home Semasa Jangan sentuh hal agama jika tiada pengetahuan: Mufti Negeri Sembilan

Jangan sentuh hal agama jika tiada pengetahuan: Mufti Negeri Sembilan

 

SEREMBAN – Pemimpin beragama Islam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan agama supaya tidak disalah tafsir.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, jika tidak mempunyai pengetahuan terutamanya membabitkan soal hukum agama, adalah lebih baik tidak menyentuh mengenainya.

“Jangan menggunakan akal fikiran sendiri memberi kenyataan berkaitan soal agama. Perlu betul-betul faham dan tahu segala hukum yang sudah tertulis dalam agama kita.

“Jika agama dah kata salah, ia tetap salah dan tidak boleh berubah ikut keadaan. Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)itu sama ada terlibat dalam hubungan songsang atau tak, ia sudah haram dalam agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mendakwa tidak semua golongan LGBT di negara ini terbabit dalam hubungan songsang.

Kenyataan Mujahid itu bagi mengulas kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.

Sementara itu Mohd Yusof berkata, kerajaan seharusnya memandang serius berkenaan laporan Jakim berkenaan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan bersesuaian bermula dari sekarang.

“Jangan biar macam itu saja, apatah lagi jika golongan ini dibela, lagi bertambahlah mereka dan tanpa segan silu mengaku dirinya LGBT.

“Tapi itu bukan bermakna kita menyisihkan mereka, tapi bantu dengan membawa kembali kepada fitrah. Sebab itu perlunya kita elakkan perkara yang boleh mengundang kepada menyemarakkan lagi golongan ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, masyarakat seharusnya mengambil iktibar kejadian bencana alam di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia kerana ia adalah peringatan oleh-NYA dan peringatan itu bukan sekadar kepada mereka yang melakukan kemungkaran tetapi juga kepada yang lain kerana tidak menasihatkan atau mengingatkan. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *