home Kolumnis, Semasa Gunakan kemahiran anda untuk Islam

Gunakan kemahiran anda untuk Islam

 

1. Rasulullah adalah pemimpin yang sangat memahami karakter dan kemahiran sahabatnya. Baginda memupuk bahkan membangunkan kelebihan yang dimiliki oleh mereka. Kemuncaknya, kelebihan dan kemahiran yang ada pada para sahabat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam.

2. Dalam perang Uhud, Rasulullah pernah melalui satu situasi yang sangat kritikal. Ketika itu Rasulullah memanggil Saad bin Abi Waqas, seorang sahabat yang mahir memanah. Di saat yang meruncing inilah Rasulullah menggunakan kemahiran memanah yang dimiliki Saad untuk berhadapan dengan musuh. Rasulullah menyeru Saad:

ارم فداك أبي وأمي أظنه يوم أحد

“Panahlah, wahai Sa’ad! Ayah dan ibuku menjadi jaminan bagimu.” (HR al-Bukhari).

3. Rasulullah juga pernah menggunakan kemahiran berkhutbah yang dimiliki oleh Thabit ibn Qais al-Khazraji. Peristiwa ini berlaku ketika Baginda menyambut rombongan dari Bani Tamim. Bani Tamim ketika itu sangat berbangga dengan wakil mereka yang petah berpidato. Rasulullah lalu menyeru Thabit, seorang sahabat yang mahir berpidato sebagai wakil yang mempamerkan kehebatan orang Islam. Sabda Rasulullah:

قم فأجب خطيبهم

“Bangunlah (wahai Thabit) dan jawablah pemidato mereka!” (Siyar A’lam al-Nubala’).

4. Rasulullah turut membangunkan kemahiran Zaid ibn Thabit untuk menguasai bahasa asing. Ketika itu Baginda bimbang dengan ancaman Yahudi yang berada di Madinah. Rasulullah memupuk bakat Zaid yang hebat dalam menguasai bahasa sehingga boleh digunakan untuk Islam. Kisah ini dinukilkan oleh al-Imam al-Tirmizi:

قَالَ: إِنِّي وَاللَّهِ مَا آمَنُ يَهُودَ عَلَى كِتَابِي, قَالَ: فَمَا مَرَّ بِي نِصْفُ شَهْرٍ حَتَّى تَعَلَّمْته لَهُ

“Sabda Rasulullah: Sesungguhnya aku tidak berasa aman dengan Yahudi tentang urusan penulisan (surat menyurat dan penulisan lain). Lalu Huzaifah mempelajari bahasa mereka (siryani/Syriac) dalam tempoh setengah bulan sahaja.” (HR al-Tirmizi).

5. Beberapa riwayat di atas menunjukkan bagaimana Rasulullah memupuk dan membangunkan kemahiran sahabat dalam bidang tertentu untuk kepentingan Islam. Sahabat yang sudah memiliki bakat dan kemahiran tertentu akan dimanfaatkan sebaiknya untuk Islam.

6. Begitu juga dengan kita. Sekiranya kita mahir dalam bidang penulisan, gunakan kelebihan yang ada untuk Islam. Sekiranya kita mahir berniaga, hebat merancang strategi, pandai membangunkan video (media), atau apa sahaja kemahiran dan kelebihan yang kita ada, maka gunakanlah untuk Islam dan ummah ini.

Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat buat yang lain.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *