home Kolumnis, Semasa Bantahan SIS terhadap kempen ‘Jauhi Zina’ mencanggahi al-Quran

Bantahan SIS terhadap kempen ‘Jauhi Zina’ mencanggahi al-Quran

 

1. Sisters In Islam mempersoalkan poster kempen “Jauhi Zina” yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Menurut mereka, poster tersebut tidak selari dengan polisi LPPKN sendiri malah kata mereka, kita tidak perlu menjadi polis moral kepada rakyat Malaysia.

2. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Sisters in Islam ini dilihat amat bercanggah dengan al-Quran sendiri. Kempen menjauhi zina ini pada hakikatnya dimulakan di dalam al-Quran sendiri. Allah berfirman:

وَلا تَقرَبُوا الزِّنَى إنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً

“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan seburuk-buruk perlakuan.” (Surah al-Isra’: 32)

3. Kempen menjauhi zina ini turut diperkasa melalui tindakan Rasulullah sendiri. Rasulullah mendidik sahabat supaya menjauhi segala perlakuan yang boleh membawa kepada zina. Bahkan Rasulullah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan. Sabda Rasulullah:

إذا ظهر الزنا والربا في قرية فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله

“Sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (HR al-Tabrani, dihukum sahih oleh al-Albani).

4. Kempen menjauhi zina ini adalah sebahagian daripada polisi amar makruf dan nahi mungkar seperti yang telah digariskan di dalam al-Quran. Allah menyifatkan mereka yang tidak melakukan nahi mungkar ini sebagai sifat orang munafiq. Firman Allah:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang mungkar, dan melarang dari perbuatan yang makruf.” (Surah al-Taubah: 67).

5. Bahkan al-Quran menggambarkan Bani Israel sebagai bangsa yang dilaknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:

كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Mereka sentiasa tidak mencegah (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-Maidah: 79).

6. Adalah amat menghairankan apabila kempen yang berpandukan daripada al-Quran dan hadith ini dibantah oleh kumpulan liberal seperti Sisters in Islam. Maka tidak hairanlah sekiranya Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014 telah mengeluarkan fatwa pengharaman pertubuhan ini yang disifatkan sebagai sesat dan menyeleweng.

Moga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *