home Kolumnis, Semasa Operasi khalwat dan pandangan Dr Mujahid

Operasi khalwat dan pandangan Dr Mujahid

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan. Beliau dipetik berkata: “Katakanlah kamu melakukan sesuatu secara peribadi, dalam kawasan persendirian, saya tidak akan masuk campur.” (Astro Awani)

2. Persoalan khalwat adalah sesuatu yang serius. Rasulullah pernah memberikan peringatan kepada kita melalui sabda Baginda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya. (HR Muslim)

3. Perlakuan khalwat ini, sekiranya telah dilaporkan kepada pihak berkuasa, maka seharusnya pihak yang berautoriti ini berperanan dalam melakukan amal makruf dan nahi mungkar. Sabda Rasulullah:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya : Sesiapa dari kalangan kalian yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan jantung hatinya. Demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (HR Muslim)

4. Benar, urusan mengintip kesalahan adalah sesuatu yang diperbahaskan kerana al-Quran melarang kita menyelongkar dosa manusia. Namun beberapa ulama tafsir berpandangan bahawa ada operasi seperti ini yang menepati kehendak syariat.

5. al-Imam al-Ramli yang merupakan tokoh besar dalam mazhab al-Imam al-Syafie pernah menyatakan: Tidak boleh bagi seseorang untuk mencari-cari kesalahan dan melakukan tajassus serta memecah masuk ke dalam rumah-rumah berdasarkan sangkaan.

Ya, jika berat sangkaannya bahawa berlaku maksiat sekalipun dengan qarinah (bukti) yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya maka dibolehkan untuknya melakukan tajassus. Bahkan wajib ke atasnya untuk melakukan tajassus sekiranya dia khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan perbuatan zina.

Lihat Nihayah al-Muhtaj (4/47-49)

6. Kata al-Imam al-Ghazali Rahimahullah: Maksiat yang sedang berlaku dan pelakunya sedang melakukannya contohnya memakai sutera, memegang ʿoud (diistilahkan juga sebagai qanbūs atau gambus) dan arak. Maka membatalkan (menghalang) maksiat ini adalah wajib dengan segala yang termampu selama tidak membawa kepada maksiat yang lebih keji atau sama dengannya. Dan ini terpakai kepada mana-mana individu dan rakyat.

Lihat Ihya’ Ulum al-Din (2/382-384)

Semoga Allah membantu kita memelihara Muslim dan Islam

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *