home Semasa Etnik Muslim Hui halang komunis China roboh masjid

Etnik Muslim Hui halang komunis China roboh masjid

 

WEIZHOU (CHINA) – Ratusan umat Islam etnik Hui di sebuah bandar terpencil di timur laut China, berkumpul dan melakukan kepungan sebagai jalan terakhir menghalang kerajaan komunis China daripada meroboh sebuah masjid baharu, semalam.

Ratusan umat Islam itu turut berkumpul di dataran di luar Masjid Besar Weizhou, sebuah masjid baharu yang mengagumkan yang dibina dengan struktur putih, dihiasi sembilan kubah berbentuk bawang, bulan sabit dan empat menara.

Perhimpunan di Tongxin, Weizhou di wilayah autonomi Ningxia Hui, semalam, adalah yang terbaharu dan terbesar, berikutan konflik sebelum ini, di mana Beijing melihat dengan kebimbangan peningkatan Islamisasi dan pengaruh Arab, ketika Parti Komunis berusaha menghalang kebangkitan agama di negara itu.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan kerajaan Weizhou, yang ditampal di masjid berkenaan pada 3 Ogos lalu, jawatankuasa masjid diberi tempoh sehingga hari ini untuk merobohkan bangunan berkenaan kerana dikatakan tidak memperoleh permit pembinaan dan kelulusan pelan.

Jika gagal mematuhinya, kerajaan China akan merobohkannya secara paksa, kata notis berkenaan.

Bagaimanapun, sumber kerajaan Ningxia berkata, tindakan merobohkan masjid berkenaan dibatalkan selepas kerajaan berbincang dengan jawatankuasa berkenaan, tetapi mengarahkan lapan kubah diturunkan.

Tetapi, sesetengah umat Islam enggan membenarkan kerajaan menurunkan lapan kubah itu.

“Sekarang kami berada dalam keadaan tidak selesa. Kami tidak mahu kerajaan menyentuh masjid itu, tetapi kerajaan juga enggan mengalah,” kata penduduk.

Pembinaan masjid itu siap tahun lalu. Ianya menggantikan masjid yang lebih awal dibina yang juga sebelum itu menggantikan Masjid Weizhou berusia 600 tahun yang dimusnahkan ketika Revolusi Budaya pada era 1960-an lalu.

Arahan kerajaan untuk merobohkan masjid itu, mencetuskan kemarahan di kalangan komuniti muslim Hui, dengan ramai daripada mereka mempersoalkan kenapa kerajaan tidak menghentikan pembinaannya sebelum ini, yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, jika ia tidak mendapat kelulusan.

 

 

Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku walaupun polis ditempatkan di kawasan berkenaan.

Sejak berabad lalu, etnik muslim Hui bebas mengamalkan kepercayaan mereka. Kebanyakan mereka bercakap Mandarin, dan selain daripada kopiah dan tudung yang dipakai oleh komuniti yang lebih tradisional, mereka tidak dapat dibezakan daripada penduduk majoriti Han.

Namun, berikutan tindakan tegas Parti Komunis China terhadap etnik Uyghur di Xinjiang, komuniti Hui turut terkena tempias dan menjadi sasaran.

Beberapa masjid di Nigxia diarah membatalkan kelas pengajian bahasa Arab, sementara sekolah Arab pula diarah ditutup.

Pada 2012, ratusan etnik Hui terbabit dalam pergaduhan dengan polis di Tongxin, ketika mereka cuba menghalang masjid dirobohkan. Beberapa penunjuk perasaan dilaporkan terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam pergaduhan itu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *