home Semasa Pemimpin jangan jadi dalang cetus permusuhan kaum: Sultan Nazrin

Pemimpin jangan jadi dalang cetus permusuhan kaum: Sultan Nazrin

 

KUALA KANGSAR – Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah mengingatkan rakyat, terutama pemimpin supaya tidak menjadi dalang melakukan provokasi yang boleh menyalakan puntung kebencian dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak menzahirkan rasa dukacita kerana suasana harmoni yang menjadi budaya rakyat negara ini sejak sekian lama kini mahu dimusnahkan disebabkan persaingan politik.

“Terdapat sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.

“Pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan Ilahi secara terhormat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Konvokensyen ke-11 Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini, pada Sabtu yang menyaksikan seramai 1,303 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Baginda bertitah, kebijaksanaan para pengasas negara ini yang memiliki hikmah membangunkan sebuah negara dengan rakyat berjaya disatukan hendaklah terus dipupuk agar negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Ada negara yang menghadapi konflik hingga hancur musnah kerana perselisihan berpunca daripada perbezaan mazhab, berlainan agama dan ada yang berpisah kerana tuntutan autonomi wilayah serta ada yang berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik.

“Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik. Namun pemimpin terdahulu memilih untuk tidak berkonflik,” titah Sultan Nazrin.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan para graduan supaya menggunakan pengetahuan mereka menjadi warga berilmu yang berfikiran rasional, tidak mudah diracuni minda untuk mencetuskan persengketaan berdasarkan emosi, arif mengelakkan diri daripada diperalatkan memenuhi nafsu orang-orang yang berfikiran cetek serta tidak berwawasan jauh. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *