home Perkongsian Siyasah, Semasa Jahilkah atau jahatkah tolak konsep negara Islam?

Jahilkah atau jahatkah tolak konsep negara Islam?

 

KELAYAKAN seseorang atau sesuatu pihak bergantung pada pengiktirafan daripada pihak tertentu yang juga diiktiraf sebelumnya.

Ayat di atas mengungkapkan satu konsep bagi satu hakikat yang terlalu asas, terlalu lama berakar umbi dalam sejarah manusia dan diguna pakai secara universal. Konsep pengiktirafan kelayakan.

Konsep pengiktirafan kelayakan ini diterjemahkan dalam bentuk sijil, permit, lesen, anugerah, darjat, pangkat dan sebagainya. Semua bentuk pengiktirafan itu kita boleh jumpa dalam semua bidang kehidupan.

Tiga perenggan di atas hanyalah sekadar analogi bagi Qaedah Kulliyah Usuliyah (QKU) yang akan saya terangkan di bawah, sebagai satu penghampiran mudah bagi orang awam memahaminya.

QKU yang akan diterangkan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada masyarakat awam umat Islam bahawa pandangan yang mengatakan bahawa tiada konsep negara Islam dalam Quran adalah bertujuan jahat terhadap Islam dan umatnya.

QKU yang saya maksudkan ialah yang disebut الوسائل لها احكام المقاصد atau lebih popular disebut ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب .

Maksud QKU ini ialah “Wasilah sama hukumnya dengan tujuan”, atau “Sesuatu yang tidak sempurna perkara wajib kecuali dengannya, maka ia turut wajib”.

Contoh mudah di sini ialah solat yang wajib, tidak sempurna (tidak sah) kecuali dengan wuduk, maka wuduk itu turut wajib. Tidak sah solat tanpa pakaian menutup aurat, maka memakai pakaian menutup aurat itu turut wajib.

Terlalu banyak perintah Allah Taala dalam Quran dan Sunnah yang wajib dilaksanakan, tetapi tidak boleh dilaksanakan tanpa adanya sebuah negara yang berfungsi melaksanakan perintah tersebut. Itulah negara Islam.

Oleh itu, negara Islam wajib ada. Wajib ditegakkan negara Islam adalah sabit berasaskan QKU tadi. “Wasilah (wujud negara Islam) sama hukumnya dengan tujuan (pelaksanaan perintah Allah)”, atau “Sesuatu (wujud negara Islam) yang tidak sempurna perkara wajib (pelaksanaan perintah Allah) kecuali dengannya (wujud negara Islam), maka ia (wujud negara Islam) turut wajib”.

QKU ini ialah dalil “kulliy”, maksudnya dalil yang digunakan dalam hampir setiap bab hukum, bukan untuk satu kes spesifik sahaja.

Sama seperti lesen, permit, sijil dan sebagainya tadi, konsep pengiktirafan itu boleh kita jumpa dalam segenap cabang kehidupan.

Jadi, orang yang kata tiada konsep negara Islam dalam Quran, samalah seperti orang mendakwa kita tak perlu sijil untuk masuk belajar di universiti, kita tak perlu lesen untuk memandu, kita tak perlu belajar untuk berilmu.

Sama ada orang itu jahil, tetapi terlampau yakin dirinya alim. Orang begini kita simpati. Alangkah baiknya jika dia diam sambil berusaha mempelajari agama ini bersungguh-sungguh.

Atau orang itu berniat jahat, berkemungkinan besar “diupah”, untuk memesongkan fahaman umat Islam terhadap Islam itu sendiri, agar menjadi agama tanpa kuasa, agama tanpa negara, negara tanpa agama, agama hanya soal peribadi.

Ini baru satu QKU. Ada banyak lagi QKU yang diguna pakai sebagai dalil “kulliy” untuk mewajibkan wujudnya negara Islam. Tetapi tujuan tulisan ini hanyalah untuk memberikan gambaran mudah sahaja, bukan sebagai syarahan terperinci.

Semoga kita tidak mudah terpedaya dengan dakyah anti Islam pada hari ini, yang bertopeng di sebalik istilah progresif, demokrasi, moderat dan sebagainya.

Nota:
Dalil “kulliy” adalah hasil analisis induktif keseluruhan Quran dan Sunnah. Kesemua dalil “kulliy” apabila digabungkan, akan menampakkan sifat dan tabiat agama Islam ini.

Bagaimana seorang yang sibuk selama ini dengan istilah maqasid (yang dilepakkan), terlepas pandang topik الوسائل لها احكام المقاصد yang sememangnya amat dimaklumi dihuraikan secara jelas oleh Imam as-Syatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat, kitab rujukan utama apabila bercakap tentang maqasid? Atau dia bercakap tentang maqasid main hentam saja sambil lepak-lepak?

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *