home Semasa Duta Finland nasihat hormati agama Islam di Malaysia

Duta Finland nasihat hormati agama Islam di Malaysia

 

KUALA LUMPUR – Rakyat Finland telah dinasihati agar menghormati undang-undang dan peraturan Malaysia serta prihatin dengan pegangan agama masyarakat tempatan, kata Duta Besar Finland ke Malaysia, Petri Puhakka.

Dalam satu kenyataan bertulis kepada Bernama berhubung penghantaran pulang empat rakyat Finland yang ditahan selepas didakwa mengedar bahan-bahan keagamaan mengandungi teks yang dipetik dari Bible, beliau berkata peringatan itu penting kerana ia terdapat dalam seksyen nasihat perjalanan di laman sesawang kedutaan tersebut.

“Kedutaan kami sedar akan kes ini, dan kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mengikuti perkembangannya. Saya fikir juga adalah adil untuk mengatakan bahawa secara umum, rakyat Finland terkenal dengan sikap mereka yang mematuhi undang-undang dan peraturan,” katanya.

Bagaimanapun, duta berkenaan tidak mampu menjelaskan mengenai merit kes itu berikutan kekangan undang-undang privasi Finland namun beliau melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah memberikan kerjasama yang baik ketika menangani kes tersebut.

“Hubungan dua hala antara Finland dan Malaysia adalah kukuh, dan kedutaan sedang melakukan yang terbaik untuk terus mempertingkat dan memupuk hubungan ini. Malaysia adalah satu contoh unik masyarakat berbilang kaum, yang menyaksikan pelbagai budaya dan agama mampu hidup bersama,” katanya dalam kenyataan itu.

Bernama melaporkan pada 26 Nov bahawa empat rakyat Finland yang telah ditahan enam hari sebelum itu kerana mengedarkan pen dan risalah tertera pernyataan dari Bible di Langkawi telah dihantar pulang.

Polis tempatan telah menahan kesemua rakyat Finland, termasuk dua wanita, di sebuah bilik hotel di pulau itu pada kira-kira pukul 5 petang serta merampas sejumlah 47 batang pen dan 336 buku kecil mengandungi kenyataan-kenyataan yang dipetik dari Bible, yang dipercayai cuba diedarkan kepada penduduk tempatan. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *