home Perkongsian Siyasah, Semasa Pertikai konsep negara Islam tidak wujud, negara sekular pula diangkat?

Pertikai konsep negara Islam tidak wujud, negara sekular pula diangkat?

 

1) Pertikaian Wan Ji terhadap kewajipan membina negara Islam hanyalah mengulang semula kekeliruan lapuk tokoh Muslim liberal & sekular kurun lalu seperti, Ali Abdul Raziq (bekas ulama Al-Azhar), yang menafikan sistem kenegaraan Islam melalui bukunya yang terkenal, Al-Islam wa Usul al-Hukm, pada tahun 1925.

Ia telah disanggah oleh sebilangan besar ulama termasuk para masyaikh Al-Azhar dan Sheikh Tahir Ibn `Asyur dalam makalahnya bertajuk Naqd `Ilmi li Kitab al-Islam wa Usul al-Hukm. Kekeliruan ini juga telah diwarisi oleh generasi seterusnya seperti Jalal Al-Azm dan Wafa’ Sultan yang telah disanggah hebat oleh Sh. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan Sh. Dr. Ibrahim Al-Khouli.

2) Kita sedia maklum bahawa istilah ‘negara Islam (dawlah Islamiyyah)’ memang tiada dalam Al-Quran, Hadis mahupun kalam Sahabat r.a. Namun, para ulama – dalam memahami Al-Quran & Hadis serta melakukan istinbat (mengeluarkan) hukum dari kedua-dua sumber agung ini – tidaklah literalis, membuta tuli dan hanya mengambil apa yang disebut oleh Al-Quran dan Hadis nabi spesifik dan eksplisit sahaja, tanpa memahami mafhum dan maqasidnya.

3) Kewajipan mendirikan negara Islam hakikatnya bukanlah hanya berpandukan ijtihad sebahagian ulama sahaja, yang sesetengah pihak anggap boleh berubah mengikut zaman, tidak sesuai dengan waqi` (realiti) Malaysia yang berbilang Agama, dan pelbagai alasan lain lagi. Kewajipan mendirikan negara Islam hakikatnya merupakan tuntutan Syarak berdasarkan banyak nas Al-Quran & Sunnah serta qaedah-qaedah Syarak, malah menjadi Ijmak para Sahabat r.a. dan Tabi’in. (Ruj: Al-Mawardi dalam Al-Ahkam Al-Sultaniyyah, m/s 5 & penjelasan Dr. Fathi Al-Duraini dalam Khasais al-Tasyri` al-Islami fi al-Siyasah wa al-Hukm, m/s 273-288)

4) Istilah ‘negara Islam (dawlah Islamiyyah)’ pula sebenarnya bukanlah istilah baharu seperti yang dikatakan Wan Ji. Fuqaha silam seperti Al-Qalqashandi telah lama menggunakan istilah ini sejak 600 tahun lalu dalam kitabnya “Subh Al-A`sya fi Sina`ah al-Insya’”. Malah dalam kitabnya yang lain iaitu “Maathiri al-Inafah fi Ma`alim al-Khilafah” awal-awal lagi telah menekankan peranan utama negara Islam iaitu MENJAGA AGAMA. Adakah negara sekular boleh menjaga agama Islam? Mustahil sama sekali.

5) Definisi, konsep dan ciri-ciri khusus negara Islam yang disyarahkan oleh para fuqaha adalah berbeza sama sekali daripada konsep negara teokrasi seperti yang difahami Wan Ji. Bukalah kitab-kitab fuqaha silam & kontemporari, dan datangkanlah mana-mana fuqaha yang menyamakan konsep negara Islam dengan negara teokrasi, ataupun negara sekular.

6) Wan Ji sepatutnya sedar bahawa istilah ‘negara sekular’ yang dicanangnya itu bukan sahaja tidak wujud dalam Quran dan hadis, bahkan tiada satupun isyarat dalam kedua-dua sumber agung Islam ini yang mengharuskan penegakan negara sekular, apatah lagi mengharuskan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin negara. Malah ia amat bercanggah dengan roh Islam yang syumul.

Adapun perbezaan istilah yang digunakan sejak zaman nabi, para sahabat, fuqaha silam hinggalah ulama masa kini adalah perkara biasa. Tiada masalah dalam hal ini (saya yakin Wan Ji pun maklum bahawa “la musyahah fil istilah”), kerana semuanya merujuk kepada perkara atau substance yang sama (Al-Asma’ li musamma wahid) iaitu konsep kenegaraan berasaskan Syariat Islam yang mempunyai ciri-ciri, qaedah-qaedah, dhawabit-dhawabit tersendiri dalam segenap hal kenegaraaan termasuk syura, pelantikan pemimpin, tahaluf siyasi, jihad, jizyah dan sebagainya. Ia bukan seperti negara teokrasi mahupun sekular yang mengikut kehendak nafsu manusia, tanpa panduan wahyu.

7) Wan Ji juga ada menyatakan bahawa “konsep negara yang dikehendaki oleh Islam adalah negara yang berasaskan syura yang rujukannya adalah Islam, bukan negara agama yang diperintah oleh orang-orang agama, atas nama Tuhan, atas nama hukum Tuhan yang dikenali sebagai teokrasi.”

Ya, dari satu sudut positif, saya boleh bersetuju dengan sebahagian kenyataan di atas. Namun, adakah tindakan untuk mengaplikasikan kenyataan di atas dengan mengangkat konsep negara sekular? Mengasingkan Agama Islam dari urusan pentadbiran negara? Adakah juga dengan membuka pintu syura seluas-luasnya, melibatkan juga non-Muslim yang menentang agenda memartabatkan Islam dalam perbincangan dasar dan hala tuju negara? Jauh menyimpang sama sekali.

8 ) Syura mempunyai fiqh & disiplinnya yang tersendiri. Ia sesekali tidak boleh diimplementasikan sepenuhnya mengikut Syarak dalam kerangka negara sekular. Sama ada Wan Ji sengaja sembunyikannya atau tidak, saya serahkan kepada beliau. Saya ada kongsikan sedikit sebanyak berkenaan sistem syura yang merupakan salah satu prinsip terpenting dalam negara Islam;

 

Sistem Syura: Hukum dan Kaedah Pelaksanaannya (Siri 1)

Sistem Syura: Hukum dan Kaedah Pelaksanaannya (Siri 2)

Sistem Syura: Hukum dan Kaedah Pelaksanaannya (Siri 3)

 

9) Saya juga telah simpulkan beberapa hujah yang membuktikan betapa pembinaan wilayah Islam (dalam konteks sebuah negara Islam) adalah suatu kewajipan Syarak.

 

Kenapa kita perlu bangunkan wilayah Islam?

 

Semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan menjauhkan kita daripada melakukan pendustaan terhadap agama.

Wallah A’lam.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin
Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul Fiqh)
Universiti Yarmouk Jordan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *