home Kolumnis, Semasa Penyakit wahn: Kecintaan dunia yang melampau

Penyakit wahn: Kecintaan dunia yang melampau

 

1. Rasulullah mengingatkan kita bahawa suatu masa nanti, umat ini akan menjadi sangat lemah. Sahabat bertanya, apakah umat Islam ketika itu sedikit? Rasulullah menjawab: bahkan mereka ramai, tetapi walaupun ramai, mereka hanyalah seperti buih. Ditolak terhoyong ke sana ke mari. Rasulullah lalu menjelaskan bahawa pada ketika itu umat Islam ditimpa penyakit wahn.

2. Apakah itu penyakit wahn? Rasulullah menjelaskan penyakit wahn adalah sifat mencintai dunia dan takutkan mati. Perkataan wahn dari segi bahasa membawa maksud lemah. Ini dapat difahami daripada al-Quran melalui perbualan Nabi Zakaria. Firman Allah:

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا

“Nabi Zakaria berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah (wahn) dan kepalaku telah ditumbuhi uban..” (Surah Maryam: 4)

3. Hadith ini menggambarkan kepada kita bahawa umat ini akan menjadi lemah kerana penyakit cintakan dunia. Mereka boleh dibeli dengan duit dan harta. Prinsip Islam dan kepentingan bangsa juga boleh tergadai hanya kerana Muslim itu cintakan harta. Demi harta mereka tergamak menggadaikan agama, mencalar kedaulatan negara dan bangsa. Gila mengejar ekonomi dunia sehingga mengenepikan hukum syariat Allah.

4. Fenomena cintakan dunia ini jelas terzahir dalam banyak aspek dari segenap lapisan masyarakat hari ini. Muslim dibeli dengan duit dalam proses pemilihan atau pengundian pemimpin kelas bawahan, sehinggalah dibeli dengan projek jutaan di peringkat atasan.

5. Teringat saya satu perbualan bersama seorang pakcik di Johor suatu ketika dahulu. Kata beliau: “orang kafir akan pening kalau orang melayu dah tak nak duit. Apa yang boleh digadai sekiranya orang melayu tak mau duit dah.” Terdiam saya ketika itu. Benar juga kata-kata beliau, andai sekiranya pemimpin Muslim berjuang demi Islam dan hidup sederhana, tiada duit yang mampu merasuah atau membeli mereka.

6. Perjuangan Rasulullah adalah contoh ikutan yang terbaik. Ingatkah kita bagaimana Saidina Umar menangis melihat bekas tikar pada badan Rasulullah? Berbekas badan Rasulullah kerana tidur di atas tikar yang kasar. Melihat perkara ini, Umar menangis.

Kata Umar: Pembesar Rom dan Parsi mewah dengan kemewahan mereka sedangkan engkau dalam keadaan begini wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab dengan tenang: dunia ini hanyalah persinggahan. Tiada dunia yang melekat di hati Rasulullah.

Andai beginilah sikap pemimpin Muslim pada hari ini, nescaya harta negara lebih terpelihara, rakyat menikmati sejahtera.

7. Akhir kata, terdesak sangatkah bumiputera Muslim dalam kehidupan dunia hari ini sehingga perlu menceburkan diri dalam perniagaan arak dan judi? Membaca berita ini tidak tergambar saya bagaimana seseorang yang sedar arak itu berdosa tetapi menyatakan:

“Perniagaan ini berdosa, sudah tentu, tapi sejak bila kerajaan diberikan mandat di bawah perlembagaan untuk melindungi orang Melayu daripada dosa?

Apakah ini yang dikatakan super liberal? Adakah ini yang dikatakan kecintaan pada dunia yang melampau?

Moga Allah membimbing kaum Muslimin.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *