itu. Apa yang berlaku ialah penyusunan Usul Fiqh sebagai satu ilmu yang mudah dipelajari oleh generasi terkemudian.

Imam Syafie sendiri tidak menamakan “ar-Risalah” (karangannya mengenai Usul Fiqh) itu sebagai ilmu Usul Fiqh. Oleh itu, mana-mana pandangan yang mengatakan para ulama kini perlu mengambil masa untuk menerima “mazhab Maqasid Syariah” adalah pandangan yang dibina di atas kejahilan tentang ilmu Maqasid Syariah itu sendiri, kerana ilmu itu sudah menjadi sebahagian daripada “mumarasah” (praktis) para ulama dalam mengeluarkan fatwa selama ini, walaupun mereka tidak sibuk mempromosikannya.

17. Mesej ketiga daripada noktah tersebut juga ialah ilmu Maqasid Syariah adalah hasil daripada proses analisis induktif terhadap keseluruhan kandungan al-Quran dan as-Sunnah. Ilmu ini bukan diperoleh melalui buku Jaser Auda sahaja. Bukan buku Ibnu Asyur semata-mata. Bukan boleh berpada dengan kitab “Muwafaqat” as-Syatibi sahaja. Ilmu ini ialah mengenai analisis induktif.

18. Sebagai contoh, jika kita mahu bercakap tentang Maqasid Syariah dalam bab politik, maka tiada sesiapa yang boleh mengatakan sesuatu itu sebagai Maqasid Syariah atau kehendak syarak dalam politik kecuali dia telah melakukan analisis induktif terhadap keseluruhan kandungan al-Quran dan as-Sunnah, serta analisis induktif pendirian politik para sahabat. Analisis induktif ini pula tidak boleh sekali-kali menafikan hasil deduktif terhadap mana-mana dalil al-Quran dan as-Sunnah yang “qatie”.

Itulah proses yang dilakukan oleh Imam al-Mawardi sebelum beliau mengatakan bahawa pemerintah itu fungsinya ialah menjaga agama dan mentadbir dunia (dengan panduan agama). Proses yang sama juga dilakukan oleh para ulama yang lain sehingga melahirkan kesimpulan yang serupa (walaupun berbeza dari sudut ayat dan perkataan) tentang fungsi pemerintah (al-Imam).

19. Jika itulah proses yang dilalui oleh para ulama untuk menghasilkan kesimpulan bagi fungsi pemerintah, dalam bab politik sahaja, maka sudah tentu proses yang lebih besar dan berat dilakukan untuk mengeluarkan Lima Dharuriyat atau Lima Usul atau Lima Kulliyat, yang sering kali kita ulang-ulang sebagai Menjaga Agama, Nyawa, Akal, “Nasal” dan Harta.

20. Persoalan besar di sini ialah apakah manhaj (metodologi) yang diguna pakai oleh mereka yang beria-ia mempertahankan kenyataan Dato Dr Mujahid Yusof yang mengatakan Hifzuddin itu ialah untuk menjaga semua agama, bukan setakat agama Islam? Adakah mereka telah melakukan analisis induktif terhadap kandungan al-Quran dan as-Sunnah untuk menyanggah mafhum yang dipegang oleh para ulama terdahulu?

21. Ini kerana maksud para ulama selama ini daripada kalimah Hifzuddin itu ialah agama Islam sahaja, adalah dibina hasil daripada analisis induktif terhadap al-Quran dan as-Sunnah, menurut garis panduan (ilmu-ilmu yang saya sebutkan di atas) yang juga terbina hasil analisis induktif terhadap sumber-sumber tersebut. Maka untuk menyanggahnya, perlu kepada satu analisis induktif juga.

Adakah untuk merungkai maksud itu dan mengumumkannya kepada agama-agama lain hanya sekadar perlu membawa petikan teks Jasser Auda dan beberapa ulama terpilih? Adakah petikan itu kena dengan topik yang diperbincangkan? Adakah para ulama terpilih itu telah menyanggah kesimpulan para ulama terdahulu? Jika ada, sudahkah dibuat penilaian terperinci dari sudut manhajiah perbahasan sanggahan itu?

22. Terdapat sebahagian ulama membawakan kisah Rasulullah S.A.W. yang menghancurkan berhala ketika peristiwa pembukaan Kota Mekah sebagai menyanggah kenyataan Dr Mujahid itu. Noktah ini bukan mahu mendalilkan tindakan menghancurkan agama lain. Noktah ini hanyalah mahu menjentik pemikiran orang yang mahu patuh berdisiplin dengan manhaj perbahasan ilmu syarak yang betul, bahawa tidakkah tindakan Rasulullah S.A.W. menghancurkan berhala itu bertentangan dengan mesej Hifzuddin menjaga semua agama? Sepatutnya noktah penghancuran berhala ini mendorong ke arah analisis induktif untuk mencari jawapan tuntas tentang maksud Hifzuddin, walaupun para ulama terdahulu sudah melakukan proses itu dan sudah ada jawapan iaitulah hanya menjaga agama Islam.

23. Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, ingin saya angkat satu lagi fenomena negatif iaitu keceluparan mengatakan bahawa para ulama zaman dahulu tidak mengalami dan memahami situasi dan realiti zaman sekarang. Sebagai contoh, realiti geopolitik yang berubah, maka pengkategorian kafir harbi sudah tidak relevan. Benar, situasi dan realiti berubah, tetapi garis panduan dan kaedah-kaedah ilmu syarak dalam mengistinbat hukum tetap sama. Maksudnya di sini ialah pihak yang mahu mengemukakan hukum yang berlainan daripada yang diputuskan para ulama terdahulu hendaklah mengemukakan penghujahan berdasarkan manhaj ilmu syarak yang tersedia ada.

Adakah mereka sudah melakukan analisis induktif dan deduktif terhadap kandungan al-Quran dan as-Sunnah keseluruhannya, sebelum mengatakan bahawa kategori kafir harbi sudah tiada? Adakah mereka telah melakukan analisis yang sama untuk mengatakan bahawa kafir harbi hanya diperangi secara fizikal sahaja, tiada perang politik? Malangnya, yang berlaku ialah mereka hanya berhujah bahawa ulama terdahulu tidak berada dalam realiti geopolitik zaman sekarang dan sekadar memetik kata-kata ulama secara terpilih (selektif) zaman sekarang, tanpa dilakukan penilaian terperinci menurut manhaj ilmu syarak. Kegagalan manhajiah amat jelas sekali.

24. Akhir sekali, saya ingin menekankan bahawa Maqasid Syariah adalah ilmu yang diguna pakai oleh para ulama dalam mengeluarkan hukum syarak dan memberi fatwa. Sama seperti ilmu Usul Fiqh yang tidak diguna pakai oleh masyarakat awam, begitu jugalah Maqasid Syariah. Itulah sebabnya, jika kita perhatikan, para ulama yang terkenal dengan ketinggian ilmunya dan penguasaan ilmu syaraknya tidak ramai yang menghebohkan tentang Maqasid Syariah kepada orang awam, walaupun fatwa mereka dalam semua bidang menggunakan Maqasid Syariah. Fenomena penggunaan istilah Maqasid Syariah oleh ahli politik dan penyokong yang fanatik terhadap partinya adalah situasi yang amat berbahaya, kerana boleh dimanipulasi menurut kepentingan politik yang sempit.

* Penulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis terhadap rujukan-rujukan berikut (dicatat dengan ringkas sahaja, bagi mereka yang memahami):

الموافقات للشاطبي
مقاصد الشريعة الإسلامية لابن عاشور
القواعد الكبرى لابن عبد السلام
محاضرات في مقاصد الشريعة للريسوني
مقاصد الشريعة عند إبن تيمية للدكتور يوسف أحمد محمد البدوي
فصول في الاجتهاد والمقاصد للدكتور نورالدين مختار الخادمي
الفكر السياسي عند الإمام الجويني للدكتور رائف عبد العزيز المنعم
مقاصد القواعد الفقهية للدكتور سعيد الشوي
طرق الكشف عن مقاصد الشارع للدكتور نعمان جغيم
نظرية المقاصد عند الإمام الشاطبي للريسوني
مقاصد الشريعة عند الإمام الشافعي للدكتور أحمد وفاق مختار

Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *