home Kolumnis, Semasa Islam itu menyeluruh, meliputi pemerintahan

Islam itu menyeluruh, meliputi pemerintahan

 

ISLAM adalah agama yang bersifat syumul iaitu menyeluruh dalam segala aspek kehidupan. Syariat Islam meliputi dari sekecil-kecil hal ehwal individu sehingga sebesar-besar urusan pemerintahan.

Dalam sirah Rasulullah SAW sendiri, perkara utama yang baginda lakukan selepas berlakunya peristiwa hijrah adalah mendirikan negara buat umat Islam di Madinah dengan baginda sendiri sebagai ketua negara. Kemudian sejarah pemerintahan dan ketamadunan umat Islam ini telah berlangsung lebih 1400 tahun sehingga hari ini.

Terdapat begitu banyak dalil yang menyentuh isu pemerintahan dan kepimpinan antaranya surah al-Maidah ayat 49:

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.”

Allah SWT juga memerintahkan umat Islam untuk mentaati pemimpin yang taat kepada Allah dan Rasul dalam al-Nisa’ ayat 59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Ketaatan hanya boleh diberikan jika kepimpinan itu wujud, ayat ini selain kita memahaminya sebagai arahan untuk mentaati, juga perlu difahami supaya kita memastikan kepimpinan umat Islam itu sentiasa ada.

Ibn ‘Ashur dalam kitabnya Naqd `Ilmi li Kitab al-Islam wa Usul al-Hukum telah menimbulkan satu persoalan:

“Bagaimana mungkin Islam itu dianggap sebagai suatu syariat tetapi tiada kerajaan yang melaksanakan syariat tersebut dan membawa pemimpin dan rakyat beramal dengannya?”

Pemerintahan dalam Islam menjaga kepentingan rakyat secara menyeluruh, seperti disebutkan Imam al-Juwayni dalam Ghiyath al-Umam:

“Pemerintahan (di dalam negara Islam) ialah sebuah kepimpinan yang menyeluruh dan penguasaan yang umum. Ia berkaitan dengan segala urusan yang berkaitan masyarakat umum, mahupun individu perseorangan, meliputi urusan agama dan dunia.”

“Kepentingan itu meliputi menjaga kedaulatan negara, memerintah orang yang diperintah, mendirikan dakwah dengan hujah dan juga pedang, menahan kelompok yang sesat dan kelompok yang zalim, menarik hak daripada golongan yang menentang dan memberi hak kepada golongan yang dizalimi dan mendapatkan hak daripada mereka yang enggan memberikan hak yang sepatutnya dan memberikan kepada mereka yang berhak.”

Peranan utama negara juga adalah menjaga agama seperti disebutkan oleh para ulama muktabar:

“Maqasid yang paling utama yang perlu direalisasikan oleh pemimpin ialah maqasid menjaga agama.” (Imam al-Juwaini, Ghiyath al-Umam)

“Kepimpinan (dalam pemerintahan Islam) itu adalah diwujudkan dengan matlamat untuk menggantikan tugasan nubuwwah iaitulah dalam menjaga agama dan mengurus tadbir dunia.” (Imam al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah)

“Pemerintah dan agama adalah seperti saudara kembar. Sesungguhnya agama adalah asas dan pemerintah itu penjaga. Dan sesuatu yang tidak mempunyai asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak mempunyai penjaga akan hilang.” (Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din)

“Sesungguhnya tujuan segala pemerintahan dalam Islam adalah untuk menjadikan agama itu seluruhnya bagi Allah semata-mata, dan memastikan kalimah Allah itu adalah yang tertinggi.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa)

Pemahaman kenegaraan dalam Islam cukup berbeza dengan fahaman liberalisme yang hanya ingin negara menjaga kebajikan material dan menyerahkan segala urusan yang lain kepada hak individu. Ini seperti diungkapkan oleh pemikir yang dianggap bapa liberalisme, John Locke: “Government has no other end, but the preservation of property.”

Kenyataan Pengurus Program Sisters in Islam (SIS), Shareena Sheriff dalam forum ‘Malaysia Baru: 61 Tahun Selepas Merdeka, Adakah Etnik dan Agama Masih Penting?’ yang mengatakan Islam sebagai ‘endemik’ dan keadaan tersebut menyukarkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan hanyalah manifestasi pemahaman liberalisme dan sekularisme yang jauh dari hakikat sebenar Islam.

Ucapan tersebut yang ingin memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan juga adalah kenyataan terbuka yang biadab dan tidak menghormati Perlembagaan Malaysia serta Majlis Raja-Raja. Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan secara jelas menyebut Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Perkara 32(1) pula menyatakan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong, yang mana sumpah pelantikan baginda dalam Bahagian I Jadual Keempat merangkumkan secara keseluruhan tanggungjawab besar yang meliputi empat perkara iaitu; mengikut undang-undang dan Perlembagaan sedia ada dan akan datang, menegakkan kedaulatan undang-undang, menjalankan pemerintahan dengan adil dan aman, dan memelihara agama Islam.

Kedudukan Islam dalam fungsi pemerintahan di Malaysia tidak sepatutnya dipertikai sama sekali, apatah lagi seruan untuk memisahkannya. Sekiranya ada kekurangan dalam institusi dan pentadbiran Islam ia perlu ditambah baik dan diperkasakan bukan dipisah atau dimansuhkan.

Umat Islam di Malaysia perlu teguh mempertahankan identiti dan kedudukan Islam dalam negara ini kerana arus liberal demokratik yang ingin mengubah identiti negara akan terus mengasak secara kuat, dan kita hanya akan mempunyai kekuatan jika bersatu.

Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan
Pegawai Eksekutif Biro Islamiyat ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *