home Kolumnis, Semasa Kembali kepada al-Quran

Kembali kepada al-Quran

 

1. Ini adalah seruan yang paling benar. Manusia seharusnya diajak untuk kembali kepada al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup mereka dalam segenap aspek kehidupan mereka termasuklah:

2. Menjadikan al-Quran asas pendidikan awal kanak-kanak. Seorang Muslim tidak seharusnya bimbang sekiranya anak-anak mereka didedahkan dengan pengajian Islam. Jangan sampai ada yang berkata: “Anak-anak dah terlalu banyak belajar agama.”

3. Al-Quran mendidik Muslim supaya menunaikan janji. Jangan kita menabur janji dan harapan kepada rakyat kemudian tidak menunaikannya. Beberapa ayat di dalam al-Quran menyifatkan mereka yang tidak menunaikan janji ini tergolong dalam golongan orang-orang fasiq, yang seakan melakukan dosa besar. Firman Allah:

وَمَا وَجَدْنَا لِأَكْثَرِهِمْ مِنْ عَهْدٍ وَإِنْ وَجَدْنَا أَكْثَرَهُمْ لَفَاسِقِينَ

Maksudnya: Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasiq.

4. Al-Quran mendidik kita bertegas dalam perkara songsang LGBT. Ingatkan kita pesan Nabi Lut kepada kaumnya:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

“Dan Nabi Lut, ketika Baginda berkata kepada kaumnya: Apakah kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh kaum sebelum kamu.”

5. Akhir sekali, teringat saya pesan Sheikh al-Qardawi. Al-Qardawi menegaskan kepada kita bahawa terdapat beberapa perkara yang menjadi punca kepada kesalahan dalam penafsiran al-Quran. Salah satunya adalah penafsiran al-Quran atas kehendak politik.

Al-Qardawi mendatangkan contoh bagaimana golongan Khawarij menggunakan ayat 40 daripada Surah Yusuf sebagai pendirian politik mereka dalam menolak konsep Tahkim yang dijalankan ketika pemerintahan Saidina Ali.

6. Bimbang akan berlakunya penyelewangan makna al-Quran untuk kepentingan tertentu, Rasulullah ﷺ memberi amaran keras kepada Muslim supaya berhati-hati dalam menafsirkan ayat al-Quran. Sabda Rasulullah:

مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mengatakan sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu maka dia telah menempah tempatnya dineraka.

مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَأَصَابَ فَقَدْ أَخْطَأَ

Maksudnya: Barangsiapa yang berkata berkenaan al-Quran (menafsirkannya) dengan pandangannya sendiri, sekiranya benar sekalipun maka dia telah tersilap.

Moga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *