home Semasa Kerajaan perlu adil pada penduduk asal isu ICERD: Mufti Pulau Pinang

Kerajaan perlu adil pada penduduk asal isu ICERD: Mufti Pulau Pinang

 

SHAH ALAM – Kerajaan digesa supaya tidak terburu-buru memuktamadkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sebaliknya mengkajinya lebih mendalam dari segi kesan ke atas masa depan rakyat dan negara.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, walaupun rakyat memahami hasrat kerajaan melakukan perubahan yang boleh memacu kemajuan termasuk hak-hak kemanusiaan, namun kerajaan juga perlu bersikap adil kepada penduduk asal negara ini.

Katanya, mereka telah berkorban dengan merelakan status kewarganegaraan diberikan kepada kaum-kaum lain yang datang ke negara ini.

“Perubahan memanglah diperlukan, tetapi perubahan yang dikehendaki itu biarlah yang membawa kebaikan dan keadilan kepada semua pihak, bukan yang menganiayai mana-mana pihak.

“Ketika kita menuntut kemerdekaan daripada penjajah Britih dahulu, satu kontrak sosial telah dipersetujui kesemua pemimpin kaum-kaum di negara ini iaitu orang Melayu hendaklah mengizinkan orang Cina dan India diberikan kewarganegaraan dan sebagai timbal balasnya, beberapa hak keistimewaan bangsa Melayu perlulah diterima dan dihormati oleh kaum-kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Salim berkata, selama ini, semua kaum di negara ini hidup dalam suasana aman dan tidak menghadapi sebarang masalah.

Beliau tidak nampak perlunya ratifikasi penghapusan diskriminasi yang dicadangkan tanpa justifikasi munasabah.

“Jadi rasanya adalah lebih baik kerajaan PH tidak meneruskan hasrat ini kerana ianya boleh menggugat keharmonian hubungan antara kaum di negara ini seterusnya akan mengancam keamanan negara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited mengesahkan enamtriti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan keresahan beberapa pihak antaranya dalam isu kemungkinan terhakisnya hak istimewa orang Melayu.

Namun, Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun De Mahathir Mohamad menegaskan rundingan semua kaum akan dilakukan sebelum Malaysia meratifikasi ICERD. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *