home Kolumnis, Semasa Quraysh, bangsa tonggak dan Ketuanan Melayu

Quraysh, bangsa tonggak dan Ketuanan Melayu

 

1. Setelah meninggalnya Rasulullah ﷺ, para sahabat berkumpul di Saqifah Bani Sa’adah bagi melantik Khalifah baru sebagai pengganti Rasulullah. Saat inilah berlaku perselisihan apabila kaum Ansar berkehendakkan Khalifah tersebut mestilah dikalangan mereka.

2. Ketika itulah Abu Bakar berhujah dengan menyebut bahawa kaum Quraysh sebagai bangsa tonggak yang boleh menyatukan Arab. Kata Saidina Abu Bakar:

قد عرفتم أن هذا الحي من قريش بمنزلة من العرب ليس بها غيرهم، وأن العرب لن تجتمع إلا على رجل منهم

“Sesunngguhnya kamu (wahai saudara Ansar) tahu bahawa kumpulan dari Quraysh ini mempunyai kedudukan di sisi Arab tidak seperti yang lain. Dan Arab tidak akan bersepakat melainkan dengan lelaki dari kumpulan (Quraysh) ini.” (al-Musannaf, Ibn Abi Syaibah)

3. Atas dasar ini al-Imam Ibn Khaldun menafsirkan hadith Rasulullah ﷺ tentang Qurasyh sebagai keperluan kepada bangsa tonggak di dalam kepimpinan. Rasulullah pernah bersabda:

الائمة من قريش
“Kepimpinan itu adalah dari Quraysh.” (HR Ahmad). Sabda Baginda lagi:

لا يَزال هذا الأمر في قريش ما بقي من الناس اثنان
Sesungguhnya urusan kepimpinan ini kekal bersama Quraysh sekalipun hanya tinggal dua orang dikalangan manusia (HR al-Bukhari dan Muslim)

النّاس تَبَع لقريش في هذا الشأن مُسلِمهم لِمُسلِمهم وكافِرهم لكافِرهم
“Manusia akan ikut kepimpinan Quraysh dalam urusan ini, Muslim akan mentaati Muslim, dan kafir akan menuruti kafir” (HR Muslim).

Malah terdapat beberapa hadith yang lain lagi menunjukkan keperluan satu kumpulan yang menjadi tonggak dalam membangun dan memartabatkan Islam.

4. Apakah hadith-hadith kepimpinan Quraysh ini membawa kepada Asabiyyah?
Tidak, menurut Ibn Khaldun, hadith-hadith berhubung keutamaan Quraysh ini adalah bagi menunjukkan keperluan satu bangsa tonggak (al-Asabiyyah al-Ghalibah) dalam satu kepimpinan. Sekiranya satu bangsa itu menjadi tonggak dalam pemerintahan, ikatan kekuatan mereka mampu memberi, membangun serta memartabatkan Islam.

5. Adakah hadith ini bertentangan dengan hadith yang menyebutkan bahawa kaum Muslimin mestilah taat sekalipun dipimpin oleh seorang hamba dari Habsyah?
Tidak sama sekali. Hadith kepimpinan hamba dari Habsyah ini menggambarkan keperluan taat kepada pemimpin. Sekiranya kempimpinan telah dilantik, maka Muslim harus taat. Ia tidak bercanggah dengan saranan Nabi berhubung keperluan satu bangsa tonggak atau kumpulan terkuat dalam memperjuangkan Islam.

6. Di Malaysia, bangsa Melayu Muslim seharusnya bersatu dan menjadi bangsa tonggak dalam memartabatkan Islam. Tiada salahnya pun sekiranya ketuanan Melayu itu memberikan satu kelebihan buat Islam dan bukan sebaliknya. Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila kita mengutamakan kesaksamaan kemanusiaan dengan mengenepikan nilai Islam.

Kerana sesungguhnya kemuliaan bangsa itu adalah dengan Islam!

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Oxford Centre for Islamic Studies
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *