home Semasa Hukuman sebat bertepatan de­ngan al-Quran: Mufti Kedah

Hukuman sebat bertepatan de­ngan al-Quran: Mufti Kedah

 

ALOR SETAR – Keghairahan pihak terten­tu mempertikaikan pelaksanaan hukuman sebat ke atas pasangan lesbian di Terengganu baru-baru ini ditegur Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Menurutnya, hukuman dijatuhkan itu tidak ada salah­nya dari sudut agama termasuk dari segi pelaksanaan iaitu di hadapan khalayak.

Beliau malah turut mengingatkan betapa perbuatan mempertikaikan hukuman takzir seper­ti itu yang sememang­nya bertepatan de­ngan al-Quran, boleh memberi kesan terhadap akidah umat Islam.

“Perkara sebegini tak perlu dipertikai kerana hukuman dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Kena hormatilah kerana hukuman tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan yang ada dalam Islam.

“Dalam Islam, memang ada dalil yang membenarkan hukuman dijalankan di depan khalayak supaya menjadi pengajaran kepada yang lain. Jadi usah kita pertikai kerana perkara ini bukan rekaan manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beberapa pihak termasuk Lawyers for Liberty (LFL) sebelum ini mempertikaikan hukuman tersebut apabila mendakwa pelaksa­naan hukuman sebatan syariah oleh Mahkamah Syariah Terengganu itu tidak selari dengan cara Islam berkembang di negara ini.

Mengulas lanjut katanya, dari satu sudut beliau melihat pertikaian itu menjadi bukti betapa masyarakat di negara ini perlu dididik untuk memahami akan peruntukan undang-undang Islam.

“Apabila Allah menetapkan sesuatu, sudah tentu ada pengajaran yang amat besar di sebaliknya. Hakim yang menjatuhkan hukuman itu juga sudah tentu memiliki ilmu agama yang tinggi dan mempunyai kelayakan secukupnya.

“Bagi mereka yang tidak memahami, itu lain cerita tetapi buat individu yang sedar dan tahu tetapi masih mahu mempertikai, tindakan itu mampu membawa implikasi besar kepada akidah mereka,” katanya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *