home Kolumnis, Semasa “Hanzalah telah Munafiq!”

“Hanzalah telah Munafiq!”

 

1. Dalam sebuah hadith, Saidina Hanzalah al-Usaidi pernah menceritakan kebimbangan beliau tentang hatinya yang tidak konsisiten. Perkara ini pada mulanya diadukan kepada Abu Bakar.

Kata Hanzalah: “Ketika aku mendengar tazkirah dari Rasulullah, aku menangis. Namun apabila aku pulang ke rumah bersama ahli keluargaku, aku bergelak ketawa. Bagaimana keadaan hatiku ini?”

Hanzalah dan Abu Bakar lantas berjumpa dengan Rasulullah lalu bertanya tentang persoalan hati ini. Ketika mendengar tazkirah, mereka menangis. Namun ketika bersama ahli keluarga mereka bergembira. Hanzalah lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ نَافَقَ حَنْظَلَةُ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Hanzalah telah munafiq!”

2. Rasulullah lalu menenangkan Hanzalah dan bersabda:

يَا حَنْظَلَةُ! سَاعَةً وَسَاعَةً، وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ، حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ

“Wahai Hanzalah! Perlahan-perlahan, bahagikan masa-masamu. Kalaulah hatimu sentiasa berada dalam keadaan berzikir, maka malaikat pun akan bersalaman dengan engkau bahkan akan memberi salam kepada engkau di jalanan.”

3. Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, yang dimaksudkan dengan sabda Rasulullah ini adalah:

وقوله: ( سَاعَةً وَسَاعَةً ) معناه: ساعة لقوة اليقظة ، وساعة للمباح ، وإن أوجبت بعض الغفلة.

“Dan maksud Rasulullah dengan “bahagikan masa-masamu” itu adalah: adakalanya hati manusia berada dalam keadaan yang kuat dan sedar (dalam keimanan), ada kalanya hati manusia perlu diberi masa kepada perkara-perkara yang harus (seperti gelak tawa bersama keluarga), dan ada masanya hati manusia akan jatuh dalam keadaan yang lalai”.

4. Menurut Sheikh al-Mubarakfuri, keadaan hati yang lemah ini tidak menjadikan seseorang itu munafiq. Bahkan hendaklah dia berusaha untuk memberikan masanya untuk Allah dan manusia walaupun hatinya berada dalam keadaan lemah dan leka.

5. Lihatlah betapa sahabat sangat menjaga hati dan keimanan mereka. Ketika mereka bergelak ketawa bersama keluarga, mereka masih mengingati Allah sehingga bimbang apakah mereka telah jatuh ke dalam kategori munafiq.

6. Apabila mereka berada dalam kekeliruan, mereka segera datang berjumpa dan bertanya kepada ahli ilmu, agar mereka tidak terjerumus dalam kebinasaan.

Moga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *