home Semasa Mengapa amalan menjadi habuk?

Mengapa amalan menjadi habuk?

 

1. Di dalam al-Quran, Allah mengingatkan kita bahawa akan ada manusia di hari kiamat nanti yang akan membawa amalan yang banyak sebagai bekalan akhirat. Namun apabila dipersembahkan kepada Allah Ta’ala, amalan tersebut menjadi habuk yang berterbangan, sedikit pun tidak memberikan manfaat kepada tuannya. Firman Allah:

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

“Dan Kami bicarakan (persembahkan) apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan: 23)

Pada asasnya, konteks ayat ini ditujukan kepada mereka yang kufur, namun pengajarannya perlu kita fikirkan.

2. Mengapa amalan menjadi debu? Menurut Sheikh al-Sha’rawi, perkara ini berlaku kerana mereka melakukan sesuatu amalan hanya kerana manusia dan dunia. Justeru, mereka sudah pun mendapat faedahnya di dunia iaitu mereka menjadi masyhur dan disegani manusia di dunia. Jadi amalan ini telah diperolehi manfaatnya didunia kerana niatnya hanya dunia semata. Disebabkan amalan tersebut tidak dilakukan kerana Allah, maka ia tiada nilai di sisi Allah di akhirat kelak.

3. al-Imam al-Sayuti memberikan penafsiran yang lebih tegas. Menurut beliau, amalan menjadi sia-sia adalah kerana mereka hanya menjadi baik di hadapan manusia. Namun, apabila di belakang manusia, mereka melakukan maksiat, perbuatan yang dilarang oleh Allah. Mereka melakukan maksiat tersembunyi. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith. Sabda Nabi:

لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا، فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا”، قَالَ ثَوْبَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا، جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ، وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ، قَالَ: “أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ، وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ، وَيَأْخُذُونَ مِنَ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ، وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا

“Aku sangat mengenali beberapa golongan manusia dari kalangan umatku yang datang pada Hari Kiamat dengan kebaikan yang banyak seumpama Bukit Tihamah Baidha’.
Namun, Allah menjadikan amalan tersebut seperti debu-debu yang berterbangan (sia-sia).”

Lalu Thauban Radhiayallahu ‘Anhu bertanya: “Wahai Rasulallah, beritahulah kepada kami ciri-ciri golongan tersebut? Terangkanlah kepada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka. Sesungguhnya kami tidak mengetahuinya. Baginda Sollallahu ‘Alaihi Wa Sallam pun bersabda :

“Sesungguhnya mereka adalah dari kalangan saudara-saudara kalian, dari golongan yang sama kulit dengan kalian dan mereka melakukan pada waktu malam sepertimana yang kalian lakukan. Namun demikian, apabila mereka bersendirian dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, mereka sanggup melanggarnya.”

4. Ayat Quran dan hadith ini menggambarkan bahawa betapa Allah ingin mendidik kita supaya melakukan sesuatu hanya untuk Allah. Amalan kita hanyalah untuk Allah dan Allah tidak akan mengecewakan hambanya. Amalan untuk manusia adalah sesuatu yang tidak pasti. Manusia terkadang mengecewakan terkadang menggembirakan.

Mari kita bermuhasabah.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *